responsif teks foto

Ahad, 7 Disember 2008

Banyak sungai di Lipis tercemar

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 6 Dis. - Kerajaan Pahang masih belum berpuas hati dengan tahap kebersihan sungai-sungai di sini, yang tercemar berpunca daripada perbuatan segelintir penduduk sehingga menjejaskan sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebanyakan sungai di sini dicemari dengan najis, bangkai haiwan dan sampah sarap.

''Kita kecewa kerana sungai yang indah dan menjadi tapak perkelahan kini telah tercemar. Lebih malang lagi, ia adalah sumber air minuman kita," katanya ketika merasmikan program gotong-royong Sungai Jelai Kecil sempena Kempen Cintailah Sungai Kita di pusat rekreasi Kuala Koyan dekat sini hari ini.

Hadir sama, Penghulu Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak.

Menurut Wan Rosdy, pencemaran tersebut boleh menyebabkan risiko penyakit jika langkah pencegahan tidak diambil segera.

Katanya, apabila sungai tercemar, sektor pelancongan akan terjejas sekali gus menyebabkan kurangnya pendapatan penduduk yang menjalankan perniagaan di kawasan rekreasi itu.

Selain itu katanya, sikap pengusaha industri yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa juga merupakan punca pencemaran.

''Penduduk tidak perlu menyalahkan pihak berkuasa. Sebenarnya punca utama sungai tercemar ialah sikap kita sendiri," katanya.

Beliau berkata, penjagaan sungai memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar yang kebanyakannya terletak di negeri yang pesat membangun seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM300,000 untuk membina tandas awam, dewan, bilik persalinan, astaka dan surau di pusat rekreasi Kuala Koyan.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, Kuala Koyan dan Sungai Jelai Kecil akan menjadi tarikan baru pelancong untuk menjalankan kegiatan rekreasi. Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny