Khamis, 5 Januari 2012

PERJANJIAN PENYERAHAN JELAI BENAR.


Tok Raja Wan Ali tengah berama  ayahdanya Wan Chik 
dan nenda nyaTok Raja  Wan Muhamad 
Pada 11 Dis 1937 satu surat Perjanjian Penyerahan Jelai Benar kepada Kerajaan Negeri Pahang ditandatangani. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Datuk Orang Kaya Maharaja Perba Jelai Tok Raja Wan Ali bin Wan Chik, pihak yang berkuasa ke atas daerah Jelai Benar dan John V. Cowgill iaitu pemangku Residen British bagi pihak kerajaan Inggeris di negeri Pahang.


Jelai Benar adalah satu kawasan seluas 200,00 ekar di daerah Jelai di negeri Pahang yang telah dianugerahkan buat selama-lamanya oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Al-Muaazam Shah Ibni Almarhum Bendahara Tun Ali kepada Datuk Orang Kaya Maharaja Purba Jelai, Wan Muhammad dan waris-waris gantinya. Penganugerahan ini telah dibuat oleh Sultan Ahmad melalui satu ’Surat Kurnia’ yang bertarikh 20 Ogos 1887. Kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ini adalah kerana mengenang jasa dan khidmat Datuk Orang Kaya Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad.


Apabila kuasa Inggeris bertapak kuat di negeri Pahang, pihak berkuasa Inggeris tidak mahu melihat pembesar-pembesar tempatan mempunyai kuasa. Oleh itu Inggeris telah menggunakan kuasa Sultan untuk menarik balik hak istimewa yang telah dianugerahkan oleh Sultan kepada pembesar-pembesarnya. Atas dasar ini waris ganti Datuk Orang Kaya Maharaja Purba Jelai Wan Muhammad iaitu Tok Raja Wan Ali bin Tok Chik yang mewarisi Purba Jelai dalam tahun 1935 telah menerima surat dari pihak Inggeris yang mengatakan bahawa Jelai Benar adalah hak milik kerajaan negeri. Inggeris memerintahkan agar Jelai Benar dikembalikan Kerajaan negeri, jika tidak Sultan akan melucutkan jawatan Maharaja Purba Jelai Tok Raja Wan Ali bin Tok Raja Wan Chik itu.


Atas desakan Inggeris ini maka pada hari ini dalam tahun 1937, Tok Raja Wan Ali pun menandatangani surat menyerahkan semula kuasa Jelai Benar kepada kerajaan negeri Pahang. Sebagai sagu hati Tok Raja Wan Ali telah dibenarkan memiliki 1,000 ekar tanah di mana-mana kawasan di daerah Jelai Benar, kenaikan gaji sebanyak $300 sebulan serta wang tunai berjumlah $8,000 sebaik sahaja Tok Raja selesai menandatangani surat perjanjian tersebut.


Dengan ini bermakna ’pusaka turun menurun’ yang telah diwasiatkan oleh Sultan Ahmad supaya dikekalkan menjadi milik Maharaja Perba Jelai buat selama-lamanya telah bertukar tangan akibat campurtangan Inggeris di negeri Pahang.

Arkib Negara.

KOMEN

Kalau sebelum ini Inggeris mengambil Kuala Lipis yang sudah tentu hak milik Orang Kaya Haji (Wan Daud) dengan begitu tragis. Sekali lagi Inggeris mengambil hak milik Maharaja Perba Jelai atas nama kuasa Sultan dan Kerajaan Negeri.


1 ulasan:

Warisan Perba berkata...

Salam. PENYERAHAN JELAI BENAR telah pun berlaku. Ia perlu dan wajar dinukilkan dalam SEJARAH PAHANG sebagai iktibar kepada generasi skg dan akan datang.

Dalam membuat sebarang keputusan, SEJARAH tetap relevan untuk diambilkira.

Kita perlu banyak belajar daripada SEJARAH. Terima Kasih.