responsif teks foto

Jumaat, 8 Julai 2011

SPR tak mampu jadi orang tengah kepada pelangannya

Marina Tun Dr Mahathir berkata tindakan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini umpama para diktator dari dunia ketiga - Portal Free Malaysia Today
BERSIH 2.0

Isu ‘kekotoran’ pengendalian pilihan raya di negara ini sering menjadi fokus, bukan sahaja ketika adanya pilihan raya, tetapi pada bila-bila masa sekalipun. Bersih 2.0 diadakan atas inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) serta didukung oleh rakyat adalah manifestasi kepada kemarahan rakyat setelah melihat pengendalian pilihan raya di negara ini semakin ‘kotor’.

Parti-parti politik terutamanya parti bukan pemerintah sering mendedahkan bahawa terdapatnya kesalahan-kesalahan yang dilakukan parti pemerintah di setiap kali pilihan raya berlangsung.

Beberapa kes kesalahan dibawa ke mahkamah, malah ada yang terus menjadi pertikaian hingga kini.Malah ianya kini menjadi suara rakyat pula dalam menuntut perubahan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pihak yang seharusnya dipertanggungjawabkan dalam persoalan perjalanan pilihan raya, sama ada berjalan dengan baik, atau sebaliknya.

Benar, setiap kali pilihan raya parti pembangkang ‘terkadang’ menang, namun kemenangan yang dicapai bukan dengan jalan yang mudah iaitu ‘demokrasi’ yang seimbang.

Sebaliknya, pembangkang terpaksa menggalas misi dengan meredah kempen parti kerajaan yang menggunakan seluruh kekuatan termasuk agensi kerajaan, media massa, dan pihak berkuasa. Lebih parah lagi, SPR biasanya dikaitkan menjadi ‘tulang belakang’ atau ‘kuda tunggangan’ kepada Umno-BN dalam mempastikan mereka kekal berkuasa.

Sebelum ini rakyat digemparkan dengan kes di Shah Alam dan Kota Raja di mana pendaftaran pengundi luar di sana yang dilakukan secara tersusun.

Namun, bila bantahan dilakukan oleh PAS Selangor kepada SPR, SPR sendiri seolah-olah ‘membisu’ dan tidak bertindak sebaiknya.

Beberapa kes yang sama kemudiannya berlaku termasuk di Tumpat dan kini dikatakan mula tertumpu di Negeri Sembilan terutama di kawasan yang mana Umno-BN kalah pada pilihan raya umum 2008.

Paling mengecewakan, pimpinan tertinggi SPR sendiri seperti Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya, Dato’ Wan Ahmad Wan Omar sering mengeluarkan kenyataan ‘memihak’ kepada BN.

Terlalu banyak ruang dan masa diberikan parti-parti pembangkang kepada SPR untuk berlaku adil, namun setiap kali pilihan raya, SPR pastinya akan berwajah ‘seperti sayap Umno’.

PAS sendiri beberapa kali telah mengadakan dialog dan perundingan dengan pihak SPR sebelum ini termasuk sebelum pilihan raya umum 2008 untuk mencadangkan penambaikan.

Malah PAS sendiri melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ada menyatakan kesedian PAS bertemu SPR sebelum perhimpunan Bersih 2.0 yang dicadangkan 9 Julai berlangsung.

Pertemuan ini sangat penting bagi memastikan tuntutan Bersih 2.0 dapat dipenuhi, dan pihak kerajaan perlu faham kenapa rakyat membantah SPR. Ini juga membuktikan PAS bukanlah sebuah parti yang suka mencetuskan suasana gawat dengan demonstrasi aman.

Himpunan ini adalah jalan keluar terakhir bagi memperlihatkan kepada pihak kerajaan betapa seriusnya kemarahan rakyat kepada ketidakadilan sistem yang sedang berjalan kini.

Apa yang paling mengecewakan SPR sendiri tidak melihat isu pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing gugat kedaulatan negara, malah seolah-olah bersetuju dengan Umno-BN mengizinkan pendaftaran pemilih yang semakin meragukan.

Sebagai contoh, tindakan JPN mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing di Selangor, Kedah dan juga Kelantan sebagaimana yang dilaporkan kepada pihak polis bukanlah satu isu kecil dan remeh yang boleh dipandang sebelah mata.

Begitu juga isu pendaftaran pengundi baru yang sangat luar biasa di Selangor, Kedah dan Pahang telah menimbulkan pelbagai bantahan dan kebingungan rakyat.

Semua usaha ini memperlihatkan seolah-olah SPR dan JPN mempunyai konspirasi bersama Umno-BN bagi mempastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali sendiri ada mengemukakan isu di rumah ibunya di Gombak terdapat nama dalam senarai daftar pemilih yang meragukan.

Azmin mendedahkan beliau mempunyai bukti berdasarkan daftar pemilih diwartakan 13 Mei lalu, terdapat seramai 11 pengundi luar beralamat di rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Gombak, dekat sini.

“Bagaimana SPR boleh letak enam pengundi Melayu dan lima Cina di alamat rumah ibu saya. Ibu saya tinggal di rumah itu seorang diri sejak kematian ayah saya beberapa tahun lalu,” katanya.

Begitupun SPR sendiri enggan bertindak, malah kembali kepada posisi mempertahankan kedudukan mereka kononnya SPR tidak memihak.

Bukti yang didedahkan Tuan Ibrahim dan Azmin bukanlah suatu yang mengejutkan.
Sebelum ini banyak lagi aduan rakyat kepada SPR Bukti-bukti sebegini bagaimanapun masih belum menjadi satu peluang kepada SPR untuk membuka jalan membersihkan nama badan itu agar tidak lagi menjadi ‘Sayap Umno’ seperti yang didendangkan pembangkang.

Setiap kali berlaku pilihan raya, maka akan ada sahaja aduan wujudnya pengundi hantu, perjalanan undi pos yang meragukan, kes rasuah pilihan raya, penggunaan jentera kerajaan oleh parti memerintah, penafian hak parti pembangkang untuk mendapatkan akses media yang seimbang selain isu penggunaan pasukan keselamatan untuk menakut-nakutkan pengundi.

Isu ini tidak akan terhenti selagi SPR sendiri tidak mampu menjadi ‘orang tengah’ yang telus, jujur dan amanah kepada pelanggannya.

Jika SPR masih terus berniaga dengan kaedah ‘memilih bulu’dan mengganggap ‘majikan’ mereka adalah Umno-BN, maka selagi itulah rakyat ‘tauke’ sebenar SPR akan terus dinafikan hak mendapat demokrasi yang tulen, telus dan adil.


KOMEN

Bersih 2.0 bukan marah kat kerajaan, Bukan marah kat Polis, Bukan marah kat BN hanya ingin menghantar memorandum kepada Kepala Utama Negara Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong.  Kerana SPR tak mampu jadi orang tengah yang telus dan jujur… itu sahaja. 

AddToAny