Jumaat, 29 Oktober 2010

Kerajaan Pahang terima royalti RM130j

Adnan Yaakob sedang mendengar penerangan mengenai operasi loji pemprosesan emas di Selinsing Gold Mine Manager Sdn. Bhd. daripada Presiden dan Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Rehut Fedrick Beldock (kanan) dekat Sungai Koyan, semalam.
KUALA LIPIS 28 Okt. - Kerajaan Pahang menerima royalti sebanyak RM130 juta setahun hasil daripada perlombongan emas daripada empat syarikat yang beroperasi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, royalti itu adalah lima peratus hasil daripada pendapatan kasar dua syarikat perlombongan emas di daerah Lipis dan masing-masing satu di Rompin dan Raub.
Beliau berkata, walaupun royalti yang diterima itu tidak besar tetapi kewujudan aktiviti melombong emas di negeri ini memberikan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.
''Kerajaan negeri hanya mengenakan royalti lima peratus bertujuan menarik lebih banyak syarikat perlombongan emas dari seluruh dunia melabur di negeri ini.
''Aktiviti melombong emas berhadapan dengan risiko kerana ia memerlukan modal tinggi tetapi pulangannya tidak dapat dijangkakan kerana kita tidak tahu jumlah kandungan mineral itu yang terdapat dalam perut bumi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan syarikat perlombongan emas Selinsing Gold Mine Manager Sdn. Bhd., dekat Sungai Koyan di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamed dan ADUN Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.
Dalam pada itu menurut beliau, loji pemprosesan emas Selinsing merupakan loji moden yang kedua selepas lombong emas di Penjom dan dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi daerah ini.
Tambahnya, lombong emas Selinsing telah dibangunkan pertengahan tahun 90-an tetapi menghadapi masalah perundangan dan status tanah sehingga menyebabkan pembangunannya terhenti untuk tempoh lebih 10 tahun.
''Pada 2007, kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut dengan menawar kerja-kerja perlombongan kepada Monument Mining Limited, sebuah syarikat perlombongan emas yang disenaraikan di Bursa Saham Kanada," katanya. - Utusan Malaysia

3 ulasan:

Jejaka Desa berkata...

Moge royalti ter digunekan untuk kepentingan rakyat.

Tanpa Nama berkata...

Kalau gitu Syarikat yg mencari gali emas di negeri Pahang mendapat 2.6 bilion (2,600 Juta) setahun, negeri Pahang dapatlah 130 juta. "siapa yg untung siapa yg rugi...fikir-fikirlah sendiri.

Sarah Sheikh berkata...

org kita taksub dgn org putih