Sabtu, 18 Januari 2014

Bantuan Persekolahan 2014

Bantuan Persekolahan 2014
Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) sudah mula mengagihkan Bantuan Persekolahan RM100 kepada kira-kira 728 buah sekolah di negeri ini, bermula 15 Januari lepas.

Pengarah JPNP Rosdi Ismail berkata, bantuan tersebut akan diberikan kepada ibu bapa pelajar secara berperingkat dan dijangka selesai 15 Februari depan.

“Sekarang kita sudah mula mengagihkan kepada semua sekolah di seluruh Pahang dan terpulang kepada pihak sekolah untuk mula mengagihkannya.

“Wang bantuan itu telah kita masukkan ke dalam akaun sekolah dan pihak sekolah yang akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa berdasarkan tarikh yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dengan Bantuan Persekolahan RM100 ini diharap dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam bidang pendidikan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Ibu bapa juga dinasihatkan perlu bersikap prihatin dan memainkan peranan penting dalam mengawal perbelanjaan anak-anak bagi mengelakkan pembaziran terutama melalui pemberian wang sumbangan diberikan ini.

“Dengan kawalan diberikan sekali gus dapat membantu mereka mengelak anak-anak daripada membeli barangan tidak berfaedah.

“Anak-anak seharusnya tidak boleh dibiarkan berbelanja dengan sewenang-wenangnya, malah perlu tahu menilai wang tersebut untuk kepentingan pendidikan mereka.

Sementara itu, bantuan kali kedua di bawah Belanjawan 2013 yang diumumkan perdana menteri itu memperuntukkan dana RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun melibatkan 4.98 juta pelajar di seluruh negara. – Sinar Harian

Tiada ulasan: