responsif teks foto

Selasa, 25 November 2008

Guna Internet promosikan produk




Mesuan Trading Sungai Koyan HP 012-9517184 (R) 093402011

KUALA LIPIS 24 Nov. - Usahawan bumiputera di negeri ini disaran menggunakan Internet untuk mempromosi produk masing-masing bagi memperluaskan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu dapat mempercepatkan pasaran sesuatu produk dari luar bandar serta mampu bersaing dengan pengeluar lain.

Katanya, promosi menerusi Internet dapat membantu memperkenalkan sesuatu produk dengan pantas malah boleh difrancaiskan kepada pengusaha lain di samping meningkatkan jualan serta pendapatan.

''Usahawan perlu membina laman web dan blog syarikat perniagaan masing-masing untuk mempromosi setiap produk agar lebih dikenali dan menjangkau ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Usahawan Sosial sempena Minggu Usahawan Global, di Felda Sungai Koyan Satu, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak.

Minggu Usahawan Global itu membabitkan pameran dan jualan produk daripada 35 pengusaha di Gugusan Felda Koyan.

Menurut Wan Rosdy, pengusaha bumiputera di negeri ini perlu mengubah strategi pemasaran yang hanya menumpukan pasaran produk di pekan sehari, pasar tani dan kedai runcit yang amat terhad dari segi pasaran.

''Kejayaan syarikat konglomerat dalam sektor perniagaan adalah sebahagian besar operasi pengurusan dan pemasarannya dibantu dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)," katanya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai memberitahu, sebanyak 2,173 syarikat berasaskan ICT di negara ini telah diberi status Koridor Raya Multimedia (MSC) sehingga 31 Oktober lalu dengan hampir 74 peratus daripadanya adalah syarikat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk menaiktaraf bangunan Pusat Internet Desa (PID) Sungai Koyan.

''Kita yakin PID Sungai Koyan mampu menjadi sebuah pusat yang menggerakkan pemasaran produk usahawan di sini dan tumpuan belia untuk mempelajari ICT," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 42 cawangan PID di Pahang beroperasi setiap hari untuk memberi latihan ICT, teleusahawan dan kursus komputer secara percuma kepada belia tempatan.- Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny