Khamis, 6 November 2008

Pahang susun semula perkampungan Orang Asli



TEMERLOH 5 Nov. – Kerajaan Pahang sedang melaksanakan program pembangunan desa untuk masyarakat Orang Asli dengan menyusun semula perkampungan kaum itu di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi menyelenggarakan semula perkampungan Orang Asli termasuk membina kemudahan asas.

Menerusi projek berkenaan, katanya, sebanyak 10 kampung Orang Asli Lipis, Cameron Highlands, Pekan, Temerloh, Rompin dan Bera akan dibangunkan semula.

‘‘Projek perintis pembangunan ini telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan membuka sebuah penempatan baru untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Pantos, Hulu Jelai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sehari Bersama Masyarakat Orang Asli anjuran Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Pahang di Kampung Pian, Jenderak, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Muhamad Jaafar; Pegawai Daerah Temerloh, Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi PBSM Pahang, Datuk Hashim Abdul Wahab dan Tok Batin Kampung Pian, Muhamad a/l Kuang.

Antara aktiviti yang diadakan pada program itu termasuk ceramah kesedaran penyakit HIV/AIDS, pemeriksaan kesihatan, rawatan pergigian dan sumbangan pakaian daripada PBSM.

Wan Rosdy berkata, Orang Asli yang tinggal berdekatan persisiran Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang akan ditempatkan di sebuah kawasan yang dilengkapi dengan kemudahan asas mulai tahun ini.

Sebagai contoh, katanya, Kampung Pantos dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah, bekalan air bersih dan jalan raya bernilai RM10 juta.

‘‘Kerajaan menerusi kerjasama Felcra dan Risda akan memajukan tanah berdekatan perkampungan berkenaan dengan projek tanaman kelapa sawit dan getah untuk memberi manfaat kepada Orang Asli berkenaan,” katanya.

Menurutnya, Orang Asli akan dilibatkan dalam sektor perladangan dalam usaha mengeluarkan kaum itu daripada garis kemiskinan menjelang 2010.

Dalam pada itu, beliau meminta Orang Asli tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang berkepentingan untuk menggagalkan setiap usaha kerajaan membangunkan kaum berkenaan.

‘‘Pihak berkenaan datang ke kampung kita empat tahun sekali, menabur janji untuk memancing undi dengan bantuan tertentu tetapi selepas pilihan raya, janji tidak ditunaikan, malah tidak muncul lagi wajah-wajah mereka,” katanya. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: