Halaman

Sabtu, 8 Mei 2010

Ramai tak faham sambutan Hari Hol


Sultan Abu Bakar 1933 - 1974

Ramai penduduk negeri Pahang, terutama generasi muda tidak memahami sambutan Hari Hol pada tanggal 7 Mei setiap tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, rata-rata penduduk terutama generasi muda yang ditemui mengakui mereka tidak mengetahui sambutan Hari Hol dan hanya tahu, semua pejabat kerajaan dan sekolah akan ditutup kerana cuti umum.

Hari Hol telah diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang Keempat, Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah yang merupakan pemerintah hari ini.

Sejarah Ringkas

Tengku Abu Bakar, putera sulung Sultan Abdullah menjadi Sultan Pahang pada 28 Mei 1933. Pada masa itu keadaan ekonomi di Pahang tidak memperlihatkan sebarang perubahan selepas banjir besar yang terus berlaku di Pahang ianya telah memusnahkan kawasan tanaman padi yang belum dituai dan tanah pertanian yang belum diusahakan. Semua kegiatan ekonomi yang baru tidak dapat dijalankan, justru itu negeri Pahang terus mengalami masalah kewangan dan sekaligus melambatkan pertumbuhan ekonominya. Tanaman getah juga tidak banyak diusahakan masa itu. Para petani lebih berminat menanam padi dan tanaman makanan lain, justeru itu keadaan hidup penduduk tidak banyak berubah.

Corak pemerintahan Sultan Abu Bakar lebih sederhana jika dibandingkan dengan pemerintahan Sultan Ahmad Bendahara Tun Ali 1882 -1914 . Pemerintahnya lebih memberi penekanan kepada perkembangan ekonomi dan sosial. Pembukaan kawasan pertanian baru, lombong-lombong bijih timah, disamping pembinaan jalanraya, system perhubungan dan sekolah diutamakan.

Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu.
Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian- tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya.

Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan Baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat Diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah.

Rujuk :
Tradisi Persejarahan Pahang 1800 -1930
Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan