Sabtu, 18 April 2009

Rakyat tak tolak BN: Najib


PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat hanya menolak pemimpin yang tidak dekat di hati mereka dan bukannya menolak Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, oleh itu pemimpin BN perlu bekerja keras mendekati rakyat bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Perdana Menteri berkata sekalipun berlaku 'tsunami politik' semasa pilihan raya umum 2008, namun kejayaan beliau mendapat majoriti besar di Parlimen Pekan iaitu 26,464 undi, majoriti yang dilihat menongkah arus pada pilihan raya umum lalu itu, membuktikan rakyat senang dengan pemimpin yang selalu mendekati mereka.

"Maknanya rakyat tidak tolak BN tapi hanya menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat," katanya ketika berucap pada majlis sambutan meraikan perdana menteri peringkat Parlimen Pekan di sini hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Najib berkata pemimpin BN kini perlu mencontohi pemimpin terdahulu yang sentiasa bersama rakyat dan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Ayahanda saya, Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua), sanggup menyingsing seluar, rabat (panjat) tangga untuk melawat rakyat, jadi zaman sekarang ini, wakil rakyat tak perlulah "berbush jacket" lagi, gunakanlah pendekatan yang dekat di hati rakyat, abdikanlah diri kepada rakyat," katanya.

Pada sidang media di kediamannya selepas itu, Najib berkata konsep abdikan diri itu ialah para pemimpin perlulah sentiasa melaksanakan gerak kerja yang mengutamakan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat tanpa menunggu menjelangnya pilihan raya.

"Kita mesti mendampingi rakyat dan mengutamakan rakyat dalam gerak kerja kita sebagai wakli rakyat Parlimen atau negeri, ada jawatan atau tidak dalam kerajaan, kalau kita berbuat demikian kita bukan sahaja mendekatkan hubungan dengan rakyat tapi dapat tahu masalah rakyat dan dapat meleraikan kekusutan yang dihadapi rakyat tanpa perlu menunggu pilihan raya, buat kerja tanpa menunggu (adanya) pilihan raya," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis sambutan itu, Najib melahirkan rasa terharu dengan sambutan lebih 15,000 warga Pekan yang menyambut kepulangan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Najib berkata sepanduk parti Pas yang turut mengalu-alukan pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang dipasang di persimpangan Tanah Putih menghala ke bandar Pekan turut menyentuh hatinya. - Bernama

Komen

"Kena sambut gembira jugalah sebab kita orang Pahang dan bila nak bertandang ke Lipis yang di hulu ni...?

Tiada ulasan: