Rabu, 26 November 2008

Hujan lebat: Risiko banjir dan tanah runtuh.





Fenomena hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis diramalkan berlanjutan sehingga hujung bulan ini. Keadaan ini dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai serta tanah runtuh di kawasan berbukit.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, hujan dijangka lebih lebat berbanding sebelum ini dari Khamis ini sehingga 29 November depan. Di kawasan Lipis air mula naik dan terdapat beberapa tempat tanah runtuh hinggakan menyekat laluan kenderaan.

Lipis menjadi daerah pertama dilanda banjir di negeri ini setelah empat kampung di kawasan itu dinaiki air setinggi kira-kira satu setengah meter akibat hujan lebat awal pagi ini.

Berikutan kenaikan paras air bermula pukul 1.35 pagi itu, seramai 31 orang daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selain menumpang di rumah jiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Supritendan Ibrahim Sharif berkata, ia melibatkan 10 mangsa dari Kampung Binjai, Kampung Seberang Jelai (15) serta masing-masing tiga mangsa dari Kampung Beralas dan Kampung Bukit Kota. utusan malaysia

Selasa, 25 November 2008

Guna Internet promosikan produk




Mesuan Trading Sungai Koyan HP 012-9517184 (R) 093402011

KUALA LIPIS 24 Nov. - Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menggunakan Internet untuk mempromosi produk masing-masing bagi memperluaskan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu dapat mempercepatkan pasaran sesuatu produk dari luar bandar serta mampu bersaing dengan pengeluar lain.

Katanya, promosi menerusi Internet dapat membantu memperkenalkan sesuatu produk dengan pantas malah boleh difrancaiskan kepada pengusaha lain di samping meningkatkan jualan serta pendapatan.

''Usahawan perlu membina laman web dan blog syarikat perniagaan masing-masing untuk mempromosi setiap produk agar lebih dikenali dan menjangkau ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Usahawan Sosial sempena Minggu Usahawan Global, di Felda Sungai Koyan Satu, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak.

Minggu Usahawan Global itu membabitkan pameran dan jualan produk daripada 35 pengusaha di Gugusan Felda Koyan.

Menurut Wan Rosdy, pengusaha bumiputera di negeri ini perlu mengubah strategi pemasaran yang hanya menumpukan pasaran produk di pekan sehari, pasar tani dan kedai runcit yang amat terhad dari segi pasaran.

''Kejayaan syarikat konglomerat dalam sektor perniagaan adalah sebahagian besar operasi pengurusan dan pemasarannya dibantu dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)," katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai memberitahu, sebanyak 2,173 syarikat berasaskan ICT di negara ini telah diberi status Koridor Raya Multimedia (MSC) sehingga 31 Oktober lalu dengan hampir 74 peratus daripadanya adalah syarikat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk menaiktaraf bangunan Pusat Internet Desa (PID) Sungai Koyan.

''Kita yakin PID Sungai Koyan mampu menjadi sebuah pusat yang menggerakkan pemasaran produk usahawan di sini dan tumpuan belia untuk mempelajari ICT," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 42 cawangan PID di Pahang beroperasi setiap hari untuk memberi latihan ICT, teleusahawan dan kursus komputer secara percuma kepada belia tempatan.- Utusan Malaysia

Sabtu, 22 November 2008

Rumah Kelahiran Dato' Najib




RUMAH KELAHIRAN DATO’ NAJIB

Gambar di atas adalah kediaman bagi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1920 dan kedudukannya berhampiran dengan kediaman YAB. MB. Pahang ketika itu. Rumah ini terletak di atas Bukit Bius iaitu salah satu bukit yang bersejarah di Kuala Lipis. Kawasan atas bukit ini memang terkenal kerana ia merupakan kawasan perumahan bagi pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan para kenamaan Daerah Lipis. Rumah ini dikatakan bersejarah kerana di sinilah Timbalan Perdana Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib B. Tun Abdul Razak dilahirkan serta dibesarkan. Ayah beliau Allahyarham Tun Abdul Razak B. Dato’ Hussein pernah mendiami rumah ini ketika beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Selepas Tun Razak menduduki rumah ini, ia tetap dipelihara oleh kerajaan negeri Pahang untuk diduduki oleh para pegawai kerajaan kumpulan A. Pada hari ini rumah ini tidak diduduki hanya diperlihara dan dijaga oleh Majlis Daerah Lipis dan dijadikan salah satu bangunan warisan sejarah.

GELARAN ORANG BESAR BEREMPAT

YDH ORANG KAYA INDERA SHAHBANDAR PAHANG

Dato Sri’ Haji Mohd Najib bin Tun Abdul Razak

SSAP,SPMS,SIMP,SPMK,SPDK,DPMS,DSAP,PNBS.

MDL

Rabu, 19 November 2008

Kempen Bumi Hijau Daerah Lipis 2008


Pahang majukan 240 hektar tanah terbiar di Jelai

KUALA LIPIS 26 Nov. - Kerajaan Pahang akan memajukan tanah terbiar seluas 240 hektar di Jelai dekat sini dengan projek tanaman makanan pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu bertujuan merangsang pendapatan petani dengan mengusahakan tanaman berasaskan konsep 'satu rumah satu produk.'

Beliau berkata, seramai 100 petani miskin di Tanjung Gahai, Kuala Koyan, Kuala Medang, Sungai Ular, Kuala Serau dan penempatan Orang Asli akan terlibat dengan projek berkenaan.

''Projek ini merupakan mekanisme kerajaan untuk meningkatkan pendapatan petani miskin dan mengurangkan beban belanja keperluan dapur berikutan kenaikan harga barang di pasaran.

''Menerusi projek itu, kita mensasarkan seorang petani mampu meraih pendapatan sehingga RM800 sebulan manakala pengusaha berkelompok boleh mencapai RM5,000 sebulan menerusi pasaran hasil pertanian untuk menampung keperluan perbelanjaan keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bumi Hijau peringkat daerah di Pusat Agropolitan Tanjung Gahai, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Risda Pahang, Datuk Mujahid Mohamad; Ketua Penolong Pegawai Daerah Lipis, Mohd. Fuad Mohd. Shariff dan Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak.

Menurut Wan Rosdy, projek perintis tanaman makanan ialah di Pusat Agropolitan Tanjung Gahai melibatkan kawasan tanah terbiar seluas 14 hektar yang diusahakan dengan nanas.

Sehubungan itu, jelas beliau, modus operandi memajukan tanah tersebut akan diperluaskan ke kampung-kampung lain.

Justeru, katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Haiwan, Risda dan Felcra untuk menjayakan projek berkenaan.

''Kejayaan ini juga terletak di bahu petani menerusi perubahan sikap dan usaha gigih melaksanakan sesuatu projek pertanian kerana kerajaan telah menyediakan bantuan baja, racun dan kepakaran," katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek tanaman makanan itu mampu dijadikan sebagai industri hiliran yang menjana perusahaan kecil dan sederhana di daerah ini. Utusan Malaysia

Majlis Kempen Bumi Hijau Peringkat Daerah Lipis 2008

Perasmian Oleh : YB. Dato Hj. Wan Rosdy bin Wan Ismail Exco Pembangunan Luar Bandar & Hal EhwalOrang Asli Negeri Pahang merangkap ADUN Jelai.

Pada : 24 Nov 2008 (Isnin)

Masa : 2.00 Petang

Tempat : Argopolitan Tanjung Gahai Kuala Lipis Pahang.

Ceramah Agama Bulanan

Tarikh : 21 Nov 2008

Masa : 8.30 Malam

Tempat : Dewan Residen

Anjuran : Majlis Daerah Lipis dan Pejabat Agama Islam Daerah Lipis

Penceramah : Ustaz Nor Hamiri Jamaludin (JAIP)

"Datanglah beramai-ramai kemajlis tersebut"

400 JKKK dalam program jati diri



KUALA LIPIS 18 Nov. - Sebanyak 400 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di seluruh Pahang akan terlibat dalam program Jati diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) pada tahun depan.

Presiden Majlis Belia Pahang (MBP), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, JKKK terbabit akan menjadi keluarga angkat kepada pelajar yang terlibat dalam program berkenaan.

''JKKK akan mengatur projek inap desa selain menjadi keluarga angkat pelajar berkenaan," katanya ketika merasmikan majlis penutup program PJKN peringkat daerah di Kampung Kuala Medang dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail Mat Sam; Pengerusi Belia 4B Remaja Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan Pegawai Kepimpinan dan Sahsiah Jabatan Belia dan Sukan, Nordin Idris.

Program kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Gerakan Belia 4B Kuala Medang dan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis itu membabitkan seramai 149 pelajar tingkatan tiga dari sekolah-sekolah menengah daerah Lipis dan Raub yang tinggal bersama 30 keluarga angkat selama empat hari menerusi Projek Inap Desa di kampung tersebut.

Abdul Fattah yang juga Ahli Majlis Perunding Belia Kebangsaan berkata, seramai 800 pelajar sekolah menengah Pahang menjalani PJKN sepanjang tahun ini.

''Pelajar berkenaan bakal menjadi perintis kepimpinan dalam program Briged Rakan Muda yang bakal dijadikan kokurikulum di sekolah menengah tidak lama lagi," katanya.

MBP dan Jabatan Belia dan Sukan, katanya, sentiasa bekerjasama mengatur program PJKN bagi melatih pelajar dalam aspek kepimpinan, kemahiran komunikasi, pengurusan organisasi dan menyelami kehidupan masyarakat luar bandar.

Menurut beliau, program itu juga dapat mengisi masa lapang pelajar sepanjang cuti persekolahan dengan kegiatan berfaedah.

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya bimbang terhadap nilai-nilai sukarelawan yang semakin terhakis di kalangan generasi muda pada masa ini.

Golongan muda kini, tegasnya, semakin mementingkan diri sendiri dan kebendaan tanpa mengambil peduli masalah yang dihadapi pihak lain.

Antara faktor menyebabkan keadaan sedemikian berlaku, katanya, ialah ledakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang semakin hebat dalam era globalisasi ini.

''Pupuklah semangat ini bermula di peringkat kanak-kanak dan remaja agar saling bantu-membantu dan menjadi teras kepada perpaduan masyarakat negara ini," katanya. - Utusan Malaysia Timur

Isnin, 17 November 2008

51 tahun merdeka: Kuala Kechau masih dibelenggu kemunduran


Memacing di Kuala Kechau: berat ikan 3 kg. foto kawan saya

by nakmarahmarahlah

TIDAK ramai yang menyedari warga Kampung Kuala Kechau yang terletak di Kuala Lipis, Pahang masih dibelenggu kemunduran infrastruktur walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu.

Ini kerana kemudahan diterima penduduk dikawasan itu dikatakan cukup daif berbanding kampung lain terutama berhubung soal aliran pengangkutan kampung dimana penduduk masih menggunakan jambatan gantung yang hanya sesuai dilalui pengguna motosikal atau penjalan kaki sahaja.


Dengan keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lain yang lebih jauh jaraknya untuk mengangkut hasil-hasil pertanian masing-masing untuk dibawa ke bandar.


Walaupun ada usaha memohon agar jambatan tersebut digantikan dengan jambatan konkrit yang boleh dilalui pengangkutan lebih berat , namun sehingga kehari ini tiada jawapan diterima. Bagi yang menggunakan kereta atau kenderaan lebih berat,mereka perlu menggunakan laluan Felda atau Felcra jika ingin meneruskan perjalanan ke hujung kampung tersebut yang kebanyakannya merupakan tempat mereka menjalankan tugasan harian sebagai penoreh getah, penternakdan peladang.

“Siapa yang tidak kecewa apabila mengetahui sebuah kampung paling lama di Kuala Lipis masih tidak memperolehi kemudahan infrastruktur sedangkan kedudukannya berhampiran sekali dengan pusat bandar.

Seorang penduduk yang enggan namanya disebut mendakwa, mereka tidak berharap untuk memperolehi kemudahan selengkapnya sepertimana kampung-kampung lain yang turut diberi klinik dan sekolah, cukuplah sekadar diberi kemudahan jalanraya yang baik dan jambatan konkrit untuk kesenangan penduduk setempat.

Setakat hari ini, hampir keseluruhan penduduk kawasan itu telah menerima kemudahan bekalan air dan elektrik disamping bantuan agihan subsidi oleh agensi kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja pertanian. – PKR Pahang


Nota: nakmarahmarahlah mahu melihat sejauhmana keperihatinan Menteri Besar, Dato’ Sri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Lipis Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman. melaksanakan keseimbangan segala kemudahan asas kepada rakyat jelata di kawasan parlimen Lipis selepas ini.

Komen: Kampung tersebut memang menarik, sungai yang jernih, pada masa dahulu penduduknya mudik ke pekan Lipis dengan menaiki motor bot panjang menjual hasil kampung seperti getah sekerap dan lain-lain lagi tapi sekarang ada jambatan yang menghubung ke bandar Lipis. Sepatutnya kita berterima kasih dengan apa yang kita dapat (ada jambatan gantung), jangan dok menyalahkan sahaja orang lain atau kerajaan. Sungguhpun kita sudah merdeka 51 tahun, tidak semesti kerajaan boleh mengadakan pasarana yang ‘fist kelas’ tanpa melihat produk sesuatu tempat. Fikir-fikirlah sendiri.

Sabtu, 15 November 2008

"Cerita Pak Pandir...!


Suatu hari Pak Pandir berjalan pulang dari pekan sambil memakai selipar baru. Di pertengahan jalan Pak Pandir terpijak sesuatu yang lembik.
Berdetik hati Pak Pandir sambil berkata, "Apa benda ni? Nampak macam tahi, tapi siapa pula yang meninggalkan tahinya ditengah jalan?".

Pening kepala Pak Pandir memikirkan persoalan ini, kerana dia tidak menjumpai benda tersebut sewaktu dia melalui jalan itu masa pergi ke Pekan. Lalu Pak Pandir terfikir untuk menguji benda tersebut samada ianya benar-benar seperti apa yang disangka. Pak Pandir pun berkata sendirian, "Baik aku cium benda ni untuk memastikan ianya tahi atau bukan."

Maka Pak Pandir pun menciumlah benda tersebut hingga hampir terkena hidungnya. Terperanjat juga Pak Pandir kerana bau benda tersebut memang seakan-akan tahi. Tapi Pak Pandir masih tidak berpuas hati kerana tidak percaya ada orang yang sanggup meninggalkan tahinya di tengah jalan. Dalam keadaan tertanya-tanya itu Pak Pandir mendapat ilham untuk memastikan benda itu benar-benar tahi.

Lantas Pak Pandir pun berkata, "Biar aku rasa benda ini dan inilah ujian terakhir yang aku lakukan untuk memastikan benda ini benar-benar tahi." Dengan penuh keyakinan Pak Pandir pun mencubit sedikit benda tersebut dan merasa dilidahnya. Berkerut dahi Pak Pandir setelah yakin dengan keputusan ujiannya.

Dengan bangga Pak Pandir pun berkata, "Memang betullah tahi. Nasib baik aku pakai selipar ni, kalau tidak dah tentu tahi ini terkena kaki aku. Terima kasih SELIPAR."

Moral : Kaki Itu Lebih Bersih Dari Lidah.

Jumaat, 14 November 2008

Kamus Loghat Lipis, Pahang



A
Aok - awak
Aok me - kamu semua
Ampuh - sempat
ambender - apa benda
anggu- kesepian /sunyi

B
Babir - degil
Berderau -
gotong royong
Bahan - pukul, Contoh : bahan kuat sket..bior mampuih.
Berlengging - tak pakai baju, pakai suar jer
Berlemin - berminyak
Biroh - gatal
Buas - lasak
Buboh - letak
Boyaih - boroi
Berambi - berhati-hati, berwaspada
Borok - borak
Bobok - Menipu Cth ayat : budak itu bercakap bobok sangat.
Berte'eih - bertungkus-lumus, usaha gigih
Beraluih/beralus - perangai yang sopan santun,berbudi bahasa ,contoh
ayat : mak suka benor ngan si tipah tu..beralus budaknya
Bela - repair contoh ayat Bila aok nok bela TV tu?
Beringor - memberitahu
Bersalai - disebut bersalei- maksud : tak mandi pagi
Berahi - suka (lebih kpd barang ye bukan org...kekkeke. ..disebut
Bergodok - menghentak kaki ke batang lesung secara bersama/serentak
serta dengan kadar yang cepat masa mengempin
Bertonyeh - gaduh mulut
Bertonjeng - berlawan cakap


C
Cakne - ambil hal
ce - awalan pada beberapa perbuatan..seperti. .awok ce cuba dulu
Cemuih - bosan
Cenekang - kuku cekam tu le
cengkeliik - nok tenggelam(lemas) dalam air (BARU DAPAT)
Cekut - cakup/beritahu
Celau - hari ribut..sebab melakukan sesuatu luar biasa/tabie. .seperti
laga kucing
Chika - mual/muntah/ perut memulas
Cokei - cukai
cokeng - tegak
Cakner -tak amek peduli, tak kisah.Contoh :sebab pagi tadi aku lupa
gi
keja gosok baju.. lalu mak aku kata bebudak sekarang ni tok cakne
langsung


D
Dan - sempat,cth : la napenye tak makan lagi?tak dan ker?
Doh - sudah , Contoh : awok doh makan ker?
Dema - (awak,biasanya utk ramai) cthnya: dema ni takde keja lain ke
Daur - sebaya,berkaitan dgn usia
Degut - [ isk nak beri makna benda lak ni ] Dedor - suam-suam kuku
DI - (saya) ganti nama saya - (pulau tawar jerantut sahaja)


E


F


G
Gohek - kayuh
Godei - kacau kacau air, dodol
Goge - hingar bingar
Gebor - selimut
Gonyoh - Sental kuat2
Getik - geli,meluat
Gamoknye - agaknya
Gasok - suka hati awaklah
Gonggot - rambut yang digunting tak sekata


H
Habat/habad - pengotor
Hantoi - lembap,slow pergerakan
Hampuras - Tidak berguna / tidak sempurna
Hampuk - Menghempas.
I
J
Jabir - plastik
Jenih - jenis
Jenuh - puas,cth : ntoh ler..jenuh dah koi nunggu
Juwei - dahan pokok yang yang mencecah permukaan sungai (kalau tak
silap la)
Jelun - biasanya kalau demam ambil tuala.celup ngan air asam jawa.
jelun kepala
Jolong - tinggi


K
kas - saya (jerantut, lipis raub)
koi - saya,aku(biasa pakai belah temerloh je)
Kair - (ke air)maknanya. .pergi ke sungai.ngail
Kome - kami
Kulo - warna kelabu tahi anjing
kehut,kehot, kehak - letih..sengal
Kerang - menangis dengan sepenuh hati
Keri - ketawa teramat sangat.gelak guling-guling
Kupik - kedekut
Kerapoh - sisa2/bersepah cth:sisa -Boh ke kawan kerapoh tulang2 ikan
tu yek
Kecah - Lecak
karang - nanti,sebentar lagicth : karang lah mok koi kupas nyour tu
Kelat - tipu (nie bukan kelat buah tau)cth ayat :tak aci sungguh main
kelat
Kememe - sama cam tembe gak
kekalu - emping dibuat dari padi pulut
kerajat - taktau (kena tanya tihani ni)
komeng - sinonim ngan nyiur/kelapa
Kuit/menguit - biase nye menunjukkan sesuatu yang banyak/ramai
Komoih - Gomol.Jgn le komoih budak tu nak tido weh
kobek - belek2...menyiasat ( bukan menyiasat org ye )
kepok - tempat simpan padi
kehem - berkehem, bersungguh-sungguh/ keterlaluan
kodi/kudi? - ketinggalan zaman
keknya - tetapi
kipai - letih /lenguh tangan
kahat -(jarang digunakan)
kenit - kecil
kederat - upaya


L
lat - tenggang/jarak masa
lantak aok - suka hati awak
lacuh - tempat yang banyak dilalui atau digunakan
lehet - dipakai bagi bagi buah labu
Lece - Tilam,
lengit - kalah teruk
ledut - pekat
Lejut - basah teruk(lencun)
Lepe - cuai
lecoh - becak
leweh - lemah longlai(cakap atau utk perbuatan)
lembang(berlembang) - sepah, berterabur
lensung - keletihan, terlalu lemah
lebam birat - lebam2 akibat dipukul


M
Moh - jom,mari
Mok - mak
Mengelice- mengelupur
Menikei/kenikei - buah tembikai
Meleweh - bercakap mcm nak tak nak
Mereloh - tido
Meronoh - buang air besar
Membute - tido
Mencayak tu - laju sangat bawak moto
Mengelentat - mengada2 seksi
Merohong - wangi sangat
Melantong - busuk sangat
Merebang/mengereban g - rambut tak terurus
Merening -benda yang nak pecah(bulat)
Meraban - tak tentu hala
Menginding - kita dekati pihak lain secara diam-diam,jugaberma ksud
berdampingan
Mengekelan - tercekik(berkaitan dengan makan)
Mengkone - kemana-mana
Merarau - tanya orang tembeling..makna
Menggeledeng - (Susah la nak explain maknanya), tp something yg
merujuk kpd pergerakan badan.Bakper menggeledeng ngat ni?
Merahang - (jarang digunakan)
Masam Menaung - Masam Sesangat
Masam mencekut - masam sesangat
Merepih - mencangkul rumput
Mengopeh - suka pegang sana..pegang sini..tangan tak duduk diam
Merepau -jalan dalam hutan tanpa tujuan
Melengger - apa ye perkataan sesuai.contohnya perahu yang hampir nak
dimasuki air
Merabung -kuantiti yang banyak.nasi sepingan rabung
Mengoteh, meroteh - tgn tak dok diam
melukah - (kain yang dipakai terbuka)
menganjing - mengada..hehe
Motong - (menoreh getah)
Mamai - emosi tak stabil(betul ke guna makna ni?)
Manis meleting - teramat manis
Mengekot - tubuh berbaring dengan bengkok..ala cam asam gelugur
kedudukanya.
Mengaran,menajau - menangkap ikan dengan cacak tiang tgh sungai ikat
tangsi dan mata kail.untuk pemberatnya tampat botol bersama.
Merawei - satu lagi cara menangkap ikan.
Mengoloh - tolak balik/undur
Mencelabak - benda jatuh dalam jumlah yang banyak atau berat
Melepam - pahit/.masin/ masam sangat
Mencanak -laju sangat(mencayak? )
Mek nye(matnya) - kenapanya
Malaih - malas
Mombong - penuh
Mengkane - telekung sembahyang


N
Nyayup - tinggi sangat diatas atau bawah sangat
Nyuluh - operasi buru binatng hutan pada mlm hari
Ngilir - menghala kehilir sungai.(dengan bot/perahu) secara perlahan.
Ngonyoh - gosok dengan kasar
Nyeraya - suruh


O
Oteing - Pening!Pah palih! Oteing paler kawan nak buat mende ni!
Omis- kuat berletir


P
Pane - sunyi sepi
Penek @ pandok - Pendek
Pedooh' - tipu
Paluh - air sungai yang terkepung dek pasir(air tak mengalir)
Pundung/safa - rumah kecik yang dibuat untuk berehat seperti tepi
sawah,kebun durian dsb
Pepalih - maksudnya macam...ishh. ..teruknye. cthnye : pepalih awok
nyape buat gitu
Podot - sumbatcth ayat: kadir.kalau tok muat jugek aok podot je la
baju tu dlm beg ni
Perintan - Keadaan,masa
Polok - gelojoh
Palor - Biar


Q


R
Rodong/ghodong - kengkawan cth. ayat: mok..koi nok keluor kejak jumpa
ghodong
Racik - jerat ayam hutan
Ralit - kusyuk
Rege - harga
Rompung - abis sebahagian cth ayat : kerete itu rompung beloh
(bahagian) hadapan.
Rabet - koyak
Rebat @ merebat - hujan mula2 @ lari semua.


S
Sesemut -kebas kaki
Senyour-
kebas kaki juga
Seronyih - serabut, tak kemas, tak seperti keadaan asal
Semonyeh - makan makanan tidak cermat atau kerja tidak sempurna.
Sempelit - kotor cth ayat: budak itu sempelit dengan tanah.
sangei - tudung saji
sengkawang -(tak tau makna dia ni)
Sengkelen -duit siling/pulas tangan kebelakang
Sempelet - kotoran di badan
Se'eh - Kenyang yg teramat sgt.Cth : Se'ehnya perot kawan ni.rase
macam tok leh nok bangun doh!
Sokmo - selalu , Contoh :ler..sokmo nye aku yang kena buat..pemalas
betul budak nie!
Setoho - di sana,
Seman (sebutan dengan seiman) - terkena badi/kenan.
sepolit - tinggal sedikit
Sekeceng - tidor sekejap sangat
Sokmo - selalu
Sakat -kandas/tersekat pergerakan perahu/bot.dalam air dek kerana
pasir


T
Taruk - letak
Tea'endok - Tidak mahu (jerentut, lipis raub)
tekeh - sekeh/ketuk/ pukul dengan belakang gemgaman tangan.
Tawor Hebe - Tawar Sesangat (Air)
Tekeih - sikit lagi. tekeih dah no kena ikan tadi.(sikit lagi nak
dapat tangkap ikan itu)
Tohor - cetek , cth ayat: lor..mek nya tohor ngat air sungei nie
Tertomos - jatuh tersembam, tersungkur
Tembe - lembek, lemah, manja
Tok - tidak , Cth : tok makan lagi la..kawan lapo nie,
Tebal bakut - sangat tebal ( bak kata org pahang ckp bahse KL tebal
giler!)


U


V


W
Wabe/bala/papalih - lebih kurang le makna tiga perkataan tu.


X


Y
Yas - kata seruan - macam itu


Z-

PERHATIAN ORANG LIPIS

Kalau ada tambahan sila KOMEN di bawah . terima kasih

Khamis, 13 November 2008

Peniaga rungut jualan semakin kurang



KUALA LIPIS - Masalah pengangkutan dan jarak pasar yang jauh dari bandar Lipis lama menyebabkan orang ramai terutama penduduk kampung sukar ke Pasar Bunga Cengkih itu.


Kesusahan itu bukan sahaja dirasai pembeli dari kampung itu tetapi peniaga juga menghadapi masalah sama.

Seorang peniaga, Siti Rohani Ismail, 56, berkata dia tidak menghadapi masalah pengangkutan tetapi beberapa rakannya terpaksa menyewa kereta sapu atau teksi dengan bayaran RM7 satu hala untuk membawa barang jualan ke pasar baru.

“Jika sebelum ini kebanyakan peniaga dari pedalaman menaiki kereta api dan mengupah orang untuk membawa barang jualan ke pasar tani, tetapi kini kos pengangkutan semakin meningkat sekali ganda,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Siti Rohani berkata, selama berniaga 10 tahun di pasar tani itu, ini adalah kali pertama jualannya agak kurang.

“Pada kebiasaannya jualan akan habis menjelang 11 pagi, tetapi jualan masih habis sehingga jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu disebabkan kebanyakan pembeli sukar ke pasar tersebut kerana lokasinya jauh berbanding pasar lama.

“Pasar lama terletak di tengah-tengah bandar dan orang kampung yang naiki bas atau kereta api mudah berjalan ke pasar tersebut.

“Tetapi kini mereka terpaksa menyewa teksi dengan bayaran yang tinggi,” katanya.

Keadaan tersebut katanya, meruncing apabila Terminal Anggerik masih belum beroperasi.

Seorang pembeli pasar tani, Che Him Che Mat, 39, berkata sekiranya terminal tersebut sudah beroperasi pasti segala masalah berkenaan pengangkutan dapat diatasi.

“Pembeli yang mempunyai kenderaan sendiri pasti tidak mempunyai masalah ke pasar tani, tetapi bagaimana dengan orang kampung yang menaiki kereta api dan bas. Pasti mereka sukar ke pasar ini,” katanya.

Terminal Anggerik dan Pasar Bunga Cengkih itu dirasmikan sebulan lalu - Sinar Harian Pahang

Pasar Bunga Cengkih Kuala Lipis

Rabu, 12 November 2008

Dua wakil rakyat tewas di Lipis



KUALA LIPIS 10 Nov. - Dua wakil rakyat tewas dalam perebutan jawatan pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Lipis yang berakhir di sini malam tadi.

Dua wakil rakyat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Soffi Tan Sri Razak dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman.

Pada persidangan yang dihadiri 336 perwakilan daripada 84 cawangan itu, Soffi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Lipis selepas tewas kepada timbalannya, Abdul Rahman Mohamed.

Soffi mendapat 146 undi, manakala Abdul Rahman yang juga ADUN Padang Tengku memperoleh 188 undi.

Mohamed Shahrom yang mendapat 129 undi tewas kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Suhaimi Ibrahim yang memperoleh 204 undi bagi jawatan timbalan ketua bahagian.

Pembantu Khas kepada Menteri Besar Pahang yang juga ahli jawatankuasa UMNO bahagian, Mustapha Long yang memperoleh 197 undi memenangi jawatan naib ketua bahagian selepas mengalahkan Setiausaha UMNO bahagian, Zulkifli Mohamad yang mendapat 137 undi.

Pengumuman keputusan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman selaku wakil Badan Perhubungan UMNO negeri di Dewan UMNO Lipis pukul 8 malam tadi.

Abdul Rahman ketika ditemui berkata, kemenangannya berasaskan kepercayaan perwakilan yang inginkan perubahan dalam UMNO Bahagian Lipis.

''Ahli di akar umbi mahukan perubahan khususnya dalam menangani kebajikan penduduk luar bandar termasuk projek pembangunan yang masih belum direalisasikan di daerah Lipis," katanya.

Beliau berkata, tugas utamanya kini ialah mengembalikan keyakinan dan kesetiaan golongan muda terhadap perjuangan UMNO terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Saya yakin komitmen dan kerjasama Timbalan Ketua Bahagian yang baru yang berpengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Mustapa selaku pakar dalam bidang motivasi boleh memantapkan jentera parti khususnya perubahan pemikiran golongan muda di Lipis,'' katanya.

Sementara itu, Suhaimi mengucapkan berterima kasih kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui kepimpinan bahagian Lipis - Utusan Malaysia

NGUPINGTRUS

Komen

Tidak dapat dinafikan sebelum ini terdapat suara yang menyatakan YB Aman tidak layak menjadi Betua Bahagian kerana beliau Wakil Rakyat biasa, tiada gelaran Dato', tidak mempunyai pelajaran tinggi, tiada hubungan dengan istana dan berbagai lagi tetapi dalam politik itu tidak penting yang penting kita berkerjasama dengan semua AJK Bahagian, Pemuda,Wanita dan Puteri serta mendapat sokongan padu dari akar umbi. Tidak guna kita pandai tetapi akar umbi membenci kita. Pada pengamatan saya buat masa ini UMNO Bahagian mempunyai satu barisan yang sangat mantap gunalah kesempatan ini untuk memajukan tempat kita buang harsad dengki, tikam menikam dan bertaut kembali, yang kalah perlu menyokong yang menang, itu yang dikata demokrasi sebenar.

Ahad, 9 November 2008

UMNO Bahagian Lipis dapat Ketua Baru 2008-2010


"tonggak baru lipis"

Ketua Bahagian

YB Dato' Ir Mohd Sofi bin Tan Sri Razak 146
VS
YB Abdul Rahman bin Hj Mohamad 188 Menang Majoriti 42

Timbalan Ketua Bahagian
YB Dr Mohamad Shahrum bin Osman 129
VS
Dato Suhaimi bin Ibrahim 204 Menang Majoriti 77

Naib Ketua Bahagian
Hj Zulkifli bin Othman 137
VS
Mustaffa Long. 197 Menang Majoriti 60

Persaingan merebut jawatan ini merupakan tradisi UMNO Bahagian Lipis.

"Yang Menang jangan suka sangat kerana ada tugas yang sangat mencabar menanti anda"

"Selamat menjalankan tugas untuk bangsa, Agama dan Negara"

Sabtu, 8 November 2008

Kerajaan Akan Ambil Langkah Kekalkan Harga MSM Pada RM2,000-RM2,600



PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan langkah untuk mengurangkan bekalan dan meningkatkan penggunan minyak sawit untuk mengekalkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM2,000 hingga RM2,600 setonne.

Langkah itu termasuk mempercepatkan penanaman semula pokok kelapa sawit yang berusia lebih daripada 25 tahun, meningkatkan kegunaan bahan api bio dan membangunkan aktiviti hiliran, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui. Baca seterusnya di BERNAMA

Komen:
Kejatuhan harga tersebut boleh menimbulkan krisis masyarakat luar bandar terutama penduduk yang bergantung dengan hasil komoditi tersebut. Kejatuhan harga getah selepas hari raya tempoh hari telah memberi kesan kepada penduduk luar bandar. Harap kerajaan mengambil satu usaha untuk meringgan beban mereka.

Khamis, 6 November 2008

Pahang susun semula perkampungan Orang Asli



TEMERLOH 5 Nov. – Kerajaan Pahang sedang melaksanakan program pembangunan desa untuk masyarakat Orang Asli dengan menyusun semula perkampungan kaum itu di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi menyelenggarakan semula perkampungan Orang Asli termasuk membina kemudahan asas.

Menerusi projek berkenaan, katanya, sebanyak 10 kampung Orang Asli Lipis, Cameron Highlands, Pekan, Temerloh, Rompin dan Bera akan dibangunkan semula.

‘‘Projek perintis pembangunan ini telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan membuka sebuah penempatan baru untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Pantos, Hulu Jelai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sehari Bersama Masyarakat Orang Asli anjuran Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Pahang di Kampung Pian, Jenderak, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Muhamad Jaafar; Pegawai Daerah Temerloh, Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi PBSM Pahang, Datuk Hashim Abdul Wahab dan Tok Batin Kampung Pian, Muhamad a/l Kuang.

Antara aktiviti yang diadakan pada program itu termasuk ceramah kesedaran penyakit HIV/AIDS, pemeriksaan kesihatan, rawatan pergigian dan sumbangan pakaian daripada PBSM.

Wan Rosdy berkata, Orang Asli yang tinggal berdekatan persisiran Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang akan ditempatkan di sebuah kawasan yang dilengkapi dengan kemudahan asas mulai tahun ini.

Sebagai contoh, katanya, Kampung Pantos dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah, bekalan air bersih dan jalan raya bernilai RM10 juta.

‘‘Kerajaan menerusi kerjasama Felcra dan Risda akan memajukan tanah berdekatan perkampungan berkenaan dengan projek tanaman kelapa sawit dan getah untuk memberi manfaat kepada Orang Asli berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Orang Asli akan dilibatkan dalam sektor perladangan dalam usaha mengeluarkan kaum itu daripada garis kemiskinan menjelang 2010.

Dalam pada itu, beliau meminta Orang Asli tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang berkepentingan untuk menggagalkan setiap usaha kerajaan membangunkan kaum berkenaan.

‘‘Pihak berkenaan datang ke kampung kita empat tahun sekali, menabur janji untuk memancing undi dengan bantuan tertentu tetapi selepas pilihan raya, janji tidak ditunaikan, malah tidak muncul lagi wajah-wajah mereka,” katanya. - Utusan Malaysia

Masih Ada Rezeki di Hutan



Ahmad a/l Selalu

Tok Empat Betau

KUALA LIPIS 5 Nov. - Masyarakat Orang Asli merupakan kumpulan minoriti yang terdiri daripada pelbagai suku yang hidup di kawasan terpencil dan pedalaman di negara ini.

Sesuai dengan kehidupan terpencil di pedalaman, Orang Asli menjadikan hutan rimba sebagai tempat untuk mencari rezeki bagi menyara hidup sejak dari zaman berzaman.

Sesetengah Orang Asli mempunyai penempatan tetap yang disediakan oleh kerajaan dan sebahagian mereka telah mengubah cara hidup dan tinggal di bandar selain berkerjaya profesional.

Namun masyarakat Orang Asli tidak boleh lari dengan cara hidup di hutan kerana sebelum negara merdeka, kaum itu tinggal di belantara, kaki bukit, tepi sungai dan berpindah-randah untuk mencari keperluan makanan.

Walaupun pembangunan pascamerdeka sudah dirasai kesannya di kawasan luar bandar dan pedalaman, tetapi sebilangan besar Orang Asli lebih suka memilih hutan sebagai tempat mencari rezeki.

Pada masa yang sama, segelintir daripada mereka masih berpegang kepercayaan kepada roh dan semangat.

Mereka mendakwa, hutan punca segala rezeki, penyembuh penyakit, perkuburan si mati, pertemuan jodoh, kediaman hantu dan beberapa perspektif yang berkait dengan budaya dan kepercayaan animisme.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa perkampungan Orang Asli di daerah Lipis, Jerantut dan Temerloh mendapati kebanyakan Orang Asli masih betah dengan kehidupan hutan kerana dapat meneroka hasil seperti herba, rotan, gaharu, berhuma dan binatang liar sebagai sumber makanan.

Tok Batin Kampung Pian, Kuala Krau dekat sini, Muhamad a/l Kuang, 56, berkata, Orang Asli memilih hutan kerana sumber ekonomi dan banyak hasil tumbuh- tumbuhan yang boleh dicari untuk dijual bagi menjana pendapatan lumayan.

