Rabu, 30 Jun 2010

Mengenali Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia (“Perlembagaan”) adalah dokumen yang paling penting di dalam negara kita kerana ia menentukan landasan negara kita.

•    Ia mewujudkan sistem demokrasi kita
•    Ia menghadkan kuasa kerajaan
•    Ia menyatakan hak-hak kita

Perlembagaan adalah undang-undang utama negara kita. Ini bermakna ia menentukan siapa yang boleh menggubal undang-undang, dan menghadkan undang-undang yang boleh digubal.

Mengapakah anda harus tahu apa yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Ia adalah kerana Perlembagaan menentukan cara hidup kita dan bagaimana kita diperintah. Contohnya:

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita boleh memilih pemimpin-pemimpin kita

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai Parlimen yang menggubal undang-undang

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai mahkamah dan para hakim

•    Perlembagaan menyatakan bahawa kita mempunyai kerajaan persekutuan dan tiga belas kerajaan negeri

•    Perlembagaan menyatakan bahawa hak asasi kita dijamin.

Apakah yang terkandung di dalam Perlembagaan?

Perlembagaan mengandungi 16 Bahagian.
Bahagian I: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Persekutuan
Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.
Bahagian II: Kebebasan Asasi
Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki:
•    hak untuk hidup dan kebebasan
•    kebebasan daripada kehambaan dan menjadi buruh paksaan
•    kesamarataan di sisi undang-undang
•    kebebasan bergerak
kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu
•    kebebasan agama
•    hak untuk berpendidikan
•    hak untuk memiliki harta

Bahagian III: Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara:


•    dilahirkan di sini
•    berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia
•    tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan
Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegeraan.
Bahagian IV: Persekutuan
Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita. Ketua Utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agongyang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Dipertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri.Ia juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agongdan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bahagian V: Negeri-Negeri

Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan mereka.
Bahagian VI: Hubungan di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri
Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara di mana Parlimen persekutuan boleh menggubal undang-undang, terdapat perkara di mana Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang-undang dan terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.

Bahagian VII: Peruntukan Kewangan
Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.
Bahagian VIII: Pilihanraya
Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.
Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihanraya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agongdan sewajarnya menikmati keyakinan umum.
Bahagian IX: Badan Kehakiman
Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia.Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan dilantik.

Bahagian X: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenalpasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah:
•    pasukan polis
•   angkatan tentera
•    perkhidmatan pelajaran
Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri.
Perlantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya-suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Bahagian X juga mewujudkan pejabat Peguam Negara.
Bahagian XI: Kuasa Khas
Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, dan Perbuatan dan Jenayah yang Memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain di dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bahagian XIII: Am dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
Yang di-Pertuan Agongbertanggungjawab untuk:
•   memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.
•    memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain.
Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.
Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya, perizaban tanah pribumi bagi masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.
Bahagian XIII: Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum kemerdekaan masih berkuatkuasa sehingglah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.
Bahagian XIV: Kecualian bagi Kedaultan, dsb &
Bahagian XV: Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agongdan Raja-Raja.
Kedaulatan, kuasa, perogatif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara di dalam Bahagian XIV. Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agongatau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas”.

Bagaimanakah Perlembagaan memberi kesan kepada kita?
Sepuluh contoh-contoh

1.    Pada Pilihanraya Umum 2008, anda membuang undi untuk memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri anda. Perkara 119(1) Perlembagaan menyatakan bahawa anda boleh mengundi sekiranya (a) anda seorang warganegara Malaysia (b) anda telah mencapai umur 21 tahun dan (c) anda telah mendaftar dengan daftar pemilih. Anda tidak boleh mengundi, contohnya, sekiranya anda sedang menjalani hukuman penjara atau ditahan sebagai seorang yang tidak waras.

2.    Anda tinggal di Pulau Pinang dan bercadang untuk melawat saudara anda di Negeri Sembilan. Anda boleh memandu ke Negeri Sembilan dengan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (melalui Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan) tanpa memerlukan passport atau apa-apa bentuk dokumen pemberian kuasa. Anda boleh melakukan ini semua kerana Perkara 9(2) Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, setiap warganegara boleh bergerak dengan bebas dan boleh tinggal di mana-mana tempat di Malaysia. Namun begitu, terdapat pengecualian tertentu berkenaan dengan Sabah dan Sarawak.

