responsif teks foto

Rabu, 17 November 2010

Buat permohonan naik taraf jalan kampung : Dato Wan Rosdy

Salah satu jalan ke kampung Aur Gading
KUALA LIPIS 15 Nov. - Dua jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di sini diminta membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan kampung sejauh enam kilometer antara Kampung Pamah Aur dengan Kampung Seberang Jelai dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun jarak jalan itu adalah pendek tetapi permohonan bertulis perlu dilakukan kerana ia membabitkan dua kampung.
''Kedua-dua JKKK terbabit perlu membuat permohonan kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Daerah Lipis (MDL) supaya dapat dipertimbangkan projek menaik taraf jalan itu berasaskan keperluannya sebagai jalan pertanian dan keselesaan penduduk berulang alik ke bandar.
''Kerajaan negeri prihatin dengan masalah ini kerana ia merupakan alat perhubungan untuk memunggah hasil kampung dan laluan ke tempat kerja penduduk kampung berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanjong Gahai dekat sini baru-baru ini.
Wan Rosdy mengulas surat pembaca yang tersiar dalam ruangan Rakan Pahang 29 Oktober lalu mengenai aduan penduduk yang dikenali sebagai 'Ismail, Lipis' yang meminta kerajaan negeri menaik taraf jalan yang berusia 30 tahun sejauh enam kilometer antara Kampung Bukit Juar ke Kampung Seberang Jelai.
Penduduk terbabit mendakwa, jalan itu perlu dinaiktaraf memandang ia menjadi laluan utama untuk membawa hasil kampung ke bandar ini dan merupakan laluan pintas penduduk Kampung Bukit Kota, Kampung Pamah Aur, Kampung Aur Gading, Kampung Sungai Koyan, Kampung Chegar Perah dan Kampung Beriang terus ke jalan utama, Jalan Lipis-Gua Musang.
Jalan berkenaan juga dikatakan menjadi laluan pintas penduduk Kampung Bukit Kota, Kampung Bukit Betong, Kampung Pamah Aur dan Kampung Bukit Juar ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian Kechau, Lipis.
Wan Rosdy berharap kedua-dua JKKK terbabit mengemukakan permohonan dengan segera mengikut saluran yang betul untuk dipertimbangkan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai tidak menolak kemungkinan projek berkenaan memang sedang dalam perhatian pentadbiran daerah Lipis.
Sehubungan itu, tambahnya, penduduk di dua kampung terbabit diminta bersabar kerana kerajaan negeri tetap memberi keutamaan terhadap projek pembangunan luar bandar. Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny