Khamis, 1 Mac 2018

Sebab politik jangan kita berpecah belah

KUALA LIPIS. 28 Febuari 2018 bersamaan 12 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa dukacita melihat perpecahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

Malah lebih mendukacitakan dan menambah rasa terkilan baginda, apabila ada yang mempergunakan agama Islam bagi kepentingan individu.


“Ikhlas dari hati saya rasa sedih dengan segala yang berlaku…ini kerana beberapa insiden yang berlaku sebelum ini memperlihatkan sikap rakyat yang sewenangnya menidakkan peranan institusi raja, mempersendakan pemimpin serta bergaduh sesama sendiri sehingga menimbulkan ketegangan.

“Saya ingin mengingatkan rakyat di negeri ini agar sentiasa bersatu dan menjaga ukhwah sesama kita. Kekalkan kesetiaan tidak berbelah bahagi yang telah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang kita yang membuktikan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat,” titah baginda pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Bukit Kota dan Kampung Bukit Betong,  di sini hari ini.

Dalam sebak, baginda turut berjanji akan sentiasa membela rakyat sebagai mengenangkan jasa rakyat yang sentiasa mendokong terhadap institusi diraja di negeri ini.

“Saya juga akan terus membela agama Islam di negeri ini agar ia terus dimuliakan dan menjadi pegangan kita semua. Fahami makna persaudaraan antara kita..saya tidak mahu ada lagi persengketaan.

“Satu lagi isu dalam politik..mengundi adalah hak masing-masing tapi jangan disebabkan berbeza fahaman politik, silaturahim kita terlerai begitu sahaja dan menjadikan permusuhan sebagai satu pilihan,” titah baginda.
di Merapoh


Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob, Yang DiPertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Abdul Wahid Wan Hassan, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri dan Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Bin Tan Sri Abd. Razak.


Turut memuliakan keberangkatan Pemangku Raja Pahang dan Tengku Puan Pahang, YB Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Haji Abdul Rahman  dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah Lipis.