3.    Anda dan suami anda adalah warganegara Malaysia tetapi anda telah melahirkan anak anda di Indonesia. Mengikut Perkara 14 Perlembagaan, anak anda adalah warganegara Malaysia kerana bapanya adalah warganegara Malaysia.

4.    Anda tinggal di Kuching. Bagi anda, Kuching adalah bandar yang terunggul di Malaysia. Bagi anda, ia merupakan tempat yang paling baik untuk didiami, mempunyai warga yang paling ramah dan sungai yang paling bersih di Malaysia. Anda berpendapat bahawa Kuching seharusnya dijadikan ibu negara Malaysia. Malangnya, Perlembagaan menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia “sehinggalah Parlimen menentukan sebaliknya”. Jika anda mahukan Kuching sebagai ibu negara Malaysia, anda terpaksa melobi Parlimen untuk membuat pindaan.

5.    Anda menganut agama Buddha, jiran anda seorang Muslim, kawan baik anda adalah seorang Sikh dan rakan sekerja anda seorang Kristian. Di bawah Perkara 11 Perlembagaan, kita semua mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama kita sendiri.

6.    Kerajaan merancang untuk membina sebuah lebuhraya baru di kawasan perumahan anda dan telah menyerahkan notis untuk mengambil tanah anda untuk tujuan tersebut. Perkara 13(1) Perlembagaan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun yang boleh dilucutkan hartanya “kecuali mengikut undang-undang”. Oleh itu, kerajaan boleh mengambil tanah anda tetapi ia harus melakukannya mengikut proses undang-undang. Ini termasuklah memberi anda notis dan pampasan yang mencukupi.

7.    Pahang baru sahaja memenangi Piala Malaysia. Untuk meraikan kemenangan itu, kerajaan negeri Pahang mengumumkan cuti bagi negeri Pahang. Anda tinggal di Perlis tetapi adalah seorang peminat pasukan bola Pahang. Anda juga ingin bercuti, tetapi anda tidak boleh memaksa kerajaan negeri Perlis untuk mengumumkan cuti kerana setiap kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengumumkan cuti bagi negerinya sendiri.
[Tetapi anda boleh pindah ke Pahang! Sila lihat perenggan 2 di atas.]

8.    Anda membayar cukai setiap tahun. Untuk menggunakan wang yang anda bayar, kerajaan persekutuan harus membentangkan bajet di Parlimen untuk menerangkan bagaimana ia akan menggunakan wang tersebut. Sebelum kerajaan persekutuan boleh menggunakan wang tersebut, Parlimen harus meluluskan bajet tersebut. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan cara kerajaan persekutuan akan membelanjakan wang, anda boleh menyuruh ahli Parlimen anda untuk mencadangkan pindaan kepada bajet di Parlimen.

9.    Anda telah ditahan polis dan dibawa ke balai polis. Anda memaklumkan kepada polis bahawa anda mahukan khidmat seorang peguam untuk mewakili anda. Pihak polis harus membenarkan anda menghubungi peguam anda kerana Perkara 5(3) Perlembagaan menyatakan bahawa anda mempunyai hak untuk diwakili oleh seorang peguam.

10.    Anda mempunyai hak untuk belajar, bertutur dan menggunakan bahasa lain walaupun Perkara 152(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Soalan-soalan Lazim mengenai Perlembagaan



1.    Haruskah saya mematuhi Perlembagaan?

Ya, semua orang harus mematuhi Perlembagaan, termasuklah diri anda, ahli Parlimen anda, para hakim, pegawai-pegawai kerajaan, pasukan polis, syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan.

Malahan, Perdana Menteri, Kabinet, ahli Parlimen, para hakim dan juga Yang di-Pertuan Agong mengambil ikrar bahawa mereka akan mematuhi Perlembagaan.

Anda sendiri berikrar untuk mematuhi Perlembagaan setiap kali anda melafazkan Rukun Negara.

2.    Apa akan berlaku sekiranya seseorang itu tidak mematuhi Perlembagaan?

Perlembagaan secara amnya memberikan kuasa, meletakkan tanggungjawab dan menentukan peranan. Sekiranya seseorang atau sebuah institusi tidak bertindak mengikut kuasa atau peranan yang diberikan kepada mereka, maknanya tindakan mereka adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.


3.    Apa yang akan terjadi sekiranya terdapat perselisihan berkenaan dengan maksud peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan? Siapa yang akan memutuskannya?


Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan segala perkara berkenaan dengan tafsiran Perlembagaan. Apabila Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan tentang maksud sesuatu peruntukan, keputusan itu berkuatkuasa ke atas semua sehinggalah ia diputuskan semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Tafsiran Perlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan mungkin bertukar mengikut peredaran masa dan mengambil kira perubahan keadaan.

4.    Bolehkah Perlembagaan dipinda?

Ya, ia boleh dipinda, malahan Perlembagaan kita telah dipinda beberapa kali.

Perkara 159 Perlembagaan menyatakan bahawa secara amnya, Perlembagaan boleh dipinda sekiranya rang undang-undang (yakni cadangan untuk pindaan) diluluskan oleh tidak kurang daripada dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


5.    Parliman tampak seperti mempunyai kuasa yang banyak untuk membuat pindaan ke atas Perlembagaan. Apakah caranya untuk kita memastikan bahawa kuasa tersebut tidak disalahgunakan?


Pertama, ahli-ahli Parlimen dipilih oleh rakyat Malaysia seperti kita. Sekiranya cadangan pindaan itu tidak disokong oleh rakyat, maka ahli-ahli Parlimen tidak mungkin menyokong pindaan tersebut. Jika tidak, mereka mungkin tidak dipilih semula ke Parlimen pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Sekiranya anda tidak berpuas hati dangan apa-apa cadangan pindaan, anda boleh menyuarakan pendapat anda kepada ahli Parlimen anda atau mana-mana ahli Parlimen.

Kedua, semua ahli Parlimen mengangkat sumpah bahawa mereka akan “memulihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan. Ada pihak berhujah bahawa sumpah ini bermakna ahli Parlimen tidak seharusnya membuat pindaan ke atas bahagian-bahagian penting dan perlu di dalam Perlembagaan.

6.    Di mana saya boleh mendapatkan sesalinan Perlembagaan?

Anda boleh membeli sesalinan di keda-kedai buku utama.
PerlembagaanKu

Majlis Peguam
Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan


KOMEN

Rakyat Malaysia tiada yang kebal dari segi undang-undang  walaupun mereka itu pihak berkuasa, ahli Pekida, anggota Rela, ahli UMNO, ahli PAS, ahli PKR ahli DAP, ahli Perkasa dan seumpamanya.

Selasa, 22 Jun 2010

HANYUT bersama U-Wei

Filemnya, "Kaki Bakar" pernah menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 1995. U-Wei Haji Saari, yang turut mengarahkan "Perempuan, Isteri dan ..." (1993) dan "Jogho" (1997) bukanlah seorang pengarah filem yang biasa anda temui. Cukup berbeza dengan pengarah filem tempatan sedia ada seperti Profesor Abd. Razak Mohaideen, Yusof Haslam dan juga Ahmad Idham. Filem-filemnya juga bukanlah seperti yang biasa kita tonton di pawagam.  Namun inilah keistimewaan U-Wei.

Kembali dengan filem terbarunya yang bertajuk "Hanyut", U-Wei dikatakan mampu menaikkan nama Malaysia sekali lagi apabila dia berharap dapat menghantar "Hanyut" ke festival filem terkenal itu. Filem yang diadaptasikan daripada novel Joseph Conrad ini bakal menelan belanja sebanyak RM20-25 juta ini telah memulakan penggambaran  di Kuala Lipis dan Pekan, Pahang.

"Hanyut" bakal menampilkan pelakon dari Australia, Peter O'Brien, Diana Danielle, Sofea Jane, Khalid Salleh, Adi Putra, Patrick Teoh, Sabri Yunus dan juga Bront Palarae. – mytupai.blogspot.com

KOMEN

Baru ni balik Kuala Lipis berselisih dengan van yang ditulis dengan perkataan ‘hanyut’, ingatkan ada hotel baru yang bernama ‘hanyut’; tanya kawan-kawan,  pengarah terkenal kelahiran Temerloh U-Wei tengah bikin filem baru yang bertajuk ‘hanyut’ disekitar Sungai Jelai Lipis. Kalau begitu kita tunggu filem tersebut yang sudah  tentu berlainan dari filem-filem karyawan statik Malaysia.

Sabtu, 19 Jun 2010

Pertandingan Bintang Pop Yeh Yeh 2010







Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada
Abdul Aziz - 013 9669595
Rosfaizuazman -  012 2208976
Ameer -  012 2208976 
 tarikh tutup - 20 Jun 2010





  

Isnin, 14 Jun 2010

Perjalanan yang tidak direstu : 2



Unit Pengempur ke-6 yang diketuai oleh Cheong Chor telah sampai ke Cameron Highland pada bulan Ogos 1973 kerana Pasukan Keselamatan telah berjaya memusnahkan semua ‘food dump’ di kawasan tersebut. Mereka mula bergerak ke negeri Pahang melalui Banjaran Titiwangsa dan sampai ke Cheroh Raub pada bulan Jan 1974. Dengan asakan Pasukan Keselamatan di Cheroh seramai 25 anggota mengikut Cheong Chor berpindah pula ke Teras. Dalam perjalanan itu mereka kehabisan bekalan makanan dan terpaksa menembak monyet untuk dijadikan makanan. Pisang muda penduduk kampong pun dijadikan makanan selama sebulan, ini menyebabkan mereka menjadi lemah dan ramai mulai sakit. Keadaan meruncing siang malam mereka dihujani tembakan meriam oleh Pasukan Keselamatan.

Jejak mereka di Cheroh dihidu oleh Pasukan Keselamatan, mereka terpaksa melarikan diri berpatah balik ke negeri Perak. Mereka cuba menuju Bandar Tanjung Malim dengan merentas Banjaran Titiwangsa. Setelah kehabisan bekalan, mereka hanya dapat minum air yang dimasak yang ditambah dengan satu sudu ‘saccharin’ sebagai pemanis setiap seorang. Mereka sangat menderita semasa melintas Banjaran Titiwangsa kerana cuaca yang sangat sejuk, hujan lebat menyusahkan pergerakan. Setelah beberapa hari penuh sengsara mereka tiba di hutan Tanjung Malim rupanya tiada penyokong ‘bawah tanah’ yang membantu mereka. Pasukan keselamatan masih terus memburu mereka, Cheong Chor mengambil keputusan untuk berpecah kepada dua kumpulan menuju semula ke Teras dan berpatah balik ke Cameron Highland.

Kumpulan Cheong Chor terpaksa melintasi Banjaran Titiwangsa semula dan bergerak dengan penuh sengsara. Bekalan makanan yang sedikit sudah habis dan mereka makan tumbuhan dan buah-buahan hutan. Beberapa anggota tidak dapat bergerak lagi mereka diberi ubat tidur dan terus mati, mayat mereka dibungkus dengan plastik dan dibiar di bawah pokok tiada anggota bertenaga untuk menanamnya. Mereka juga telah meninggalkan ‘wireless set’. Setelah tiga anggota mati yang lain menuju ke Sungai Liang Raub mereka juga tidak berjumpa dengan anggota ‘bawah tanah’ atau penyokong. Pasukan Keselamatan masih terus memburu mereka. Akibat terlalu lapar enam anggota mati kerana termakan buah beracun. Empat anggota termasuk Cheong Chor dan isteri meneruskan perjalanan dan meninggalkan seorang anggota wanita yang disangkakan tidak berdaya berjalan lagi. Anggota wanita tersebut telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada 18 Mac 1974 di Raub. Perjalanan yang tidak direstu ini berakhir dengan kegagalan serta penuh dengan bencana dan tragedi.

Penyusupan masuk unit Pengempur PKM

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 sebenar membuka jalan kepada Parti Komunis Malaya melalui unit pengempur untuk menyusup masuk kependalaman Perak dan Pahang kerana Pasukan Keselamatan tertumpu kepada penjaga Ketenteraman Awam di bandar-bandar. Kawasan-kawasan yang berjaya disusupi di sebelah barat adalah Gerik,Lenggong Ayer Kala, Sungai Siput, Ipoh, Gopeng, Kampar, Slim River di Perak dan Kulim, Karangan, serta Gunung Inas di Kedah.

Disebelah timur pula mereka menumpu di kawasan Batu Melintang, Lubok Bonggor, Kemubu, Gua Musang, Pulai di Kelantan dan Merapoh, Kuala Lipis, Jerantut, Raub, Bentong dan Karak di Pahang kawasan gerak tindak unit pengempur PKM tersebut hanya dipisahkan dengan Banjaran Titiwangsa yang meliputi hutan tebal yang menjadi tempat tinggal Orang Asli. Mereka juga mendekati Orang Asli untuk mendapat makanan serta mendapat maklumat pergerakan Pasukan Keselamatan.

KOMEN

Ini sebenar ringkasan cerita sejarah anggota unit Penggempur PKM yang ingin menguasai Tanah Melayu (Malaysia) melalui anggota ‘bawah tanah’ dan penyokong yang dijangka akan membantu mereka. Mereka juga tidak menyangka perjalanan ini sangat tidak direstu oleh rakyat Malaysia. Semoga tidak ada rakyat Malaysia atau orang asing yang cuba menghidupkan perjuangan yang sia-sia ini pada masa akan datang.

Rujuk

BTDM Mac 2005 hlm 73



Jumaat, 4 Jun 2010

Tukang Parang Kg Lubuk Kulit, Lipis.

Tekun... Membuat sebilah Pisau

Dicerita oleh orang tua Tok Empat kedua Kg Lubuk Kulit Kuala Lipis yang bernama Menteri Lebeh bin Menteri Selamat telah mengarahkan anak terunanya bernama Ahmad, Kassim dan Yusof pergi menuntut ilmu membuat parang dengan seorang pendatang Indonesia di kampung Sempalit Raub. Setelah berbagai dugaan seperti berjalan kaki dan belajar menuntut ilmu tukang besi selama 2 tahun Ahmad dan Kassim pun pulang ke kampong Lubuk Kulit dan mendirikan bangsal(bengkel) membuat parang. Setahun kemudian Yusof pula pulang ke kampong mendirikan bangsal yang sama, antara ketiga mereka Yusof yang lebih pandai dan halus tukangannya kerana ia belajar lebih lama.
Yusuf telah mewaris tukangannya kepada anaknya yang bernama Aki Mat , Aki Samad dan menantunya Hj. Da. Aki Kasim yang dikenali sebagai Tukang Kassim telah mewarisi tukangannya kepada Hj. Abd Wahab.
Pada hari ini warisan tersebut tidak dapat diteruskan kerana anak-anak mereka telah pun mempunyai pekerjaan lain yang lebih terjamin berbanding menjadi tukang parang. Seperti kata Hj Abd Wahab 77 tahun “Menjadi tukang parang ia memerlukan bakat dan minat, jika tiada sifat tersebut seorang itu tidak mampu untuk meneruskan tukangan dan pelajaran yang paling sukar dan perlu kesabaran apabila sampai ketahap ‘sepuh’ mengunakan air atau minyak…”.
KOMEN
Suatu hari nanti warisan tukang parang Kampung Lubuk Kulit ini akan hanya tinggal kenangan seperti kita tinggalkan pisau tuai padi, lesong indik kaki dan tenggala kerbau.
Rujuk
Aki Samad bin Yusof
Hj Wahab bin Tukang Kassim
Geran Tanah Menteri Lebeh.

produk  dari cucu-cucu Kg  Lubuk Kulit

"Berapa nak letak harga ni.....? org dah beli RM 150