Ahad, 3 Disember 2017

Cabaran menjadi pelajar miskin di Malaysia

Melihat kepada kehangatan politik negara, saya pasti pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah semakin hampir. Setiap kali menjelang PRU, pasti semboyan membantu golongan miskin akan dibunyikan oleh politikus.
keluhan Pelajar

Secara asasnya, aksi-aksi membantu orang miskin akan menjadi kegemaran politikus - menghantar bantuan ke rumah usang, memeluk seorang nenek atau duduk di tangga rumah yang sering tewas di tangan cuaca.

Aksi-aksi seperti ini pasti akan menimbulkan rasa simpati bagi mereka yang melihatnya, dan menambah populariti politikus yang memilih aksi-aksi populis seperti ini.
Kita tidak menolak mentah-mentah aksi meraih simpati ini, tapi sebagai politikus mereka boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan untuk membantu golongan miskin, terutamanya dengan membentuk dasar negara.

Saya gemar 'mencuri' beberapa idea daripada Dr Muhammed Abdul Khalid - yang menulis buku Antara Dua Darjat - tentang isu kemiskinan dan ketidaksamaan di Malaysia.

Kita harus mengakui pendidikan merupakan instrumen terbaik untuk mengeluarkan sesebuah keluarga daripada kemiskinan.

Namun, jika memandang sistem pendidikan secara adil, kita akan dapati ia pada hari ini kurang mesra terhadap orang miskin. Biar saya datangkan beberapa persoalan.

Tak adil, menindas

Pertama, soal meritokrasi yang ada pada sistem pendidikan kita. Cuba kita tanya diri sendiri: Apa yang diharapkan oleh sistem pendidikan daripada pelajar hari ini?

Saya berpandangan, kita semua bersetuju sistem pendidikan negara ini inginkan murid mendapat seberapa mungkin gred A. Kita mahu semua pelajar begitu tanpa melihat latar belakang mereka.

Muhammed dalam sebuah wawancara bersama Astro Awani menceritakan pengalaman beliau melihat ada pelajar di sebuah negeri “tidak makan malam dan bersarapan” kerana kekangan kewangan keluarga.

Kemudian kita mahu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik ini berlumba dengan pelajar-pelajar yang memiliki kehidupan yang lebih baik, sekolah di sekolah yang punya prestasi tinggi, dan kemungkinan besar menghadiri kelas tambahan berbayar di luar sekolah?

Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan menindas golongan terbabit. Bagaimana mungkin mereka mahu keluar daripada kemiskinan melalui pendidikan jika sistem yang ada tidak bersifat “equal-footing” semasa memulakan perlumbaan?

Melalui forum di RTM pula, Muhammed turut mengkritik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerima golongan pelajar berada. Sepatutnya MRSM fokus dalam membantu golongan pelajar yang miskin dengan memberikan suasana pembelajaran yang kondusif.

Bagi saya, kritikan ini perlu dipandang serius oleh pemerintah.

Boleh tutup mata

Golongan miskin juga memiliki cabaran yang besar untuk menikmati sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Cabaran tidak bermaksud pelajar-pelajar miskin tidak berpeluang masuk ke universiti.

Pada hari ini kita memiliki ramai mahasiswa yang datang daripada keluarga miskin.

Saya percaya hampir semua mahasiswa yang memijak institusi pengajian tinggi adalah untuk mengubah nasib keluarga. Isu mahasiswa yang datang daripada keluarga miskin perlu dipandang dengan lebih serius dan dibincangkan kerana mereka memiliki tiga cabaran yang besar - sebelum, semasa dan selepas memasuki universiti.

Sebelum memasuki universiti kelompok mahasiswa yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah perlu mencari wang untuk persediaan.

Pada masa inilah selalunya keluarga yang “miskin” akan mula meminjam wang daripada saudara-mara atau menggadai segala aset yang ada.

Saya pasti akan ada hujah, negara kita memiliki banyak biasiswa yang akan membantu golongan miskin. Namun seperti yang saya katakan pada awal tulisan ini, kebanyakan tawaran seperti ini mewajibkan pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagaiamana dengan pelajar yang memiliki keputusan sederhana atau rendah? Adakah kita boleh menutup mata sahaja terhadap mereka?

Dermasiswa atau zakat pula bersifat “cabutan bertuah” dengan jumlah pelajar yang akan dibantu adalah mengikut peruntukan semasa.

Seksa tahan lapar

Ketika berada di alam universiti pula, pelajar ini perlu membayar yuran secara sama rata. Ini bermakna tidak kiralah purata pendapatan keluarga mahasiswa tersebut RM10,000 atau RM1,000 sistem pendidikan tinggi kita mewajibkan mereka membayar yuran yang sama.

Mereka terpaksa bergantung dengan pinjaman (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional - PTPTN) atau pinjaman lain untuk meneruskan kelangsungan di kampus.

Bagi seseorang yang pernah bergelar mahasiswa pasti mereka akan menyedari kesukaran untuk hidup di kampus, lebih-lebih bagi mahasiswa miskin.

Sebab itulah kita pernah dikejutkan dengan berita “mahasiswa koyak usus” akibat menahan lapar pada tahun lepas.

Selepas menamatkan pengajian kebanyakan mahasiswa yang datang daripada keluarga yang miskin ini akan mempunyai “hutang” di leher.

Dahulu pernah tular berita mengatakan graduan tidak wajib membayar hutang sehingga mereka bergaji RM3,000 tetapi sehingga kini saya tidak mengetahui kebenaran berita ini.

Apabila mahasiswa miskin ini keluar dari universiti, objektif utama mereka adalah untuk “membina” kehidupan dengan mengumpul wang.

Jika kita tambat leher mereka dengan hutang-hutang ini sebelum mencapai kadar gaji yang sepatutnya, bagaimana mungkin mereka dapat keluar daripada kemiskinan?

Lebih-lebih dengan isu kesukaran mendapatkan pekerjaan yang seperti hari ini.

Cadangan kepada pemerintah

Kerajaan pernah mengambil langkah afirmatif dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akibat rusuhan kaum 1969, dan pada tahun 1990-an kita melihat DEB berjaya mengurangkan kemiskinan, melibatkan lebih banyak Melayu-bumiputera dalam sektor koperat dan mencipta peluang pekerjaan.

Itu adalah cabaran lewat 1960-an. Pada hari ini kita memiliki cabaran yang berbeza, dan pemerintah harus masuk campur sebelum “bom jangka” ini meletup.

Pada sistem pendidikan, saya fikir wajar pemerintah mengkaji semula dasar meritokrasi kita kepada golongan miskin (bottom 40 peratus) dengan memberikan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin untuk menikmati bantuan baru atau sedia ada, seperti bantuan kewagan, makanan tambahan atau sekolah berasrama penuh seperti MRSM.

Selain mengambil keputusan peperiksaan sebagai penanda aras, latar belakang sesebuah keluarga pelajar juga harus ditimbang.


Kemudian, untuk sistem pendidikan tinggi pula; wajar jika yuran universiti (bermula dengan universiti awam) lebih longgar mengikut latar belakang pendapatan keluarga.

Ini bermakna jika seseorang mahasiswa itu miskin, dia harus membayar kurang berbanding mereka yang datang daripada keluarga yang berkemampuan.

Menjelang PRU ke-14 ini, saya berharap politikus lebih banyak memikirkan polisi dan dasar yang akan membantu keseluruhan golongan miskin yang ada di negara ini berbanding memilih beberapa buah rumah usang untuk dijadikan modal untuk berswafoto semata-mata.


RAHMAN IMUDA seorang aktivis mahasiswa.

Tiada ulasan: