Halaman

Selasa, 30 November 2010

Perlu Pendokumentasian Salasilah


Salasilah saya yang telah di dokumentasi oleh
terembe Tok Linggi  Kg. Relong.


Masyarakat Malaysia khususnya orang melayu kurang memiliki minat yang tinggi untuk menjejaki jurai keturunan atau salasilah keluarga mereka sendiri. Barang kali mereka beranggapan tiada sebarang faedah atau manfaat sekiranya mereka menyelidiki secara lebih mendalam tentang keluarga mereka. Kecenderungan menyimpan atau menulis rekod-rekod salasilah boleh dikatakan hanya terdapat dalam kalangan pemerintah khasnya golongan kerabat diraja atau pembesar-pembesar negeri. Tujuan penulisannya barang kali tidak lebih untuk menyatakan keabsahan pemerintahan mereka di sesebuah negeri atau jajahan taklukan mereka.

Pengetahuan tentang salasilah dianggap sebagai salah satu cabang ilmu yang penting khasnya dalam bidang sejarah dan ia dikatalogkan sebagai bidang sains sosial. Berdasarkan pengertian yang sempit, ilmu salasilah ini merupakan kajian berkenaan individu dan hubungannya dalam sesebuah keluarga. Walau bagaimanapun, sekiranya kita memahami pengertiannya yang luas, ilmu salasilah ini merangkumi kajian yang mendalam tentang sejarah, biografi, geografi, sosiologi, undang-undang, perubatan, linguistik dan sebagainya. Kita sewajarnya berpegang kepada takrifan yang luas kerana kita bukan hanya sekadar ingin mengetahui nama dan tarikh penting yang dilalui nenek moyang kita sahaja, tetapi juga corak kehidupan mereka serta sumbangan mereka terhadap agama, bangsa dan negara mereka. Apa yang lebih penting ialah pengkajian tentang ilmu salasilah keluarga mampu memupuk jati diri seseorang individu.

Menurut Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Exco Kerajaan Pahang semasa merasmi mesyuarat agung ke-3 Persatuan Orang Kaya Haji Pahang (Perkaya) berkata, banyak lagi artifak bertulisan tangan dalam tulisan jawi termasuk jurai keturunan tertentu yang hampir pupus perlu diselamatkan menerusi tanggungjawab persatuan sejarah di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berpendapat  masih banyak jurai atau waris keturunan orang Melayu negeri ini masih belum didokumentasikan dengan sempurna dan sesetengahnya cuma ada dalam ingatan waris tertua berkenaan yang perlu diselamatkan segera.

“Tugas ini bukanlah sukar bagi pihak Persatuan Sejarah  memperoleh bahan  dan hanya perlu ada koordinasi atau berhubung dengan ketua waris berkenaan untuk mendapatkan maklumat sejarah termasuk gambar dan bahan tertentu,’’

Sebelum kita mengenali sejarah dalam dan luar negara, kenalilah sejarah atau salasilah yang berkaitan dengan diri kita dahulu. Tambahan pula, salasilah keturunan seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat yang bertamadun. Menjejaki asal-usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada penerusan hubungan silaturahim antara kaum kerabat. Pengekalan hubungan silaturahim sesama kaum kerabat pula sangat dituntut oleh Islam.



2 ulasan:

  1. Kala orang mude tiade minat sekarang,akan datang tiade lagi yang akan mencari sedare.

    BalasPadam
  2. Saya juga sedang menjejak saudara mara dan seronok sangat dapat bertemu dengan mereka yang tua-tua 60-94 tahun. Kebanyakan mereka sakit tenat dan tinggal seorang atau berdoa sahaja.

    BalasPadam

Ulasan