Halaman

Ahad, 30 Ogos 2009

Sejarah Raub Pahang






oleh Jari Basurek

Am

Raub adalah salah sebuah dari 11 buah daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri daripada tujuh buah mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras. Raub mempunyai lebih kurang 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampong baru Cina . Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi). Raub terletak antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5ยบ dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke pekan kecil ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur Karak.

Sejarah Raub Pahang

Terdapat beberapa versi mengenai asal usul nama Raub. Perkataan Raub dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘genggam’. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang.

Menurutnya; "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold".

Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine. Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.

Terdapat satu lagi versi cerita yang menjelaskan asal usul nama Raub ini. Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Kelihatan pasir di kiri dan kanan tebatan itu amat bersih. Kedua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.

Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan.Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya; hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercaya mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB". Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "Raup" sedangkan "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan RAUB dari ‘Raup’.

Terdapat juga pendapat yang terpencil yang menyatakan asal usul nama Raub adalah berasal dari perkataan Rao kerana suku kaum Rao telah mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit sehingga digelar sebagai ‘lubuk orang Rao’. Oleh kerana peredaran masa, sebutan perkataan Rao itu telah bertukar menjadi Raub.

Hikayat Raub

Pada sekitar tahun 1882, Tengku Laksamana Alang Shah dan dua anak lelakinya iaitu Awang dan Kassim telah mengadakan satu perbincangan panjang. Mereka membincangkan rancangan pengembaraan dari tanah asal mereka iaitu Kampung Natar, Pagar Ruyung di Sumatera, ke Tanah Melayu. Pada akhir perbincangan itu, mereka bersetuju bahawa ketiga-tiga mereka perlu bersama-sama mengembara.

“Sudahkah kamu bersiap-siap dengan barang keperluan? Dua hari lagi kita akan bertolak,” kata Tengku Laksamana Alang Shah kepada kedua anaknya. “Kami sudah bersedia. Sudah tidak sabar lagi kami untuk memulakan pengembaraan ini,” kata mereka berdua.

“Kata orang tua-tua, jauh berjalan luas pandangan,’ sahut Tengku Laksamana. “Tapi ingat, selain daripada melihat negeri orang, cuba-cubalah kita cari rezeki di sana. Satu perkara lagi, jaga-jagalah tingkahlaku kita apabila berada di rantau orang nanti. Budi bahasa kita hendaklah baik agar tidak dibenci orang.”

Awang dan Kassim mengangguk.

Apabila tiba hari yang ditetapkan mereka pun berangkat memulakan pengembaraan. Mereka menaiki parahu layar dengan berbekalkan makana serta sedikit barang dagangan. Setelah beberapa hari belayar, mereka sampai ke Kuala Selangor. Mereka berehat di situ untuk beberapa hari sebelum meneruskan pengembaraan mereka dengan berjalan kaki dan berakit.

Dari kampung ke kampung mereka mengembara sambil berjual beberapa jenis barang yang di bawa dari Sumatera. Kadang-kadang mereka terpaksa melalui jalan yang terpencil dan dilitupi belukar untuk sampai ke satu-satu kampung. Namun demikian mereka tetap gembira kerana dapat melihat negeri orang.

Oleh sebab mereka peramah dan bersopan santun, penduduk kampung yang dilawati dengan senang hati menerima mereka bermalam di situ. Sebelum tidur, mereka sering bercerita tentang keadaan di Pagar Ruyung, sesuatu yang sentiasa menarik minat tuan rumah.

Setelah beberapa lam mengembara sampailah mereka ke Kuala Kubu. Dari situ mereka meneruskan perjalanan dengan menyusur sungai dan alur menuju ke negeri Pahang. Dalam perjalanan itu mereka telah menemui suatu kawasan lapang di dalam hutan belantara. Di tengah-tengahnya ada tebat, iaitu bendungan air yang hamper menyerupai kolam.

Biasanya tebat terjadi apabila anak sungai ditambak oleh orang. Akan tetapi, tebat di kawasan lapang itu tebat semulajadi. Tiada sesiapa yang mengusahakannya. Oleh sebab itu Tengku Laksamana amat tertarik padanya. Tambah lagi airnya jernih dan ikan banyak di dalamnya.

“Kita berehat di sini dahulu,” kata Tengku Laksamana kepada anak-anaknya. “Nampaknya tempat ini sungguh damai dan elok. Tanah di sini juga amat subur. Ayah berasa lebih baik kita berehat lebih lama di sini sebelum meneruskan perjalanan kita.”

Mereka tidak membantah.

“Kamu berdua pergilah cari kayu, kita bermalam di sini. Aku nak ke tebat itu untuk menangkap ikan. Boleh kita buat lauk untuk malam ini,” sambung Tengku Laksamana.

Awang dan Kassim beredar dari situ. Tidak lama kemudian mereka kembali dengan beberapa batang kayu yang sesuai untuk dijadikan rangka bangsal ringkas, cukup untuk mereka berlindung daripada embun. Tengku Laksamana pula pulang membawa beberapa ekor ikan yang besar-besar. Malam itu mereka tidur dengan nyenyaknya.

Keesokannya, pagi-pagi lagi Tengku Laksaman Alang Shah pergi ke tebat. Dia sungguh kagum melihat tebat itu. Nampak lebih cantik pagi ini berbanding dengan petang kelmarin, fikirnya.

“Mengapa ayah bermenung pagi-pagi hari lagi?”

“Tengku Laksamana tersentak dari lamunannya. Dia tidak menyangka bahawa anak-anaknya telah memerhatikan gerak gerinya.

“Tidak mengapa. Cuma ayah berasa begitu terpesona dengan kecantikan tempat ini. Hijau, sejuk dan damai. Baik untuk orang tua seperti aku. Aku rasa aku ingin menetap di sini sahaja dan tidak mahu meneruskan perjalanan lagi.” Tengku Laksamana mengaturkan kata-katanya dengan penuh perasaan. Kemudia dia bertanya ; “Bagaimana pendapat kamu berdua?”

“Kami berdua akan mengikut apa sahaja keputusan ayah. Lagipun, sampai bilakah kita akan mengembara begini?” Awang tahu tidak wajar dia membuat pilihan lain.

Maka berkampunglah mereka tiga beranak di situ. Mereka menanam pelbagai jenis sayuran di sekitar tebat tersebut. Pada masa yang sama, mereka mencari rotan, dammar dan getah jelutung di hutan untuk dijual. Selain itu, mereka juga berburu.

Pada suatu hari, Tengku Laksaman Alang Shah teringin hendak memakan gulai pucuk paku. Dia menyuruh anak-anaknya pergi mencari sayur tersebut. Awang dan kassim mematuhi arahan ayah mereka. Mencari pucuk paku bukanlah sesuatu yang sukar kerana di tempat itu banyak pokok paku. Akan tetapi, oleh sebab mereka hendak cepat, mereka tidak hanya memetik pucuk itubtetapi mencabut keseluruhan pokoknya. Pokok paku pula mudah tercabut kerana tanah di situ berpasir.

Walau bagaimanapun, dua beradik itu mendapati pasir di situ agak luar biasa. Mereka berasa hairan melihat keadaan pasir yang jatuh berderai-derai ke tanah dari akar pokok paku yang dicabut. Pasir itu berkilat-kilat. Mereka tidak pernah melihat pasir seperti itu.

Awang mengambil segenggam pasir itu untuk ditunjukkan kepada ayahnya.

“Ini bukan sebarang pasir,” Kata Tengku Laksamana dengan seuara yang meninggi. “Pasir yang berkilat ini sebenarnya emas!”

“Emas?!” teriak Awang dan Kassim serentak.

“Ya, debu emas. Bukannya pasir,” tegas ayah mereka.

Sejak peristiwa itu Tengku Laksaman dan anak-anaknya bertungkus lumus meraup pasir dan tanah berlumpur di sepanjang tebing tebat itu untuk mendapatkan emas. Setiap kali mereka meraup, pasti ada debu emas yang dikutip. Mereka amat gembira.

3 ulasan:

  1. Terima kasih kerana menyiarkan semula artikel ini. Untuk butiran lanjut bolehlah dapatkan buku Sekondakhati

    BalasPadam
  2. Terima kaseh berkongsi info. sekiranya hendak berjumpa keluarga Rao di Raub. Ada mini muzium atau penghulu yang menyimpan salasilah?

    BalasPadam
  3. terima kasih kerana telah memberi kefahaman kepada jutaan rakyat pahang...

    BalasPadam

Ulasan