responsif teks foto

Selasa, 31 Disember 2013

Ahad, 29 Disember 2013

Pendapatan pekebun getah sepanjang tahun 2013

Pada hari ini saya menutup akaun pendapatan hasil getah tahun 2013.  Menoreh selama 2 jam sehari dengan 270 pokok getah boleh memperolehi  pendapatan RM 8,082.75 setahun(purata bulanan RM 673.60). Pendapatan ini dipengaruhi oleh harga semasa,musim meluruh dan hujan.

Berbanding tahun 2012 saya memperolehi pendapatan RM 10,444.00 setahun(purata bulanan RM 870.00)  disebabkan harga pada tahun tersebut lebih tinggi berbanding dengan tahun 2013. Kemerosotan 23 peratus pendapatan ini  berbanding tahun 2012 menyebabkan kerajaan memberi bantuan RM 500 kepada pekebun kecil getah yang keluasan tanahnya kurang dari 6 ekar.

Purata Harga getah untuk  satu kilogram sepanjang tahun 2013

Bulan     Jan         RM 4.35
Cerita dari Lipis Getah
Statistik pendapatan 2013
Bulan     Feb       RM 4.24
Bulan     Mac      RM 3.77
Bulan     April       RM 3.40
Bulan     Mei        RM
Bulan     Jun         RM 3.30
Bulan     Julai       RM 3.05
Bulan     Ogos      RM 3.42
Bulan     Sep        RM  3.66
Bulan     Okt         RM 3.38
Bulan     Nov        RM 3.32




Dengan pendapatan sebanyak ini pekebun kecil perlu meningkatkan produktiviti dengan menoreh lebih dari dua jam sehari atau sekurang-kurangnya empat jam hingga ke enam jam sehari (jangan dipanggil bangla/Mat Indo sudahlah..hiiihiii). Bebanan peningkatan kos sara hidup yang semangkin meningkat pada hari ini pekebun kecil perlu berusaha meningkatkan produktiviti atau mencari sumber pendapatn lain, nak harapkan harga tinggi ianya diluar kemampuan pekebun

Rabu, 25 Disember 2013

BRIM 2014 : Mohon Baru dan Kemaskini




Cara kemaskini BRIM 2014 secara Online

Berikut disertakan cara-cara bagi mengemaskini data bagi mereka yang pernah menerima BRIM 2.0 sebelum ini.

1. Mula-mula sila masuk ke SINI pilih sama ada mohon baru atau kemaskini

2. Masukkan no kad pengenalan anda dan tarikh lahir dan klik kemaskini permohonan BRIM 2.0 pada butang yang terdapat di sebelah bawah kanan

3. Pilih untuk mengemaskini data seperti :-

a. No telefon rumah
b. No telefon bimbit
c. Pekerjaan
d. Maklumat bank
e. Alamat e-mel
f. Alamat surat menyurat terkini


No telefon untuk pertanyaan : 03-8000 8000

BR1M Hotline 1-800-88-2716.  





4. Setelah mengisi semua yang dirasakan perlu contoh alamat baru atau maklumat bank dan masukan kod pengesahan akan keluar satu "dialog box" untuk pengesahan

5. Tandakan pada kotak saya setuju dengan terma dan syarat di atas dan klik pada kotak setuju dan hantar


6. Satu dialog box akan keluar dan beri tahu yang permohonan telah berjaya di kemaskini


7. Sedia untuk cetak


8. Selesai

Ahad, 8 Disember 2013

Banjir Besar di Pahang.

Banjir Besar 1924

Pada tahun 1923 satu banjir besar berlaku di Pahang. Banjir tersebut memusnahkan kawasan tanah yang luas di daerah Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan. Banjir terus berlaku sehingga tahun 1924 yang telah memutuskan system perhubungan antara Pekan dengan daearh lain. Malapetaka-malapetaka  yang berlaku menyebabkan Pahang mengalami masalah kekurangan beras. Justeru itu, pihak British mengambil langkah membeli dan mengirim beras ke Mentakab dan seterusnya dihantar ke Pekan melalui jalanraya. Banjir yang berlaku pada tahun tersebut adalah yang terburuk pernah berlaku dan mengorbankan banyak nyawa terutama orang-orang yang tinggal di sepanjang Sungai Pahang di daerah Pekan. Pada penghujung tahun 1926 satu lagi banjir besar, dicatatkan berlaku.
Banjir semasa pemerintahan
Sultan Abdullah 


Kejadian banjir besar yang berlaku memusnahkan hampir seluruh daerah di Pahang kecuali Daerah Raub dan Bentong. Kebanyakan penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan-kawasan yang lebih tinggi.  Sistem perhubungan jalanraya dan keretapi terganggu. Perkhidmatan telegraf dan telefon juga terputus dan kebanyakan stesen tidak berfungsi sepenuhnya. Begituj juga kerosakan harta benda awam dan persendirian. Banyak rumah musnah akibat banjir apabila banjir surut, lumpur dan pasir tertinggal di kawasan-kawasan tertentu dan menganggu kerja-kerja pertanian. Di Ulu Tembeling, mendapan sungai meliputi kawasan hampir 20 kaki tebalnya.  Walaupun kerosakan dan kemusnahan  yang dialami oleh penduduk tempatan maha hebat tetapi kebanyakan mereka masih tenang dan berusaha membantu pihak British untuk mengembalikan keadaan seperti sedia kala.
Kerja-kerja membaiki kerosakan mula dijalankan pada tahun 1927 berikutan timbulnya kebimbangan berlaku banjir pada tahun tersebut. Justeru itu, kerajaan British mengambil langkah-langkah awal, untuk menghadapi banjir tersebut. Bekalan makanan disimpan dalam jumlah yang banyak. Banjir yang berlaku padatahun-tahun sebelumnya, turut memusnahkan kawasan tanaman kelapa seluas 500 ekar (200 hektar) di daerah Kuantan.

Banjir Besar 1971












Sejarah banjir paling besar pernah melanda negara kita berlaku pada bulan Januari 1971 sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat setelah hampir seluruh negara ditenggelami oleh air, akibat hujan lebat yang turun tidak henti-henti selama hampir 1 minggu
Kuala Lipis banjir 1971

Banjir yang melanda ini surut dalam masa seminggu kemudian dengan mengorbankan 24 orang dan kerugian harta benda dianggarkan melebihi RM 84.7 juta. Banjir ini turut meninggalkan kesan kesan kerosakan yang paling teruk, ramai kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Ramai yang terpaksa tinggal sehelai sepinggang, setelah semua harta benda dihanyutkan oleh banjir.

Peristiwa Banjir Besar 1971 yang tidak diketahui umum:-

Beratus-ratus kereta dan lori tersadai selama 3 hari apabila jambatan dekat Maran runtuh.Feri terpaksa digunakan untuk membawa kenderaan tersebut menyeberangi sungai.
Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) hampir mati lemas apabila bot yang baginda bersama rombongannya untuk meninjau keadaan banjir telah dinaiki air di Sungai Pahang dekat daerah Pekan. Bagaimanapun
Sultan Abu Bakar Pahang
Baginda dan rombongannya terselamat apabila dua buah bot nelayan muncul dan memberi bantuan. Speed bot baginda yang berharga RM 60,000 itu karam pada pukul 10.30 pagi.
Hamzah bin Haji Salleh ( berusia 23 tahun) dari Kampung Pasir Baru, Petaling Bahagia, muncul sebagai ‘hero banjir’  kerana berjaya menyelamatkan 20 orang yang terperangkap dalam banjir besar ini.Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu, namun peristiwa ini tetap terpahat dalam lipatan sejarah sebagai banjir paling besar yang melanda negara kita.

 Banjir besar 2013 di Kuantan

Sebelum banjir

Pada 15 November lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kerajaan Pahang sudah bersedia menghadapi banjir, yang dijangka melanda negeri ini bermula hujung November.
Muhammad Safian berkata sebanyak 579 pusat pemindahan dikenal pasti dengan 60 peratus merupakan bangunan sekolah, manakala barang keperluan seperti makanan akan ditempatkan di 73 pangkalan hadapan bermula 18November, membabitkan peruntukan RM 1.2juta.
"Sebanyak 6,000 petugas dari 14 jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung telah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mangsabanjir," katanya.

Semasa Banjir

Pada hari pertama banjir di Kuantan, semuanya bagaikan kelam kabut, termasuk bilik operasi banjir agensi keselamatan yang bagaikan 'terpinga-pinga' dengan musibah yang berlaku.
Sultan Ahmad Shah melawat mangsa banjir 
Laman sosial seperti Facebook dan Twitter pula melimpah ruah dengan gambar dan maklumat yang pastinya menggusarkan semua pihak yang tidak berada di Kuantan atau Pahang bagi mendapatkan maklumat sebenar.
Banjir 2013 di Kuantan
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika ditemui pemberita mengakui banyak kekurangan dan kelemahan pada hari pertama banjir melanda tiga hari lepas. Menjadi masalah apabila petuga soperasi banjir mendapati kediaman mereka turut ditenggelami air.
Bandar Kuantan lumpuh apabila berubah menjadi 'Taman Tema Air Kuantan', bekalan elektrik dan air terputus, manakala pusat-pusat pemindahan mangsa banjir pula dilaporkan kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas.

