responsif teks foto

Jumaat, 11 November 2011

Rancangan Tempatan Daerah Lipis


 aktiviti menarik di Lipis
Permandangan Sungai Jelai dan Bandar Lipis
Rancangan Tempatan Daerah Lipis merupakan satu dokumen perancangan yang menyatakan semua cadangan pembangunan gunatanah dan fizikal secara terperinci Daerah Lipis sehingga tahun 2020. Penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Lipis(RTDL) merupakan peringkat ketiga dalam sistem perancangan gunatanah selepas Rancangan Fizikal Negara dan Rancangan Struktur Negeri Pahang. Laporan ini menyediakan panduan kepada pihak Majlis Daerah Lipis (MDL) dan agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat di dalam melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam RTDL. Ia mengenalpasti program, projek pembangunan, kaedah dan kos pelaksanaan serta agensi pelaksana.

Daerah Lipis berkeluasan 540,778 hektar yang mana gunatanah utama adalah pertanian dan hutan simpan. Daerah Lipis merangkumi sepuluh mukim dengan mukim yang terbesar adalah Mukim Ulu Jelai dan mukim yang terkecil adalah Mukim Budu. Kawasan petempatan utama adalah Bandar Kuala Lipis, Benta, Padang Tengku, Sg. Koyan, Kerambit, Mela dan Merapoh. Daerah Lipis merupakan sebuah daerah yang terletak di Koridor Utara Pahang yang aktiviti ekonominya tertumpu kepada aktiviti pertanian, perlombongan dan pelancongan alam semulajadi.

Daerah Lipis terletak dalam lingkaran Central Gold Belt Semenanjung Malaysia dan mempunyai kawasan perlombongan emas yang masih aktif di Penjom dan Selinsing. Lipis juga kaya dengan keindahan khazanah semulajadi kerana mempunyai Taman Negara Pahang Sg. Relau, Hutan Lipur Terenggun, Taman Rimba Kenong dan terdapat lebih tiga puluh buah gua batu kapur yang berpotensi untuk dimajukan sebagai Taman Geopark Negara. Keunikan khazanah semulajadi diintegrasikan dengan kesenian warisan peninggalan sejarah menjadi daya tarikan pelancong ke Daerah Lipis. Sinonim dengan imej Bandar Warisan Sejarah dan bekas Ibu Negeri Pahang (1898-1955), Daerah Lipis juga segar dengan kemahsyuran tokoh negara yang menjadi ikon kebanggaan Lipis iaitu Tan Sri Ghazali Shafie, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin dan Chef Wan Ismail.

Matlamat dan objektif pembangunan Daerah Lipis adalah “Menjadikan Daerah Lipis Dengan Persekitaran Yang Bersih, Indah, Bercahaya Menerusi Pembangunan Yang Terancang Di Samping Mengekalkan Warisan Sejarah”. Pembangunan Daerah Lipis dirancang dengan pembangunan koridor terancang, perbandaran mampan, pengukuhan bandar warisan, memperkasa aktiviti pertanian, pengekalan kualiti alam sekitar dan mengenalpasti potensi aktiviti perlombongan emas dan memantapkan sektor pelancongan eko dan agro.

Cadangan utama RTDL antaranya ialah cadangan IPTA di Bukit Sarang, cadangan UIAM di Kg. Atong, pengindahan 14 bangunan warisan, cadangan pembangunan semula Stesen Keretapi Lipis, Cadangan Pembesaran Bandar Lipis, Pembangunan Bandar Perlombongan Penjom, Pembangunan Semula Bukit Bius dan Lipis Valley Golf Club (LVGC) dan cadangan jalan baru kesinambungan dari Cameron Highlands dengan Kg. Berchang-Kuala Lipis ke Kemaman serta cadangan jalan Central Spine Road (CSR) Fasa 3 dari Simpang Pelangai ke Gua Musang yang melalui Daerah Lipis.

Sehubungan dengan itu, orang awam, agensi kerajaan atau swasta serta pihak yang berkepentingan dijemput hadir sepanjang tempoh Rancangan Tempatan Daerah Lipis ini dipublisitikan bermula 1 November hingga 31 November 2011 untuk memberikan pandangan ulasan dan bantahan sekiranya ada untuk pemantapan kajian ini. Semakan secara online juga boleh dibuat melalui:

Komen

Menarik cadangan jalanraya Kampung Kuala Medang - Aur Gading – Cegar Perah 42km, Jalanraya Simpang Kampung Bercang – Kuala Lipis – Kemaman Terengganu, Jalan Kg Sungai Padi – Tersang Raub 11km, dan jalan Merapoh - Kg Relong 90km. Segala bantahan dan cadangan boleh dikemukaan kepada Pegawai Perancang Bandar dan Desa melalui borang yang disediakan.



http://www.mdlipis.gov.my



Peta : Rancangan Tempatan Daerah Lipis 2020






Cerita dari Lipis


Rujukan Peta



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bilalah agoknya central spine tu jadi kenyataan.. apa kesan dia kpd urang2 dr lepih ke pdang tengku teh

Nan Zul berkata...

Orang kata, Bandar Gua Musang Lebih membangun dari bandar Lipis.

AddToAny