Sabtu, 19 Mac 2011

Ulam Cemperai

Ulam Cemperai

CEMPERAI adalah sayuran tradisional yang amat digemari. Pucuk dan daun mudanya boleh dimasak lemak, masak manis atau dimasak mengikut resipi tradisional.
Selain sebagai sayuran, cemperai juga dikatakan baik untuk mengubati ulser dan sakit sendi tulang. Akar dan daunnya ditumbuk serta dibuat poltis untuk mengurangkan ulser. Air rebusan akarnya pula dapat mengubati sakit sendi tulang.
Sayuran berkhasiat tinggi ini semakin hari semakin dilupakan. Kebanyakan generasi muda tidak lagi mengenali tanaman ini.
Pokok cemperai adalah jenis pokok renek dan pokok bersaiz kecil setinggi empat meter. Daunnya ovat, bujur atau lanseolat berukuran 4 – 20 sentimeter (sm) panjang dan 2 – 10 sm lebar.
Infloresennya panikel dengan bunga yang berwarna kehijauan. Buahnya drup, elipsoid, 1 – 1.5 sm panjang dan 0.5 – 1 sm lebar, berwarna kuning limau dan kemerahan apabila masak.
Pucuk cemperai mengandungi khasiat makanan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan pucuk cemperai mengandungi: air 72.0 g, protein 7.0 g, lemak 0.4 g, karbohidrat 14.0 g, serat 4.7 g, kalsium 120 miligram (mg), fosforus 72 mg, ferum 1.9 mg, natrium 8 mg, kalium 557 mg, karotena 2260 ug, Vitamin A 377 ug, vitamin B 1 0.1 mg, vitamin B 2 0.42 mg, niasi 0.7 mg, vitamin C 63.8 mg.
Pokok cemperai jarang ditanam dan kebanyakan tumbuh liar di hutan. Di kampung pokok ini ditanam di sekitar rumah untuk keperluan dapur.
Pokok ini mudah dibiakkan dengan menyemai bijinya atau dengan keratan batang. Biji daripada buah yang cukup masak disemai dalam kotak semaian yang diisi dengan pasir yang bersih.
Anak pokok yang baik percambahannya dipindahkan ke dalam karung plastik yang diisi dengan tanah hutan dan kemudian diletakkan di bawah pokok atau di tempat redup. Apabila anak pokok ini mencapai ketinggian satu meter atau lebih, barulah ditanam ke tanah.
Pokok ini boleh juga dibiakkan dengan keratan batang. Batang atau ranting berukuran 1 – 1.5 meter di tanam terus ke tanah. Batangnya juga boleh dibuat turus pagar untuk terus hidup.
Pokok ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi memerlukan tanah agak subur dan mendapat sedikit lindungan cahaya matahari. - Berita Harian
FAKTA: Cemperai
Setiap 100 g pucuk cemperai mengandungi
·  air 72.0 g,
·  protein 7.0 g,
·  lemak 0.4 g,
·  karbohidrat 14.0 g,
·  serat 4.7 g,
·  kalsium 120 mg,
·  fosforus 72 mg,
·  ferum 1.9 mg,
·  natrium 8 mg,
·  kalium 557 mg,
·  karotena 2260 ug,
·  Vitamin A 377 ug,
·  vitamin B 1 0.1 mg,
·  vitamin B 2 0.42 mg,
·  niasi 0.7 mg,
·  vitamin C 63.8 mg

KOMEN

Pucuk cemperai ini kebiasaannya di buat  masak lemak putih atau masak air kebiasaannya dicampur dengan ubi keledek....... fuhhhhhhhh terasa manis bila menghirup kuahnya. pelengkap hidangan, sambal belacan, ikan masing goreng dan ulam petai atau jering. Memasak sayur air ini senang, hiriskan bawang, campakkan ikan bilis rebus sehingga semuanya empuk/masak, tambah garam secukupnya.

Kalau sesiapa yang belum mengenali ulam ini ianya  banyak dijual di pekan sehari di daerah   sekitar Kuala Lipis harganya sangat murah dan berpatutan.

2 ulasan:

Jejaka Desa berkata...

Sedak amat weh.Semalam ande la koi makan.Kitnye kala baru lepas jatuh jangan buat pasei weh.

Hisyam Muhibah berkata...

keh tok perasen pulok, penoh maken ke tok ulam hok ni