responsif teks foto

Selasa, 27 Januari 2009

Tonjol budaya tempatan



KUALA LIPIS 26 Jan.- Kesungguhan dan komitmen penduduk menjadi faktor Projek Inap Desa Kuala Medang sekali lagi dipilih menerima anugerah terbaik peringkat kebangsaan pada tahun lalu.
Anugerah diterima pada majlis penutup showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka, bulan lalu.
Sebelum ini, Projek Inap Desa Kuala Medang yang mewakili Pahang pernah menerima anugerah sama pada 2006.
Pengerusi Penyelaras Projek Inap Desa Kuala Medang, Mohd. Razaki Abdul Razak berkata, pencapaian itu merupakan bukti kesungguhan penduduk dalam menjayakan projek tersebut.
''Pertandingan berkenaan sekali gus mengiktiraf usaha penduduk Kuala Medang untuk menonjolkan khazanah budaya tempatan dan hasil pertanian.
''Kita menggalakkan kegiatan berkonsepkan penjanaan produk dan perkhidmatan yang beridentitikan tempatan yang dihasilkan secara komersial untuk menarik minat pelancong ke Lipis dan Pahang amnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kegiatan inap desa menjurus ke arah pembangunan masyarakat kreatif dan berinovasi sekali gus memupuk keharmonian melalui sosioekonomi.
''Kita menyediakan ruang selesa untuk pelancong manakala produk atau perkhidmatan SDSI memenuhi aspek piawaian, kualiti, persijilan, pelabelan dan pengurusan," katanya.
Mohd. Razaki berkata, konsep kontemporari yang dilaksanakan di Kuala Medang menyamai pendekatan yang diamalkan di Jepun, Korea dan Eropah yang berorientasikan model perniagaan yang kompetitif dan berdaya maju untuk menambah pendapatan penduduk menerusi sektor pelancongan.
Sehubungan itu, jelas beliau, kejayaan berkenaan boleh merangsang usahawan di Kuala Medang untuk menghasilkan produk termasuk perkhidmatan yang lebih bermutu setanding projek sama di negara lain.
''Kita yakin kejayaan ini memacu semangat penduduk dan usahawan di sini untuk memberi perkhidmatan terbaik dan menjana kualiti produk masing-masing untuk menarik ramai pelawat ke Lipis," katanya.
Mohd. Razaki berkata, kejayaan Kuala Medang meletakkan kampung pedalaman itu sebaris dengan destinasi pelancongan tersohor lain sekali gus menempa nama dalam peta dunia.
Beliau menambah, usaha 'menjual' Program Inap Desa Kuala Medang akan dirancakkan apabila jawatankuasa pengurusan projek berkenaan dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) Pahang mengadakan lawatan promosi ke New Zealand bulan depan. Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny