responsif teks foto

Jumaat, 27 Julai 2012

Najis burung jejas imej Lipis


NAJIS burung layang-layang mencemari dinding sebuah pawagam mini di bangunan Centrepoint sekali gus mencacatkan pemandangan bangunan itu dan bandar di Kuala Lipis.

Oleh
JENTAYU PUTIH
Kuala Lipis
SAYA merupakan seorang penyewa pangsapuri di bangunan Centrepoint, bandar Kuala Lipis.
Keresahan yang ingin saya lontarkan di sini ialah masalah najis burung layang-layang yang memenuhi setiap ruang di bangunan itu.
Haiwan tersebut dilihat menjadikan setiap ruang pada bangunan berkenaan untuk bertenggek dan menumpang tidur pada waktu senja atau malam.
Untuk makluman, boleh dikatakan hampir keseluruhan bangunan berkenaan dipenuhi najis burung itu dan lebih menyakitkan mata memandang ialah ketika melalui kaki lima dan tempat letak kenderaan.
Kenderaan yang diletakkan di bawah pokok dan tepi bangunan turut menjadi 'mangsa' najis burung.
Lebih malang apabila kenderaan milik penginap hotel di Centrepoint, Hotel Jelai dan pusat penginapan lain di bandar ini turut dikotori najis burung itu, sekali gus boleh menjejaskan reputasi Kuala Lipis sebagai antara pusat persinggahan pelancongan utama.
Berikutan pencemaran najis haiwan berkenaan, pusat perniagaan dan arena bersantai di Centrepoint yang suatu ketika dulu menjadi mercu tanda dan tumpuan pelawat, kini semakin berkurangan dan sepi menjelang malam.
Boleh dikatakan najis itu memenuhi setiap ruang premis dan ia mudah dilihat pada awal pagi dan waktu menjelang senja apabila burung-burung itu bertenggek di kabel elektrik, atap, bumbung kaki lima, benteng dan ruang terlindung premis di bandar ini.
Senario itu juga menyebabkan pelanggan yang singgah di premis makanan di situ kurang berselera menjamah hidangan akibat bau najis burung tersebut.
Menerusi Rakan Pahang, saya meminta pihak berwajib mencari alternatif dan langkah pencegahan untuk mengurangkan habitat burung itu yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Saya percaya dengan kecanggihan teknologi tertentu, burung layang-layang dapat dikawal daripada hinggap di kawasan premis dan hotel bandar ini yang kerap menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.
Saya tidak berniat untuk memusnahkan haiwan yang dikawal itu tetapi perlu ada mekanisme mengurangkan burung itu daripada hinggap di premis dan kabel di samping mewujudkan kebersihan dan keceriaan bandar Kuala Lipis. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

AddToAny