Ahad, 26 Jun 2016

LEBUHRAYA GUA MUSANG - SIMPANG PELANGAI TANPA TOL BERNILAI RM6.6 BILION

Projek ini bakal memberi manfaat kepada orang #LIPIS secara langsung atau tidak langsung.

Lebuhraya Central Spine Road (CSR) adalah lebuhraya tanpa tol yang melibatkan empat jajaran yang jumlah keseluruhannya sepanjang 390 kilometer (km)

Projek ini bermula dari Bentong ke Gua Musang, Kelantan.

Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR).

Laluan ini juga merupakan CSR (tangggungjawab sosial korporat) kerajaaan kepada orang Pahang dan Kelantan.

Pembinaan projek CSR yang dimulakan mengikut fasa sejak tahun 2008 itu dianggarkan bernilai RM6.6 bilion apabila siap keseluruhannya.

Projek CSR yang disifatkan sebagai satu daripada projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu dibahagikan kepada enam pakej utama dan kerajaan menyasarkan ia siap sepenuhnya pada RMK-11.

Enam pakej itu ialah Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 51 km; Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (63 km); Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (107 km); Kampung Relong ke Raub, Pahang (56 km); Raub ke Bentong, Pahang (60 km) dan Bentong ke Simpang Pelangai (53 km).

Kredit : fb Pahang Darul Makmur, Central Spine Road dan FlyWithMe.






Ahad, 19 Jun 2016

AMATAN PASCA PRK


TIGA PENJURU MENGUNTUNGKAN BN.

1. CUBAAN PERTAMA TIGA PENJURU
Kedua-dua PRK kali ini adalah cubaan kali pertama di semenanjung untuk pola politik baru negara. Pertandingan tiga penjuru yang benar-benar tiga penjuru. Walaupun semasa PRU13 lalu ia telah berlaku di beberapa kerusi, namun blok politik masih dalam konsep dwiparti.

Dari keputusan PRK, nampaknya bentuk sebegini amat positif terutama bagi parti yang teguh berjuang atas dasar dan prinsip masing-masing. Mereka tidak perlu berkira-kira untuk melonggarkan prinsip atau menipu pengundi semata-mata meraikan pakatan. Jangan bimbang soal membentuk kerajaan kerana pakatan tidak semestinya berlaku sebelum pilihanraya sahaja!
2. KEPUTUSAN DUA PRK SEKATA
Bacaan trend pengundian dilihat sama antara kedua PRK ini. Walaupun pecahan kaum agak berbeza, tetapi dari sudut yang lain ia memberikan banyak persamaan seperti bilangan keluar mengundi dan undi mengikut kaum.
Ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran umum bagaimana trend politik semasa rakyat Malaysia. Jika diadu dengan keputusan PRN Sarawak yang baru sahaja selesai, mudah untuk mana-mana parti melakukan muhasabah dan mencatur gerak untuk menghadapi PRU14.
3. TIADA FAKTOR CALON
Faktor calon tidak begitu memberi kesan. Pemilih lebih melihat kepada perjuangan parti. Perkara ini berada dalam status quo. Ini biasa berlaku di kawasan parlimen dan juga kerusi campuran.
Keadaan ini memudahkan semua parti menjelang PRU14. Yang berpakat boleh terus berbincang soal pembahagian kerusi tanpa menilai wibawa setiap calon. Tetapi barang diingat, ini hanya terpakai pada kawasan kerusi campuran.
4. BN MENANG TAPI MENURUN
Sekali pandang, BN menang besar kali ini dengan majoriti yang tersangat tinggi. Tetapi jika dihitung campuran undi dua pembangkang ditambah sedikit faktor pecah undi, sokongan terhadap BN boleh dikatakan statik sahaja. Undi BN nyata menurun kira-kira 2000 undi, berbanding PRU13 walhal PRK biasanya adalah lauk BN.
Perpecahan pembangkang tidak memberi nilai tambah yang ketara buat BN. Sokongan terhadap kepimpinan Najib masih tidak pulih. BN masih tidak boleh selesa terutama jika pembangkang menjumpai solusi untuk mengubat persepsi terhadap mereka.
5. PAS RAMPAS UNDI BN
Sebahagian undi BN adalah dari masyarakat cina yang mula beralih dari Dap. Dengan jumlah undi keseluruhan BN yang menurun, ini bermakna sokongan melayu terhadap BN telah pergi kepada PAS dan diganti oleh cina.
Ini boleh dilihat melalui setiap peti undi. Di kawasan Cina, 50% dimiliki PH dan 50% lagi dimiliki BN. Kawasan melayu pula, 50% diperoleh BN dan 50% dimiliki PAS. Melayu sangat tidak berminat kepada PH.
BN patut memikirkan lebih jauh terutama di kawasan majoriti melayu intelek yang tidak boleh digula-gulakan. Potensi PAS untuk menguasainya adalah sangat tinggi sekiranya PRU dilambatkan seperti sedia kala.
6. PH PARTI CINA
Angan-angan PH untuk kuasai negara boleh dilupakan. Ini kerana mereka hanya mendapar sokongan kaum minoriti sahaja di Malaysia. Itupun sudah menurun drastik. Sedangkan undi teras di Malaysia adalah dari kaum melayu.
Faktor BN boleh memerintah sehingga hari ini adalah kerana menguasai undi melayu walaupun pernah hilang hampir 100% undi bukan melayu. Malangnya hakikat ini masih sukar difahami politikus PH.
7. PAN TUNGGUL KAYU
Nyata kemunculan Pan tidak berjaya menggantikan peranan PAS dalam PR suatu ketika dulu. Undi melayu masih diantara BN dan PAS sahaja. Dap boleh lupakan Pan mulai sekarang kerana mereka tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada PH.
Terserah jika Pan masih mahu berusaha. Tetapi adat politik Malaysia, parti serpihan sebegini hanya beri kesan untuk tempoh yang sebentar sahaja, itupun sebagai tunggangan parti besar buat sementara waktu sahaja.
8. PH TERJEJAS TERUK
PH yang bergantung penuh kepada sokongan cina tidak lagi boleh duduk diam. Jika dahulu mereka memiliki sokongan hampir 90% masyarakat Tiong Hua, kali ini menurun hingga ke 50% sahaja. Perkara sama berlaku di Sarawak dalam PRN baru-baru ini. Dijangka akan terus menyusut ekoran beberapa isu urustadbir Dap di Penang dan lain-lain.
Nampaknya taktik menguasai pengundi melalui sentimen Islamophobia tidak begitu berkesan. Tiong Hua yang celik lebih mengambil cakna soal kecekapan urustadbir dan maslahah ekonomi mereka. Mereka lebih percaya kepada persatuan-persatuan peniaga, kebajikan dan pendidikan mereka lebih dari tipudaya politikus.
9. PH PENGACAU POLITIK
Sepatutnya kewujudan PH dalam politik Malaysia yang selama ini hanya mengenali PAS dan Umno mampu untuk memberi impak signifikan untuk menumbangkan BN. Malangnya mereka tidak berjaya menyentuh sedikitpun undi Umno. Lebih malang apabila kewujudan mereka hanya untuk berebut undi dengan PAS sahaja.
Mereka langsung tidak mahu tunduk menyokong sahaja PAS yang sudah lama bertapak. Malah sikap PAS yang merendah diri menerima mereka sebagai rakan akhirnya dipijak kepala. Nyatalah apa warna PH selama ini. Samada gila berkuasa, talibarut BN atau semenangnya bodoh berpolitik.
10. PH DITAKUK LAMA
Mereka tidak boleh pergi lebih daripada trend 2008. Seolah telah mati akal untuk mencari formula baru bagi menambah sokongan. Kononnya menganggap dengan mengekalkan status quo boleh meningkatkan sokongan sebaliknya merudum pula.
Dengan dakwaan mewakili kelompok profesional, PH sepatutnya mencipta idea-idea baru untuk mewarnai trend politik Malaysia, bukan hanya muncul bercakap soal salah laku kerajaan sepanjang masa. Profesional mereka hanya jadi pembaca berita sahaja bukan sebagai jurutera masadepan negara. Sedangkan PAS pula walaupun dituduh jumud dan parti Pak Lebai, sudah bercakap perkara tersebut berpuluh tahun lalu sejak mereka masih ditipu BN lagi. Kini PAS sudah mula meninggalkan fasa itu untuk bergerak setapak lagi sebagai penyelesai masalah pula.
11. HUDUD BAHAN POLITIK
Sepanjang kempen PRK, PH jelas mempergunakan agama untuk politik walaupun PAS telah nyatakan RUU 355 bukan hudud. Ia hanya soal naiktaraf bidangkuasa mahkamah syariah. Pindaan sebegini sudah berlaku zaman 90an dahulu dan bukan perkara pelik dari sudut perundangan.
Mereka bercakap di hadapan audiens bukan Islam isu ini walhal tiada kaitan sedikitpun dengan mereka. Nyata ia menjadi alat untuk memburukkan Islam secara halus. Dasar politik machiavelli, sanggup mengenepikan agama demi politik.
Namun PAS tidak peduli dan tetap bawa usul RUU sehingga dibaca. Ini menunjukkan PAS tidak sedikitpun bimbang soal sokongan kerana yang lebih mustahak adalah soal martabat agama, bukan semata-mata politik.
12. ISU NASIONAL TAK MAIN PERANAN
Kesilapan PH adalah banyak berceramah isu-isu nasional tanpa menyentuh isu setempat. Mereka juga tidak ada tokoh tempatan yang lebih dekat dengan rakyat. Semuanya mengharap tokoh luar. Walaupun isu yang dibawa sangat besar dan merugikan kerajaan, tetapi ia tidak mempengaruhi rakyat.
Rakyat perlukan pemimpin yang kenal mereka dan mereka kenal pemimpin. Rakyat tidak sempat berfikir soal jet atau 1MDB. Mereka lebih terkesan dengan isu setempat, isu harga barang, masalah JKKK, perparitan, prasarana kampung dan sebagainya.
13. MAHATHIR TUTUP BUKU
Nampaknya tidak ada apa yang boleh dibanggakan lagi kepada Mahathir. Menyatakan sokongan kepada PH pun tidak boleh berbuat apa. Sedarlah orang BN tidak wala' kepada individu walau sehebat manapun jasa dan namanya.
Bagi yang terhegeh gilakan sokongan dari Mahathir, ingatlah kembali tegasan Presiden PAS, usaha kalian itu hanya sia-sia sahaja. Kalau alergik dengan kebenaran dari PAS sekalipun, sekurang-kurangnya renunglah kembali warkah dari penjara.
14. ANALISA AWAL PAKAR POLITIK TERSASAR
Sebelum PRK, ramai menjangka PAS akan jadi parti tercorot dan hilang pengaruh. Perkara ini disebut ramai pensyarah, pengulas, peramal dan pakar politik.
Hakikatnya apa yang disebut sekadar bersifat omongan kosong. Ataupun mereka memainkan peranan sebagai spekulator atau pencipta persepsi. Mereka tidak jujur dengan profesionaliti yang ada apabila bercakap tanpa statistik dan fakta.
Terdahulu mereka pernah buat ramalan untuk pemilihan PAS dan PAS pasca muktamar. Nyata semua itu tersasar. Rekod-rekod ini menunjukkan ulasan mereka ini tidak boleh lagi diterima untuk akan datang. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan ulasan politikus BN lebih tepat dari mereka.
15. WAJAH BARU PAS DITERIMA
Undi PAS dalam PRK ini hapir sama dengan kedudukan seperti tahun 2004, sewaktu tanpa koalisi Dap. Ini menunjukkan undi teras PAS tidak tergugat. Satu petanda baik bagi PAS yang sedang mencuba pendekatan baru seperti BPMS dan blok ke-3. Penyokong PAS menerima baik perkara ini. Tuduhan bahawa PAS kini mengelirukan awam dan tersasar dari perjuangan adalah jauh dari realiti.
Kerja bertambah mudah apabila hanya perlu memahamkan atas pagar sahaja. BPMS dan Blok ke-3 masih di peringkat permulaan. Keputusan PRK ini amat positif untuk PAS meneruskan strategi ini hingga ke kemuncaknya.
16. KEKUATAN SEBENAR PAS
Walaupun PAS bersendirian, jika dibanding dengan gabungan tiga parti dalam PH, undi yang diperoleh sekata. Ini bermakna PAS menyumbang hampir 50% kekuatan PR selama ini. Nyata tanpa PAS PH tiada apa-apa. PH perlu terima hakikat yang pahit ini.
Sedikit masa lagi PAS akan jadi parti termahal nilainya di Malaysia. Masing-masing akan berusaha merebut PAS sebagai rakan koalisi. Waktu inilah PAS boleh jual mahal, dengan mensyaratkan koalisi mestilah membenarkan PAS dengan cita-cita Islamnya.
*ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN*

_(Alang Ibn Shukrimun)_