Selasa, 13 November 2012

Pingat Jasa Malaysia


Pingat Jasa Malaysia
Pingat Jasa Malaysia (PJM) adalah ‘Campaign Medal’ yang telah dizahirkan pada 3 Mac 2004 yang dianugerahkan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (Warga ATM) dan anggota Pasukan Pengaman dari negara-negara sahabat,  yang telah bertugas menegakkan keamanan dan kedaulatan negara ini sepanjang tempoh Darurat Pertama dan Darurat Kedua, tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita dan samada dan masih hidup ataupun telah meninggal dunia.


SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

Warga ATM  

Telah berkhidmat secara berterusan bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dan bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan atau lebih dalam mana-mana formasi atau unit Angkatan Tentera Malaysia dalam operasi menentang pengganas komunis dalam tempoh sepertimana di atas.

Jika tidak memenuhi tempoh yang telah ditetapkan, boleh dipertimbangkan seandainya telah terbunuh, tercedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang Pengganas Komunis, dalam jangkamas sepertimana di atas.

Anggota Pengaman Dari Negara Luar


Anggota Pasukan Pengaman (Anggota Angkatan Tentera, Separa Tentera, Polis dan Kakitangan Awam Keselamatan) dari negara-negara asing
  yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan di Persekutuan Tanah Melayu atau di Malaysia bagi tempoh dari 31 Ogos 1957 sehingga 12 Ogos 1966.

Terlibat secara berterusan selama 3 bulan atau lebih  atau pernah berkhidmat secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan atau lebih dalam mana-mana organisasi pasukan pengaman itu dalam tempoh sepertimana di atas

Sekiranya tidak memenuhi tempoh yang ditentukan, telah terbunuh, tercedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh bertugas untuk menentang musuh dalam jangka masa sepertimana di atas.


SUSUNAN KEKANANAN

Bersesuaian dengan tarafnya sebagai sebuah ‘Campaign Medal’ yang berlandaskan perjuangan dan pengorbanan semasa darurat dan juga penglibatan dalam tugas giat sepenuhnya, maka pingat ini lebih kanan dari Pingat PNBB dan PPS. Oleh itu, PJM ini hendaklah diletakkan ke kanan dari PNBB, PPS dan PPA atau PJK.


PENGANUGERAHAN

Pingat ini merupakan satu penganugerahan dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah disampaikan kepada penerima-penerima yang layak di dalam sesuatu majlis atau perbarisan yang sesuai oleh seorang Pegawai Kanan yang diwakilkan.

Tiada ulasan: