Isnin, 8 Oktober 2012

Bekas Tentera mengikut Akta Veteran 2012

Bekas Tentera
 Selepas pembentangan bajet 2013 berbagai persoalan timbul berkenaan dengan siapa yang dikatakan bekas tentera yang tidak berpencen yang  menerima RM 1000 atau yang berpencen sudah menerima RM 500 sebelum menyambut hari raya puasa tempoh hari.
Definisi   Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut Akta Veteran 2012 yang telah pun diwartakan pada 9 Februari 2012 adalah Warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan seperti berikut:
1.1 Angkatan Tetap ATM;
1.2 Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan;
1.3 Force 136;
1.4 Tentera British yang berkhidmat di Malaya/Malaysia atau Singapura; dan
1.5 Sarawak Rangers.
Semua bekas tentera yang termasuk dalam kategori di atas, tidak mengira sama ada berpencen atau tidak, adalah diiktiraf sebagai Veteran ATM tanpa mengambilkira zaman di mana mereka pernah berkhidmat termasuklah ketika darurat, konfrantasi dan ancaman komunis. Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak berpencen  layak untuk menerima pemberian sumbangan RM1,000 secara one-off seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di dalam Pembentangan Bajet 2013 yang lalu
Di samping itu, sebagai seorang Veteran ATM banyak kemudahan disediakan kepada mereka melalui Skim Bantuan Kebajikan, Pendidikan dan Perubatan (SBKPP) yang terdapat di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). SBKPP merupakan program bantuan kewangan bertujuan menjaga kebajikan Veteran ATM dan orang tanggungan mereka yang memerlukannya supaya dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
Terdapat lima kategori bantuan di bawah skim ini iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Politeknik (IPTA), Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam. Bantuan Sara Hidup secara bulanan di antara RM100.00 hingga RM300.00 adalah disasarkan terutamanya kepada Veteran yang telah tua, uzur dan daif.
JHEV juga menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk kemudahan bayaran balik tuntutan perubatan termasuk haemodialisis, ubat-ubatan, peralatan/implan dan rawatan perubatan tanpa membezakan sama ada seseorang Veteran itu berpencen ataupun tidak. Semenjak penubuhan JHEV pada tahun 2001, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM140.9 juta untuk bayaran faedah-faedah perubatan, RM40.4 juta untuk bantuan persekolahan dan kemasukan ke IPTA serta RM35.7 juta untuk lain-lain bantuan kebajikan termasuk bantuan sara hidup.
Kesimpulannya, Veteran ATM termasuk bekas tentera tidak berpencen yang pernah berkhidmat di zaman darurat, konfrantasi dan komunis sebenarnya telah mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya daripada Kerajaan yang disalurkan melalui JHEV. Keprihatinan serta penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan dalam bentuk tersebut adalah lebih memadai kepada Veteran ATM serta orang tanggungan mereka jika dihitung secara berpanjangan.

Tiada ulasan: