responsif teks foto

Selasa, 18 Ogos 2009

Kampung Tenggelan Dalam Kenangan

Tun Muhamad Ghazali Shafei bersama pemimpin Telang



Kedudukan kampung Tanjung Besar Tenggelan


AM 

Sejarah kedatangan gerombongan orang rawa sumatera barat ke kawasan Raub/Lipis khas kampung Tenggelan terletak di hulu Ulu Sega dan Ulu Telang sebenarnya tidak pernah dicatat secara terpeinci oleh keluarga mereka sendiri yang sudah bertaburan di merata tempat terutama di Kampung Lubuk Kulit/Beletik. Maklumat utama yang sangat diperlukan oleh pengkaji sejarah seperti tahun kedatangan mereka, nama tokoh utama, tempat asal mereka datang dan asal-usul keturunan mereka tidak dijumpai secara teratur dalam bentuk dokumen bertulis. Hanya yang ada adalah riwayat secara lisan dari mulut kemulut sahaja, sayang jika maklumat ini tidak dicatat kerana pengingat akan meninggalkan kita. Peminat sejarah yang mengkaji sejarah tersebut terpaksa berusaha gigih dan memperuntukan masa bergerak ke sana ke mari menemuramah generasi lama yang masih ada.

SEJARAH KAMPUNG TENGGELAN

Kedatangan orang sumatera barat ke tanah melayu terutama di kawasan Tenggelan lebih kurang pada tahun 1830 hingga 1840 semasa ‘perang Paderi’ 1821-1837 di Minangkabau. Kampung ini mula dibuka oleh ‘Apit Limpang’ Haji Panglima kiri Mat Daud yang dikata berasal dari Minangkabau, beliau merupakan Panglima Kiri Maharaja Perba Jelai Wan Muhamad bin Wan Deris (1882-1919) anak beliau Mat Akil, Mat Akhir dan Hjh Rahmah. Mat Akil bapa kepada Long merupakan tok empat (ketua kampung) Kampung Barus. Kampung Tenggelan ini sudah tiada lagi pada hari ini kerana penduduk kampung tersebut telah meninggalkan kampung mereka kerana ganguan Komunis pada zaman darurat 1948-1960.

‘Apit limpang’ merupakan panglima kiri, orang yang sehidup semati dengan Tok Raja hanya ganti mata dan telingga baginya. Apabila rantau Jelai berlaku petelingkahan atau ingin berperang dengan orang luar, Tok Raja akan menjemput ‘Apit Limpang’ ke Bukit Betong yang jauh dua hari perjalanan dari kampung Tenggelan melalui sungai Telang untuk menyediakan angkatan perang. Boleh dikatakan persediaan peralatan perang ini menjurus kepada ilmu kebatinan yang tidak dapat dijangkau dengan akal fikiran yang manusia tetapi itulah ilmu perang yang ada, inilah yang dipergunakan orang melayu zaman-berzaman. Jasa ‘Apit Limpang’ yang paling besar kepada Tok Raja apabila beliau berjaya membantu beliau dalam perang Pahang- Selangor 1872 bersama pembesar pahang yang lain. Peristiwa ini diiktiraf oleh Sultan Ahmad. Tan Sri Muhamad Ghazali Shafei Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri 1973-1981 juga mempunyai pertalian salasilah dengan orang di Tenggelan.

Untuk pengetahuan, Rantau Hulu Pahang pernah suatu ketika terpisah dari pemerintahan Sultan Pahang Pekan apabila tanah tersebut dibeli oleh Seri Maharaja Perba Jelai yang pertama itu dari Sultan Abdul Ghafur Mohaidein Shah iaitu Sultan Pahang terakhir keturunan Melaka (1567-1614) dengan harga “segengang ulang aling emas satu dasar bali isi emas dan sekuku tangan baju isi emas” Disebab itulah Maharaja Perba Jelai sangat dihormati oleh penduduk hulu Pahang suatu ketika dahulu sehingga terkenal dengan gelar “Raja Bukit Betong ” atau Raja Bukit Di Bukit” kerana sememangnya beliau berasal dari raja di Pagaruyung.

Jika terdapat pembetulan sila komen di ruang komen kerjasama anda sangat dialu-alukan

Rujuk:

Zafuan Haji Manap - Bingkisan Sejarah Raub Rao dan Pagaruyung Pertalian Dengan Raub Dan Pahang.
Zakaria Hitam – Asal usul Nama tempat bersejarah Negeri Pahang.
Dicerita oleh Hj Yackob bin Ishak yang dilahirkan di Tanjung Besar Tenggelan

Tiada ulasan:

AddToAny