''Ini kerana orang luar (peniaga di bandar) perlukan bahan tertentu seperti rotan dan gaharu untuk dikomersialkan. Kami masuk ke hutan untuk mendapat hasil berkenaan yang dijual dengan harga yang mahal," katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.

Menurut Muhamad, pekerjaan lain khususnya di sektor kerajaan dianggap tidak begitu sesuai dengan masyarakat itu ditambah lagi tanpa kemahiran dan pengetahuan menyebabkan Orang Asli memfokus hutan sebagai lubuk pekerjaan.

Pendapat itu disokong oleh seorang penduduk Kampung Sentol, Betau dekat sini, Rahman a/l Bahaudek, 41, yang menganggap hutan masih lagi didominasi kaum Orang Asli.

''Didikan ibu bapa dan budaya Orang Asli antara sebab kaum itu termasuk remaja dan belia berminat masuk ke dalam hutan untuk mencari rezeki," katanya.

Menurut beliau, sejak kecil anak-anak Orang Asli dibawa oleh ibu bapa mereka masuk ke hutan ketika mencari rezeki sekali gus menerapkan budaya berkenaan kepada generasi hari ini agar mencintai hutan.

Warga emas Kampung Sungai Kiol, Jerantut, Taib a/l Pandak, 70, berkata, dia menganggap Orang Asli tidak boleh hidup tanpa hutan kerana banyak khazanah yang bernilai tinggi di kawasan itu.

''Selain rotan, saya ke hutan setiap hari untuk mencari akar kayu (herba) untuk dibuat ubat dan mendapatkan kayu yang sesuai untuk dijadikan ukiran," katanya.

Taib yang berketurunan suku Jahut seterusnya berkata, sumpitan dan ukiran kayu berbentuk objek tertentu dijual kepada pelancong sebagai cenderamata dan hiasan rumah.

Tok Batin Kampung Betau, Ahmad a/l Selalu, 44, berkata, latar belakang keluarga merupakan antara sebab sesetengah Orang Asli memilih masuk ke hutan untuk mencari rezeki. Bagaimanapun ada yang telah meninggalkan amalan lapuk yang sering berpindah randah untuk memilih penempatan di dalam hutan.

''Inilah punca masalah keciciran berlaku di kalangan anak Orang Asli apabila ibu bapa selalu membawa anak-anak masuk ke hutan berminggu-minggu lamanya untuk mencari hasil untuk dijual kepada pihak luar," katanya.

Tambahnya, hanya pendidikan dan motivasi mengenai kehidupan yang lebih terancang daripada pihak kerajaan mampu mengubah cara hidup Orang Asli daripada terus berburu di hutan kepada berkhidmat di sektor awam atau swasta - Utusan Malaysia

Rabu, 5 November 2008

Obama dipilih Presiden Amerika ke-44


WASHINGTON: Barack Obama dipilih sebagai presiden baru Amerika Syarikat, warga berkulit hitam Afrika-Amerika pertama menduduki Rumah Putih.

Dengan menempah kejayaan di Florida, Ohio, Pennsylvania, Virginia dan beberapa negeri yang menjadi medan persaingan yang berpihak kepadanya, Obama mendahuli langkah ke Rumah Putih berbanding pesaingnya, John McCain daripada Republikan.

Anak kepada lelaki kulit hitam dari Kenya dengan emaknya dari Kansas, Obama meraih undi popular selepas ucapan yang dianggap amat baik di Dewan Konvensyen Demokratik pada 2004 bagi mendapatkan kerusi Senat. - AP

Komen.

Baru satu generasi dah jadi Presiden Amerika.

"Tempat kita baru nak lantik jadi Presiden PKNS heboh satu Malaya. UMNO, PAS belasah MB Selangor...!" ingat kita negara majmuk berbilang bangsa.

Isnin, 3 November 2008

Persidangan Perwakilan UMNO Bhg Lipis 2008



Tarikh : 09 Nov 2008

Tempat : Dewan Wisma UMNO Lipis.

Ketua Bahagian
YB Dato' Ir Mohd Sofi bin Tan Sri Razak VS YB Abdul Rahman bin Hj Mohamad

Timbalan Ketua Bahagian
YB Dr Mohamad Shahrum bin Osman VS Dato Suhaimi bin Ibrahim

Naib Ketua Bahagian
Hj Zulkifli bin Othman VS Mustaffa Long.

Persaingan merebut jawatan ini merupakan tradisi UMNO Bahagian Lipis.
selepas ini mereka akan bertaut kembali.

"Selamat Bersidang"

Ahad, 2 November 2008

Mesyuarat Perwakilan UMNO BHG Cameron Hingland 2008 -2011



Ketua Bahagian : Dato' Wan Rosdy bin Wan Ismail (tiada Pertandingan)


Timbalan Ketua : Zainal Abidin bin Mohd Hanapiah (tiada pertandingan)


Naib Ketua : Yusof Yong menang 117

Dengan restu Dato Ketua Bahagian CH, Dato' Omar bin Osman berjaya ke G 7.


Bahagian ini pula mencalonkan

Presiden : Dato' Seri Najib bin Tun Abd Razak

Timbalan Presiden : Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Naib presiden : Datuk Rais Yatim,
Datuk Jamaluddin Jarjis,
Datuk Khaled Nordin.


"Selamat berjuang untuk anak Bangsa"