Peristiwa di Sungai Isap.

Sungguh menyedihkan, gara-gara kelewatan pihak berkuasa menghantar bantuan kemansuian menyebabkan beberapa orang penduduk di Perkampungan Sungai Isap dekat sini dipercayai telah memanjat tangki air yang terletak di Sungai Isap Perdana untuk menyelamatkan diri masing-masing.
"Sebelum itu mereka duduk di dewan oleh kerana air naik dengan cepat mereka tidak ada tempat lain untuk duduk maka mereka pun memanjat tangki  sementara tunggu bantuan tiba ada yang tak tahan tunggu dia orang redah je air untuk keluar dari taman tu masa ni memang agak membimbangkan pelbagai perasaan ada huuhuuuhhh sedih tol (betul) tragis".
Penduduk Sungai Isap menaiki tangki air
menyelamat dari banjir 

Angka Banjir

 7 Dis 2013  - Hujan lebat sejak sekali lagi sehingga pagi ini menyaksikan jumlah mangsa banjir di Pahang kembali meningkat kepada 38,210 orang, melibatkan lapan daerah hari ini. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 32,871 mangsa diikuti Pekan (3,464), Temerloh (839), Jerantut (519) Maran (183), Bera (117) dan Lipis (53). Katanya, kesemua mangsa kini ditempatkan di 117 pusat pemindahan berikutan kediaman mereka dinaiki air akibat bencana itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa banjir yang sedang melanda Pantai Timur dan Johor. Ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau juga mahukan kesemua bank membenarkan mangsa banjir terbabit tangguhkan pembayaran balik pinjaman mereka.
bantuan RM 500 setiap keluarga mangsa banjir
Banjir di Lipis
Sebanyak 30 sukarelawan UMNO Bahagian Lipis menyumbang 50 bungkusan makanan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di Mukim Cheka di sini hari ini. Bantuan makanan harian yang dipunggah menggunakan bot gentian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis diketuai Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad bersama-sama skuad sukarelawan berkenaan. Turut hadir Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan; Ahli Dewan Undangan Benta, Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak; Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohamad Noor dan Setiausaha Kerja UMNO Lipis, Amir Marwan Abu Kassim. Bantuan itu diserahkan kepada mangsa banjir di Kampung Jeram Buluh, Kampung Jeram Landak, Kampung Ganding, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Limau Purut dan Kampung Lentang. Menurut Abdul Rahman, UMNO Lipis berasa terpanggil untuk menzahirkan keprihatinan kepada mangsa banjir di Mukim Cheka menerusi bantuan itu dan berharap mangsa berkenaan bersabar hadapi dugaan bencana banjir tahun ini. "Walaupun mereka (mangsa) sudah dapat bantuan JKM Lipis, tetapi UMNO Lipis tetap mengingati dan berasa simpati dengan menghulurkan sumbangan ini walaupun sukar memunggah dengan bot gentian dari bandar Lipis."Inilah keupayaan kita, tetap bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mangsa bencana sambil berharap mereka sedikit selesa di pusat pemindahan ini sebelum keadaan kembali pulih," katanya lagi
30 Sukarelawan UMNO Bahagian Lipis

Komen
Banjir merupakan bencana alam yang pernah ditempoh oleh datuk nenek kita dahulu, ia bukan musibah baru. Cara bagaimana kita menyelesaikan adalah bergantung kepada individu dan pihak berkuasa tidak payahlah kita menyalahkan  sesiapa, reda kepada Alllah kerana kerana setiap musibah adalah untuk menguji keimanan kita.

Rujuk :
Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930
Pahang Daily Online

Jumaat, 6 Disember 2013

Perjalanan yang tidak direstu : 3



Ops Indera Khas, X Skuadron 1 RGKM VS 6th Assault Unit Diketuai Oleh CCM Chong Chor.

Pada awal tahun 1974 ketika itu saya yang berkhidmat dalam X Skuadron 1 RGKM. Skuadron tersebut telah diaturgerakkan bagi menghapuskan 6th Assault Unit yang diketuai oleh CCM Chong Choo.Aturgerak ini ini dilakukan selepas sahaja pertempuran salah sebuah unit RRD yang berkesudahan dengan kematian Kapt Chandran dan beberapa anggota di bawahnya.

Dalam gerakan ini, RGKM memainkan peranan yang penting, ini ditambah lagi Pegawai Memerintah saya ketika itu telah dilantik Pegawai Staff Operasi. Hasil dari motivasi dan semangat kental pasukan kami berazam untuk menghapuskan anak-anak buah Chong Choo. Bagi meninggikan lagi semangat untuk mencari CCM ini, katanya beliau sentiasa membawa peti hijau yang juga mengandungi $$$$$$$ berjumlah yang banyak.

Skuadron kami telah di ‘AirEvac’ ke kawasan di mana pasukan RRD 'contact'. Oleh kerana kawasan tersebut begitu lunyai dengan ‘track-track’ yang dilalui, agak sukar bagi kami untuk mencari ‘track’ yang ditinggalkan oleh musuh. Setelah beberapa hari melakukan 'search & tracking' hasilnya kami telah berjaya menjumpai 'Fresh Track' yang ditinggalkan oleh PK (pengganas komunis) di bawah pimpinan CCM Chong Choo. Maka bermulalah episod "follow up". Memandangkan PK telah berjaya menembak mati beberapa anggota pasukan keselamatan, sudah pasti mereka berada dalam 'High Morale' ketika itu.

Apa yang diperhatikan keadaan 'track' yang ditinggalkan oleh PK mempunyai kekuatan yang agak ramai. Maka atas nasihat yang diberikan oleh CO kami yang juga sebagai Pegawai Staff Operasi, penjejakan akan dilakukan dan gabungkan kepada lebih sedikit daripada 2 skuadron...

Track’ yang yang ditinggalkan oleh PK agak ketara dan jelas. Walaupun peringkat awalnya mereka banyak memberi kekeliruan kepada kami untuk mengesan mereka. Berkemungkinan juga mereka menganggap kekeliruan yang yang mereka buat sudah cukup untuk mengelirukan pasukan kami. Apa yang diperhatikan juga kesan-kesan yang mereka tinggalkan seolah-olah, tiada orang akan yang akan mengekori gerombolan mereka. Langsung tiada penyamaran dan juga tiada BT ditinggalkan disepanjang ‘track’ yang kami lalui.

Untuk mengelakkankan sebarang syak wasangka pihak musuh, ketika itu tiada pergerakan pesawat dan juga tembakan artileri dilakukan di kawasan berkaitan. Ini bertujuan agar pihak musuh menjangka mereka betul selamat dari ancaman pasukan keselamatan dan menjadikan mereka lebih lalai dan leka.

Di sepanjang ‘track’ mereka juga meninggalkan segala sisa-isa makanan dengan sewenangnya tanpa samaran, ditanam dan disembuyikan. Sisa makanan seperti keladi air yang direbus dan tangan ungka yang mereka tembak ditinggalkan begitu sahaja. Kebanyakan bangkai-bangkai ungka dijumpai masih berdarah dan menitis (belum beku).

Pada hemat saya, memandangkan keadaan hutan yang sejuk dan dingin, berkemungkinan gerombolan mereka paling lama 1 hari perjalanan jarak antara mereka dengan kami. Penjejakan berterusan dari Sungai Tersang melintasi sempadan Pahang memasuki sedikit negeri Selangor dan menghala ke barat iaitu Perak. Sepanjang perjalanan tiada sebarang halangan berlaku.

Di pertengahan jalan, rangsum telah habis pada 2/3 hari sebelum. Sekadar makan apa yang ada, namun oleh kerana keadaan yang agak mendesak maka pembekalan Rangsum (Resupply) terpaksa dilakukan dengan secara seminima yang mungkin.

Penerbangan Nuri yang agak terhad bagi mengelakkan sebarang kesangsian di pihak PK yang ada pasukan keselamatan di belakang mereka. Pembekalan dilakukan dengan secepat mungkin serta rangsum yang tidak diperlukan dimusnahkan seperti Kacang Merah dan kacang hijau tin (baked beans and Green Peas) dan lain-lain yang difikirkan memberatkan. Keadaan tergesa-gesa membuatkan berlakunya sedikit kecuaian di sini. Terdapat sebahagian anggota tidak memusnahkannya sebelum ditimbus...


Akibat dari kecuaian tersebut, bekalan yang tidak dimusnahkan dengan sempurna memang memberi advantage kepada PK. Dalam keadaan 'survival' harga sebiji beras amat berharga berbanding dengan benda-benda yang lain. Hasil dari kesilapan itu setelah dibuat perilaian semula (post mortem) dibukukan bagi ATM agar memusnahkan sepenuhnya apa-apa yang tidak diperlukan ketika melakukan operasi.

Penjejakan dilakukan seterusnya. Manakala aktiviti di malam hari seperti biasa, pengawasan di sebelah malam lebih berhati-hati lebih-lebih lagi ketika bulan mengambang penuh.

Memandangkan penjejakan ini memang berisiko tinggi dan mungkin tiada ketentuan masa terjadinya sebarang insiden akan berlaku. Pada suatu hari ketika penjejakan dilaksanakan, suatu bau yang amat busuk menyucuk hidung. Bermacam-macam perasaan bermain di kepala. Adakah mayat PK yang telah mati akibat kelaparan akibat tersalah makan makanan hutan? Setelah dibuat pemeriksaan didapati sisa-sisa binatang liar yang ditinggalkan begitu sahaja. Dipercayai bangkai dan sisa khinzir.

Hari berganti minggu, perjejakan diteruskan dan ketika melintasi banjaran Titiwangsa dan sebelum menghampiri kawasan Hutan Ulu Behrang, pasukan berhenti dan memasak makanan tengahari. Setelah penat melakukan penjejakan semestinya perut amat terasa amat lapar. Ketika sedang memasak, nasi baru sahaja nak kering. Pasukan diarahkan bergerak. Apatah lagi dengan segera segala makan disimpan di dalam ‘pack’ tanpa sempat mengecap 'Lunch'.

Di sinilah konsep 'haversack lunch' patut dipratikkan bagi menjimatkan masa. 'Haversack lunch' adalah konsep SAS yang baik dilaksanakan dalam keadaan untuk menjimatkan masa. Konsep ini saya pelajari kemudiannya setelah mengikuti suatu kursus kerjaya dilaksana oleh pasukan.

Baru sahaja nak bergerak, hujan panas turun dengan tiba-tibanya. Lazimnya ini adalah suatu pertanda sesuatu perkara akan berlaku. Bab kata orang tua, ada suatu perkara buruk akan berlaku....

Dalam keadaan hujan panas itu juga semua anggota diingatkan bahawa adalah sesuatu pertanda yang tak baik yang akan mungkin akan berlaku. Setelah bergerak sehingga sampai ke permatang (ridge) nampak nun sayup bawah sana kawasan yang saya kira kawasan pertanian yang juga sebahagiannya diliputi dengan hutan renek dengan hutan lalang. Maklum setelah sekian hari tidak bertemu dengan keadaan lapang, keadaan masing-masing begitu ghairah untuk cepat sampai ke kawasan tersebut did alam keadaan ini tiba-tiba...

Dam! Dam! Dam! Bunyi tembakan di bawah bukit berhampiran dengan pingir hutan yang mana seksyen hadapan telah bertempur. Dengan semangat juang yang tinggi masing-masing terus menerpa ke hadapan tanpa sebarang rasa takut dan gementar. Untuk mempercepatkan gerakan masing-masing semua meninggalkan beg galas sambil meluru ke hadapan.



 

Pada suatu ketika, naluri saya tergerak untuk berhenti dan meninjau (memerhati) ke lereng sebelah kiri seketika. Oleh kerana desakan dari anggota di belakang agar saya bergerak terus kehadapan, maka saya pun bergerak ke hadapan. Kalau saya masih lagi di situ saya kira kemungkinan besar saya akan dapat menembak beberapa orang musuh yang kebetulan lari dari arah itu.
Di sini rasa saya ada sedikit kesilapan berlaku. Di samping berlari ke hadapan masing-masing 'relay message' dari hadapan hingga ke anggota yang di belakang dengan menyatakan "musuh kiri, musuh kiri". Oleh kerana kesilapan salah seorang anggota dengan memberi isyarat musuh kiri dengan menghadapkan orang di belakangnya dengan memberi isyarat musuh kiri bererti menjadi arah ke kanan. Maka pesanan itu telah menjadi sebelah kanan. Oleh kerana kesilapan seseorang menyampaikan 'message' maka berterusanlah sehingga orang di belakang.

Seperti saya nyatakan 'follow up' ini melibatkan 2 skuadron, maka skuadron di belakang telah digerakkan sebagai penyekat di sebelah kanan. Maka terlepaslah kumpulan musuh yang jangka berundur semula dengan mengikut arah lereng kiri bukit. Bayangkan sekiranya tidak berlaku kesilapan sedemikian, rasa saya keseluruhan Kumpulan CCM Chong Chor lupus pada hari itu. Nyawa mereka panjang setekat hari itu dan selamat buat seketika...

Hasil dari pertempuran dibahagian Leading Section yang juga digabungkan dengan Team Pengesan dan K9 yang didatangkan kahs dari Pulada Johor ketika diawal Operasi setelah kesan PGK dapat dijumpai. Seorang Pengendali Anjing Perang telah terkena tembakan yang tidak begitu baik dari PGK mengakibatkan luka sedikit dibahagian sisi pipi beliau.

Manakala disebelah pihak PGK didapati seorang Penganas telah dihapuskan dengan beberapa Beg Galas ditinggalkan PGK akibat amat terdesak. Disamping itu ada terdapat kesan-kesan Darah dari kumpulan mereka yang mengalami kecedaraan. Setelah diperiiksa 100% terdapat beberapa dokumen penting telah dijumpai. Mayat PGK (Wanita) juga diperiksa 100% dan dibawa keluar melalui Pesawat (Alloutte).

Begitu juga anggota Pasukan sendiri yang cedera dibawa bersama. Oleh kerana keadaan telah beransur Gelap kami 'baseup' di Lokasi pertempuran. Saya terlupa pulak pasal Beg galas yang ditinggalkan dibahagian belakang. Pada mula nya saya ingatkan beg galas saya terpaksa diambil dimana ianya ditinggalkan. Nasib baik Beg galas tersebut telah diambil oleh Kumpulan Belakang yang membawanya kelokasi ketempat 'Base' kami. Pheew!!!!! kalau tidak jauh juga dimana Beg Galas itu seingat saya hampir juga 1 petak peta.

Malam tu terbayang-bayang dikepala otak saya keadaan Mayat PGK itu ditembak dengan keadaan yang mengerikan. Maklum lah ini kali pertama saya didedahkan keadaan pertempuran dan casualty yang ditembak yang berlaku dihadapan mata sendiri. Ketika berkawal waktu malam pun tahap berjaga-jaga sperti biasa, kerana bila-bila masa keadaan boleh menjadi cemas sekiranya diserang. Manakan tahu, kot-kot dipihak PGK ingin menuntut belak atas kehilangan salah seorang 'Komrad'. Kesyahduaan malam berlalu dengan tenangnya sehingga pagi.


Akibat dari pertempuran itu, PGK dibawah SCM Chong Cho (6th Asslt Unit) berkecamuk dan berpecah beberapa kumpulan kecil (ini diceritakan oleh salah seorang SEP yang telah menyerah diri kemudiannya dan ini ada diceritakan oleh SEP tersebut bertajuk 'Aku mahu Hidup') Akibat dari keadaan itu ada kumpulan yang berpatah balik ke Negeri Pahang dan ada kumpulan yang masih melilau dikawasan perhutanan persekitaran tersebut.

Hasil dari dokumen-dokumen yang dijumpai selepas pertempuran itu diserahkan kepada Pasukan Polis untuk dibuat penilaian dan kajian-kajian dimasa hadapan. Memandangkan kawasan pertempuran juga dikawasan pinggir penempatan maka dipercayai musuh cuba untuk keluar dari hutan melalui hujung-hujung kampung. Kampung persekitaran boleh dikatakan kebanyakan perkampungan Orang Melayu. Hasil dari maklumat mneyatakan musuh telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil, maka kami dipecahkan mengikut kumpulan-kumpulan kecil juga.

Maka operasi fasa berikutnya agak selisa sedikit berbanding yang telah berlalu di fasa sebelumnya. Rata-rata meronda dikawasan terbuka dan juga pinggir-pinggir kampung. Begitu juga keadaan 'Baseup' agak terbuka sedikit. Namum demikian langkah berjaga-jaga dan kewaspadaan itu bertambah dan lebih dari biasa. Memandang memburu 'harimau-harimau yang sudah luka' pastinya lebih ganas lagi. Disamping itu juga kawalan lalulintas juga dilakukan dengan tanpa sebarang sekatan atau pemantauan oleh oleh Pihak Polis, ianya dilakukan bila-bila masa dan ketika. Setiap keaderaan awam diperiksa dan memastiakn tiada pembolosan berlaku.

Setelah beberapa-beberapa hari melakukan operasi tersebut, tiada hasil atau terdapat pembolosan oleh musuh, maka arahan penarikan keluar diberikan agar pasukan diberi pelaung untuk balik ke Kem SU. Disini terpancar-pancarlah wajah keriangan setiap anggota setelah berbulan-bulan menjalani operasi pulang kerumah. Lebih-lebih yang telah berkelamin @ berkeluarga (Faham-faham sudah le!!!!!). Semasa menunggu penarikan keluar sambil menunggu 3 tonner datang memunggut, sekonyong-konyong keluar dua orang berbangsa Cina dengan memakai pakaian awam yang agak kusut masai........

Dengan keadaan fisikal dan pakaian yang meragukan, pada mulanya kedua-dua mereka ditahan dan disolsiasat ala-kadarnya, memandangkan keadaan yang amat meragukan. Namun demikian mereka tetap bertegas mengatakan mereka adalah Penoreh Getah. Merumitkan dan mengelirukan tanpa sebarang peralatan Getah serta baju yang tanpa kesan-kesan getah. Kedua-duanya dibogelkan serta tengok keadaan kaki-kaki mereka sudah kembang.

Untuk maklum sekiranya seseorang itu telah berhari-hari memakai kasut dengan keadaan yang tidak menentu basah-keringnya keadaan warna kaki amat berbeza. Disini soal siasat 'ala-ala' gitu dilakukan, walaupun dalam keadaan yang teruk, namum mereka tidak juga mengaku dan tetap berkeras. Memang sah doktrin yang mereka terima amat kental. Dipendik cerita kedua-duanya diserahkan kepada pihak SB untuk tujuan siasatan selanjutnya. Mereka ini dibawa oleh Pihak SB ke suatu tempat bagi tujuan soal siasat. Biarkan Pihak Polis menguruskan nya seterusnya........

Pergerakan balik ke 'Main Base di SU dilakukan secara convoy dan convoy ini pula dibahagikan beberapa phase(peringkat) pergerakannya. Masa itu mana ada Lebuhraya kan? Ialah tahun 1974, maka pergerakan semuanya mengikut istilah sekarang ini 'Jalan Lama'. Pergerakan balik ke 'Main Base ini juga ada perkara melucukan terjadi.

Oleh Kerana pergerakan konvoi tersebut dibahagikan kepada beberapa peringkat,. Maka ada Konvoi yang baru saja sampai Di Main Base (SU), ada dipertengahan Jalan dsbnya. Bagi Konvoi saya ketika sampai di Pekan Kajang. Sampai sahaja di pekan Kajang, Konvoi saya melalui suatu Roadblock (RCP) Polis diadakan dihadapan Balai Polis Kajang. Saya kira sememangnya RCP itu khusus untuk kami. Ketika diarahkan berhenti oleh Peg di RCP menyatakan beliau mendapat arahan supaya Konvoi kami berpatah balik.

Yaa Allah, bayangkan situasi ketika itu lebih-lebih lagi yang sudah berkelamin (Faham-faham sahaja sudah lah). Berperasaan Marah, geram dan sebagai tergambar dimuka masing-masing dengan luahan perkataan yang tersepatutnya terkeluar dari mulut masing. Bagi saya dan seangkatan ( Bujang trang-tang-tang) macam saya tidak lah sangat. Kasihan member yang sudah berkelamin ketika itu. Dalam kepala masing-masing terbayang Wajah 'Mak Andeh' dirumah.

Begitu juga dengan Konvoi yang sudah sampai ke Main Base (SU). Sudah terlempias atau tidak. Waallahuwam. Macam taktik digunakan (opps X rated sikit). Berbalik kepada kumpulan Konvoi saya, apa-apahal perkena dulu Sate Kajang. Seingat saya dulu Sate Kajang berhampiran dengan Pump Station yang ada sekarang. Bayangkan lah satu Skuadron serbu dalam satu atau dua buah kedai dengan hiruk-pikuk, ragamnya dan bau-bauannya hilang bau aroma sate ketika itu.

Dalam karenah melayan seramai itu. Harapan saya agar semua nya melunaskan apa yang telah dimakan kerana itu akan menjadi darah daging. Tak tahu lah saya mungkin dalam seramai itu ada yang berfikiran sontot. Minta-minta janganlah. Maka setelah makan dan melunaskan apa yang patut Konvoi berpatah balik dengan jalan yang sama menuju semula ke Slim River dan bermula lah pulak phase yang lain dengan nama Operasi yang berbeza kerana Operasi tersebut diterajuii oleh 2 BDE (Ipoh Perak) yang sebelum ini diterajui oleh 4 Bde (Pahang).

Setelah diarahkan berpatah balik ke Slim River, sementara arahan selanjutnya saya dan anggota Skn berkampung semula di persekitaran Balai Polis Slim River. Khemah Skn Tek dibangun semula di Tanah lapang didalam kawasan Balai. Disitu saya bermalam buat sementara waktu.

Apa yang saya perhatikan dikemah yang sama terdapat Tempat Rehat (tidor) Jen Tan Sri (TUN) Ibrahim Ismail PAT ketika itu. Tan Sri begitu simple, tidur di kemah yang sama dengan kami, malah cuma diatas sebidang Ponco sahaja . Saya betul-betul respect Tan Sri (Tun). Tan Sri (Tun) begitu humble dan tak mengikut protokol walhal beliau ketika itu berpangkat Jen. Silap-silap orang tak jangka, ada Jen di Khemah tersebut.

Setelah menerima taklimat, memang sah yang dua orang itu adalah Penganas, seoarang agak berumur 40 dan seorang Remaja lelaki dalam belasan atau awal 20an. Lelaki yang berumur agak 'Hardcore' sedikit, manakala yang muda itu sudah nampak reaksi memberi kerjasama. Beberapa hari kemudian Sek saya telah diarahkan membawa anggota CEP tsb ke suatu kawasan hutan dimana mereka telah 'Dump' Senjata api mereka. CEP tsb dipakaikan loreng dan untuk memberi kepercayaan dan keyakinan kepada nya, maka dia juga diberi senjata, tetapi sudah pasti dalam keadaan yang tidak sempurna, walaupun nampak sempurna.

Oleh kerana Keadaan hutan agak jauh dihujung perkampungan masa pergi dan balik memakan hampir satu hari juga. Setelah menyelongkar kwsn dengan diberi sedikit pertanda dimana senjata ditanam, dengan agak lama maka senjata tersebut ditemui dan dibawa balik Ke Markas Tektikal.

Disamping itu kumpulan kami juga diarahkan mencari maklumat yang terdapat dihelaian kertas dimana apabila mereka kedua ini ditawan tempohari. Dengan Maklumat tersebut maka peringkat kedua dijalankan.

Komen

Jika kita bercerita kepada anak kita bahawa dahulunya kawasan Pahang Barat yang meliputi daerah Raub dan Bentong merupakan kawasan gerak tindak 6th Assault Unit yang merupakan satu Unit khas PKM menyusuk masuk untuk meluaskan pengaruh komunis pasti mereka tidak mempercayainya. Kehadiran musuh negara ini pada masa itu menjadikan kawasan tersebut kawasan hitam. Perjalanan dari Raub ke Felda Sungai Koyan pada masa itu kita terpaksa menempoh 5 road block oleh tentera, perjalanan waktu malam pula perlu mendapat permit Polis.

Selasa, 3 Disember 2013

Majun Dua Istimewa: "Mujarap tapi diharamkan...."

Majun Dua Istimewa
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli atau menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR yang dijual sebagai ubat tradisional melayu dan yang dilabel dengan nama ‘MAJUN DUA ISTIMEWA’.

PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima sebanyak dua puluh empat (24) laporan kesan advers yang melibatkan produk Majun Dua Istimewa. Kesan-kesan advers yang dilaporkan ialah peningkatan berat badan, peningkatan enzim hati yang mengakibatkan beberapa penyakit berkaitan hati, kegagalan fungsi buah pinggang secara akut, ‘Cushing’s Syndrome’, muka membengkak, kegatalan dan kesan alergi, peningkatan kadar kolesterol dalam darah, sakit kepala, sakit perut, najis berdarah, muntah, sakit dada, tulang rapuh, sesak nafas, jangkitan kuman dan gangguan perjalanan darah pesakit.
Laporan kesan advers terkini yang diterima daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun iaitu pesakit meninggal dunia akibat daripada komplikasi penyakit kencing manis yang tidak terkawal apabila beliau mengambil produk Majun Dua Istimewa selam 2 bulan sebagai ubat tahan sakit.
Hasil ujian yang telah dilakukan oleh BPFK mendapati produk ini mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Label pada produk tersebut menyatakan bahawa ia berkhasiat untuk sakit sendi tulang, sakit lutut, sakit urat, penat, sakit bahu, lumpuh kaki, tangan bengkak, sakit pinggang, lenguh seluruh badan, lemah tenaga dan angina sembelik.
Bahagian Penguatkuasa Farmasi, KKM juga telah mengambil tindakan susulan dengan melakukan serbuan dan rampasan terhadap produk tidak berdaftar ini. Sehingga Jun 2013, sebanyak 401 botol produk ini telah dirampas dengan anggaran nilai sebanyak RM146,779. Walaupun tindakan telah diambil produk tidak berdaftar ini masih berada di pasaran kerana terdapatnya permintaan daripada orang ramai.

PERIHAL BAHAN RACUN

Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid dengan fungsi antiradang dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.
Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaucoma. Pesakit juga boleh mengalami Cushing’s Syndrome yang dicirikan dengan muka membulat (round face) dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk-produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk Majun Dua Istimewa adalah dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat dan rawatan dari profesional kesihatan. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Pesakit yang mengidap penyakit kencing manis adalah dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk ini kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya mengakibatkan komplikasi yang serius.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar ini dinasihatkan supaya dapat menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my bagi menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk ini di pasaran.
Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi BPFK di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my.  

DATO’ EISAH BINTI ABDUL RAHMAN
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

AddToAny