Isnin, 31 Disember 2007

Sejarah Tok Linggi Kampung Relong Kuala Lipis


Sejarah Tok Linggi Kampung Relong Kuala Lipis

Tok Linggi berasal dari Kampung Bukit Meninjau,Sumatera Barat,Indonesia (1790an) berhijrah ke Kampung Relong Kuala Lipis semasa negeri Pahang dipemerintah oleh Bendehara Tun Ali (1782-1857). Sejarah kedatangan Tok Linggi ke kampung ini bermula dimana beliau bersama lima orang adik-beradik telah datang ke Tanah Melayu di mana destinasi pertamanya ialah Negeri Sembilan.Di Negeri Sembilan, adik-beradik ini telah berpecah dengan merantau dimana seorang daripadanya ke Negeri Perak, seorang ke Negeri Johor, dan seorang ke Negeri Selangor. Manakala Tok Linggi dan bersama seorang adiknya meneruskan perjalanan mereka dengan berjalan kaki ke Negeri Inderapura (Pahang) hingga sampai ke tempat yang dinamakan Semantan di Daerah Temerloh.

Tok Linggi meninggalkan adiknya di Semantan, sementara beliau bersama 80 orang pengikutnya meneruskan perjalanan dengan menggunakan perahu, mudik ke hulu Sungai Pahang dan Sungai Jelai dengan dibantu oleh seorang pedagang.Tok Linggi bersama rombongan yang pertama telah sampai ke satu tebing sungai berpasir yang landai dan cantik serta banyak ikan sia datang bermain-main. Beliau telah menamakan tempat tersebut dengan nama Pasir Sia. Selepas itu mereka meneruskan perjalanan dan mendarat di Kampung Beralas dan Kampung Perlak. Mereka meneruskan perjalanan di darat dan berehat di sebuah tanah lapang yang menyerupai sebuah padang. Tok Linggi telah menamakan tempat tersebut sebagai nama Padang Tunggu, kerana di tempat tersebut mereka berehat menunggu rombongan kedua sampai. Kini tempat tersebut dinamakan Padang Tengku.

Tok Linggi bersama rombongan pertama dan kedua seramai 80 orang telah meneruskan perjalanan hingga ke sebuah tempat yang bernama Sungai Damar. Tok Linggi dan rombongan meneruskan lagi perjalanan mereka sehinggalah sampai ke sebuah bukit yang tinggi. Dari atas bukit tersebut beliau telah melihat pemandangan alam semulajadi yang indah serta bentuk di kawasan tersebut seolah-olah seperti sebuah kawah yang merelong. Bukit tersebut dinamakan Bukit Peninjau dan kawasan yang dilihatnya indah dan cantik itu dinamakan Kampung Relong.Tok Linggi dan rombongannya terus menjadikan Kampung Relong sebagai tempat kediaman, dimana tempat pertama beliau menetap adalah di kawasan yang dinamakan Binjai, dan kemudian beliau berpindah pula ke satu kawasan baru yang dikenali sebagai Kuala Teha dan akhirnya di Kuala Relong.

Tok Linggi menetap di Kuala Relong dan meninggal dunia di Kuala Relong dan dikebumikan di sebuah kawasan di tepi Sungai Teris di antara Kuala Teha dan Kuala Relong. Tempat tersebut dinamakan Makam Pusara Tok Linggi hingga ke hari ini dan ia merupakan salah satu tempat bersejarah di Kampung Relong.Tok Linggi atau nama sebenarnya Raja Ahmad telah berkahwin dengan seorang perempuan tempatan di tempat yang bernama Lubuk Yong dan meninggalkan zuriat yang disebut sebagai keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini.Tok Linggi telah menamakan beberapa tempat diantaranya ialah Pasir Sia, Perlak, Beralas, Bukit Peninjau, Binjai, Relong, Kuala Teha, Kuala Relong, Sawa dan Geta dengan mengambil nama sempena nama-nama tempat yang terdapat di Sumatera Barat dan Bukit Meninjau juga merupakan tempat asal beliau


Tok Linggi versi Kedua


1 ulasan:

Zaharuddin bin Abdullah berkata...

hahahah yang aku tahu adnan cucu linggi kawen dua cakap besar!

lepas tu lari lintang pukang bila bini tahu dia kawen 2 hahahaha