responsif teks foto

Jumaat, 16 Disember 2016

Lebuh Raya Kuala Krai - Simpang Pelangai

Jajaran Lebuhraya CSR, Seksyen 3H (Skop Tambahan) dari Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai Bernilai RM59.5 juta dibuka secara rasmi

Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Bentong, Pahang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) iaitu pada tahun 2020.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek yang dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan kos keseluruhan RM6.6 bilion.
"Hampir 40 peratus pembinaan kini telah siap manakala 60 peratus lagi dalam peringkat pelaksanaan," katanya selepas merasmikan pembukaan jajaran CSR, Seksyen 3H (Skop Tambahan) dari Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR) Datuk Dr Roslan Md Taha.
Antara keutamaan pelaksanaan termasuklah sepanjang jajaran dari Mentara ke Ke Kampung Seberang Jelai, Lipis sepanjang 61.15 km dan Bentong Bypass, Pahang sepanjang 28.5 km dengan kos yang diluluskan RM2 billion.

Projek CSR yang merupakan laluan alternatif melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 350 km bermula dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai dengan pembinaan dibahagikan kepada enam pakej utama.

Pakej 1: melibatkan pembinaan jalan dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47 km); Pakej 2: Jabatan Sungai Lakit ke Gua Musang (59 km); Pakej 3: Gua Musang ke Kampung Relong, Kuala Lipis (92.5 km); Pakej 4: Kampung Relong, Kuala Lipis ke Raub (50 km): Pakej 5: Raub ke Bentong (54 km) dan Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai (47.5 km).

Projek berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada keutamaan kerajaan untuk menyediakan infrastruktur bermutu tinggi terutama di Pantai Timur dan sekaligus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di sepanjang Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Jajaran CSR, Seksyen 3H (Skop Tambahan) yang dibina dari Kampung Kechur ke Kampung Seberang Jelai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 3.85 km dengan kos RM59.5 juta.
Seksyen tersebut antara lain melibatkan pembinaan jalan empat lorong dua hala sepanjang 3.85 km iaitu 3.05 km menggunakan teknologi "Continuously Reinforced Concrete Pavement" (CRCP) dan sebuah jambatan.

Penggunaan teknologi CRCP di Seksyen 3H itu merupakan yang kedua di negara ini selepas projek pertama Lebuhraya Utara Selatan (Bahagian Perak) pada 1990.

-BERNAMA-

Tiada ulasan:

AddToAny