Khamis, 25 Ogos 2011

Mualaf sedih tidak mampu buat persiapan Aidilfitri


Abdul Latif Chee Abdullah bersama ahli keluarganya
di rumah sewa di Kg Darling Hulu, Kuala Lipis.

KUALA LIPIS 24 Ogos - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama, seorang mualaf di Kampung Darling Hulu, Padang Tengku dekat sini pula begitu sedih kerana kehidupannya diselubungi kemiskinan.
Abdul Latif Chee Abdullah, 50, tidak mempunyai pekerjaan tetap menyebabkan kehidupannya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Dia yang memeluk agama Islam sejak enam tahun lalu tidak mampu menyediakan keperluan baharu untuk keluarganya kerana kesempitan hidup dan keadaan kesihatannya sering terjejas.
Abdul Latif yang tinggal dengan isterinya, Chek Zalmuni Chek Mat, 39, bersama tiga anaknya hanya menanti kedatangan 1 Syawal di rumah sewa tanpa berpakaian baharu malah jauh sekali menyediakan kuih-muih.
''Hidup saya terhimpit dan cuma menumpang di rumah sewa dengan bayaran bulanan RM200 dan bila-bila masa boleh keluar jika tuan rumah tidak memerlukan kami.
''Dengan mengambil upah menoreh getah, menebas dusun dan membuat kerja kampung dapatlah sedikit pendapatan sekitar RM300 sebulan dan duit itu digunakan untuk menyara persekolahan anak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Dia kesal kerana namanya juga sering tercicir daripada senarai penerima bantuan wakil rakyat, jabatan agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lazimnya kerap membantu golongan asnaf sebelum sesuatu perayaan.
''Kini badan saya kerap uzur dan khuatir tidak dapat memberi kesempurnaan kebajikan keluarga dan menyara persekolahan anak," ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan negeri menerusi wakil rakyat di sini dapat membantu memperoleh tapak untuk membina rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Isterinya, Chek Zalmuni berkata, dia pernah memohon rumah kos rendah di pekan Padang Tengku di sini tetapi tidak diendahkan.
''Saya tidak dipanggil temuduga kerana pihak berkenaan meragui status saya berbanding dengan orang lain dilayan dengan baik," katanya.
Katanya, dia dan suaminya tidak tahu bagaimana cara dan tempat untuk mengadu masalah mereka.
Dalam pada itu jirannya, Aziz Saman berkata, dia hanya menolong sekadar termampu dan berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan segera.
Tambahnya, kehidupan keluarga itu wajar dibantu pemimpin setempat dan JKKK kerana mereka memerlukan perhatian-berbanding insan lain yang sudah menikmati kehidupan selesa.    - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: