responsif teks foto

Ahad, 20 Disember 2009

Angin Kencang Di Pantai Timur Hingga Selasa


KUALA LUMPUR, 18 Dis [3.34 pm] - Jabatan Metereologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa di Perak dan Kedah bermula hari ini, dijangka berterusan sehingga 20 Disember. Di Kedah daerah yang terlibat adalah Padang Terap dan Sik manakala di Perak daerah yang terlibat adalah Hulu Perak dan keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti berhampiran tebing sungai. "Manakala keadaan yang sama dijangka berterusan hingga 22 Dis di kawasan pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang," kata jabatan itu. Di Kelantan kawasan yang dijangka mengalami keadaan itu adalah jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai. Manakala di Terengganu kawasan yang terjejas adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, dan di Pahang daerah yang mengalami keadaan demikian ialah Kuantan, Pekan dan Rompin. Kenyataan itu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur) perairan Condore, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) Reef North, Layang-layang dan Palawan di Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 23 Disember. Sehubungan itu, katanya, kawasan pantai di pantai timur Semenanjung terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang tempoh itu. "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, kegiatan sukan dan rekreasi laut," kata kenyataan itu.
[Kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Metereologi ini seolah-olah ada kebenarannya. Difahamkan, seluruh bandar Kuantan mengalami hujan mulai awal pagi tadi. Kejadian yang sudah dianggap baik selepas edisi banjir baru-baru ini. Apakah banjir akan berlaku lagi untuk kali kedua di negeri ini agaknya?. Apapun kepada semua rakyat Pahang yang mendiami kawasan berisiko banjir, diharap dapat bersedia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku. Pastikan segala dokumen penting disimpan dan diletakkan ditempat yang selamat. Ikut arahan pihak polis dan jangan sesekali memandai-mandai untuk menunjukkan kehebatan. Kita tidak mahu lagi mendengar ada mangsa yang meninggal dunia].

Jumaat, 18 Disember 2009

Bolasepak: "Tahniah Malaysia"


Saya pasti berjuta rakyat Malaysia termasuk saya sendiri sangat
teruja dengan kemenangan yang tak disangka-sangka ini.
Semua orang tahu pasukan Vietnam dengan mudah kalahkan
Malaysia 3-1 pada saingan kumpulan. Mereka juga kalahkan
pasukan favourite, Singapura dengan jaringan agak besar,
4-1 di separuh akhir. Tup, tup, Malaysia kalahkan mereka
pula dengan jaringan tipis 1-0. Setahu saya,sejak tahun 2002,
inilah kemenangan pertama Malaysia ke atas Vietnam.

Pada pendapat kawan-kawan, apa agaknya yang membuatkan
team Malaysia dapat beat Vietnam kali ni? Kekuatan Malaysia atau
kelemahan pada Vietnam tu sendiri?

Saya bukanlah seorang peminat tegar bola sepak. Tapi melalui
perlawanan kali ni, saya dapat rasakan team Malaysia kali ni
mempunyai daya tahan lebih tinggi. Kalau dulu, bila dah masuk
minit ke-60 tu, ramai player dah start jalan je, tak larat dah
nak berlari ke sana, ke mari. Mereka nampak lebih berazam
dan bersemangat walaupun kurang skill daripada pemain-
pemain Vietnam. Semakin lama permainan berlansung, makin
jelas penguasaan Malaysia dalam game kali ni. Lagi satu,
saya tak faham mengapa jurulatih Vietnam masih tak nak
tukar golkeeper yang dah tercedera tu? Ini mungkin kesilapan
taktikal oleh jurulatih Vietnam.

Oklah, saya tak nak ulas panjang sangat pasal bola
ni. Nak puji banyak sangat pun tak elok juga, takut pasni terus
merudum, hehe.. Apa-apahal pun, tahniah buat team Malaysia
dan jurulatihnya, Rajagopal.

Isnin, 7 Disember 2009

Merapoh destinasi persinggahan






Oleh ALI MAHMOOD

KUALA LIPIS 6 Dis. - Kedudukan strategik Merapoh yang menjadi penghubung antara Kota Bharu di Kelantan dengan Kuala Lumpur, membolehkan kawasan itu berpotensi dibangunkan menjadi pusat sehenti dan bandar baru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, Merapoh kini menjadi destinasi persinggahan lebih 300 buah ekspres setiap malam sama ada untuk berhenti makan atau berehat.
Bagaimanapun kata beliau, kehadiran begitu banyak bas ekspres yang membawa bersama ramai penumpang hanya memberi manfaat kepada segelintir pengusaha gerai makan dan restoran yang beroperasi di kawasan tersebut.
''Sedangkan, kedudukan Merapoh yang strategik dan terletak di tengah-tengah laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur secara tidak langsung boleh menjadi sebuah bandar baru yang bakal pesat membangun.
''Dengan kelebihan tersebut saya menggesa penduduk Merapoh bijak merebut peluang perniagaan yang wujud di kawasan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahman turut menyarankan supaya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merapoh membangunkan kawasan sekitar stesen minyak miliknya sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R), mesin pengeluaran wang automatik (ATM), restoran, gerai makan, cenderamata dan kraf tangan.
Tambahnya, PPK juga boleh membangunkan kawasan tersebut dengan lebih terancang bagi menarik bas-bas ekspres berhenti di situ seterusnya membantu penduduk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
''Pusat sehenti ini dapat memberikan peluang kepada para pesertanya berniaga bagi memasarkan pelbagai produk pertanian, makanan, makanan ringan, kraf tangan dan sebagainya," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, penduduk Merapoh juga dijangka terus bertambah berikutan pembinaan kilang simen yang akan beroperasi tidak lama lagi yang menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan orang luar.
Beliau berkata, difahamkan Kerajaan Pusat juga akan menaik taraf jalan Lipis-Gua Musang dengan membina laluan empat lorong menerusi projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bermula dari Pelangai, Bentong sehingga ke sempadan Gua Musang, Kelantan dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi setempat.
"Dengan pelaksanaan projek tersebut, saya berharap Merapoh akan turut menikmati hasil limpahan ECER dan menjadi sebuah bandar baru selain menjadi pintu masuk ke Taman Negara yang menawarkan pelancongan bertaraf dunia," katanya.

http://taman-negara-merapoh.blogspot.com/

AddToAny