responsif teks foto

Sabtu, 16 Jun 2012

Bawa pulang RM20,000


PEMENANG pertandingan memancing bergambar bersama replika cek
 masing-masing di Kampung Beletik, 
KUALA LIPIS 12 Jun - Seorang pemuda yang menyertai pertandingan memancing kelmarin di Kolam Sempurna Sejati, Kampung Beletik di sini, Jefri Md. Nawi, 20, tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.
Jefri yang menyertai pertandingan itu sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri berjaya menaikkan ikan keli seberat 8.9 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Menurut Jefri, pada awalnya dia mengikuti rakan yang juga seorang guru semata-mata untuk memeriahkan sambutan Hari Guru dan tidak menduga memperoleh rezeki apabila jorannya direntap seekor ikan keli.
"Saya tidak pernah memenangi hadiah wang tunai sebanyak ini tetapi bersyukur kerana membolehkan saya berbelanja peralatan membaiki rumah dan menabung untuk waktu kecemasan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama Pegawai Pelajaran Lipis, Misnan Mohd. Damin dan Penolong Pegawai Pelajaran Lipis (Unit Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya), Ahmad Daniar Ismail.
Sementara itu, anak peneroka Felda Chegar Perah, Zulkafli Mohamad, 42, menang tempat kedua dengan memperoleh wang tunai RM8,000 manakala tempat ketiga disandang oleh seorang buruh di Felda Koyan Satu, Yatong Abdullah, 25, (RM2,000).
Dalam pada itu Misnan berkata, program anjuran bersama Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) dengan Pejabat Pelajaran Lipis serta pengusaha pengusaha kolam itu disertai para kaki pancing terdiri daripada guru dari daerah ini, Raub, Maran, Bentong, Jerantut dan Lembah Klang.
"Program itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara guru dengan masyarakat setempat dan merupakan salah satu pengisian sambutan Hari Guru yang akan dilancarkan pada Sabtu ini," katanya.
Menurutnya, pertandingan tersebut mendapat sambutan dan mungkin dijadikan acara tahunan pada masa akan datang. UM

Tiada ulasan:

AddToAny