responsif teks foto

Khamis, 7 Ogos 2008

Berhati-hati warga Lipis




Polis buru 3 Perompak

KUALA LIPIS - Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Lipis masih menjejaki tiga perompak yang terlibat dalam rompakan kira-kira jam 3 pagi di Kampung Relong di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata sejumlah RM3,000 barangan dan wang tunai dicuri termasuk dua telefon bimbit, barang kemas, pemain MP3, mesin pencetak komputer dan wang tunai RM150.

“Mangsa yang juga seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford memberitahu tiga perompak itu memasuki rumahnya melalui pintu depan yang diumpil,” katanya.

Abdul Razak berkata, perompak itu bersenjatakan parang sebelum mengikat mangsa dan isterinya yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gua.

“Manakala tiga anaknya berusia 6, 4 dan satu tahun pula tidak diikat dan selamat kerana tidak membuat bising,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menggeledah seluruh rumah mangsa sehingga jam 4 pagi sebelum mangsa memaklumkan kejadian tersebut ke Balai Polis Padang Tengku pada jam 5.30 pagi selepas berusaha membuka ikatan perompak tersebut.

“Pasukan polis segera bergegas ke rumah mangsa dan memeriksa seluruh rumah,” katanya.

Abdul Razak berkata, kedudukan rumah mangsa adalah terletak di tepi jalan besar laluan Kuala Lipis - Gua Musang.

“Saya percaya rompakan berlaku kerana keadaan persekitaran gelap kerana mangsa hanya menyalakan lampu bilik di dalam rumah sahaja,” katanya.

Abdul Razak menasihatkan agar orang ramai memastikan kawasan sekitar rumah diterangi cahaya lampu bagi membolehkan sebarang tindakan mencurigakan dilihat orang ramai.

“Semak samun juga harus dibersihkan supaya mewujudkan kawasan lapang dan luas bagi mengekang kejadian ini daripada berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata kes tersebut masih dalam siasatan dan beliau mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat untuk melakukan rondaan malam bagi membantu mencegah kegiatan terbabit. - dari : Sinar Harian

Tiada ulasan:

AddToAny