Halaman

Isnin, 21 Mac 2011

Taman Negara, Merapoh diwarta hutan kaji Harimau

 Kawasan hutan Taman Negara dan hutan sekitar Merapoh, Lipis telah diwartakan sebagai kawasan kajian habitat harimau di Pahang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Sharif berkata mengikut kajian Perhilitan, terdapat kira-kira 500 ekor harimau di kawasan hutan di Semenanjung Malaysia.

"Harimau suka di kawasan sejuk tanah lembab seperti di kawasan hutan Taman Negara dan kawasan Banjaran Titiwangsa yang mempunyai sumber makanan cukup. Haiwan itu dilindungi sepenuhnya," katanya di Temerloh.

Beliau berkata selain di Taman Negara, Pahang dan Banjaran Titiwangsa, haiwan itu juga terdapat di beberapa kawasan hutan di Perak, Terengganu dan Johor.

Katanya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, mereka yang memburu atau memiliki haiwan berkenaan akan dikenakan hukuman lebih berat.

Mereka yang membunuh, menyimpan daging, kuku, kulit atau bahagian lain haiwan tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 68, akta berkenaan yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun.- Bernama

KOMEN

Di cerita oleh orang kampong hasil hutan seperti kayu gaharu, gajah, dan harimau telah di teroka, di buru oleh Pendatang Tanpa Izin Thailand  yang telah memasuki kawasan ini secara haram. Terdapat bukti-bukti seperti pondok sementara, pokok kayu yang telah  ditanda dengan tulisan Siam.

Sabtu, 19 Mac 2011

Ulam Cemperai

Ulam Cemperai

CEMPERAI adalah sayuran tradisional yang amat digemari. Pucuk dan daun mudanya boleh dimasak lemak, masak manis atau dimasak mengikut resipi tradisional.
Selain sebagai sayuran, cemperai juga dikatakan baik untuk mengubati ulser dan sakit sendi tulang. Akar dan daunnya ditumbuk serta dibuat poltis untuk mengurangkan ulser. Air rebusan akarnya pula dapat mengubati sakit sendi tulang.
Sayuran berkhasiat tinggi ini semakin hari semakin dilupakan. Kebanyakan generasi muda tidak lagi mengenali tanaman ini.
Pokok cemperai adalah jenis pokok renek dan pokok bersaiz kecil setinggi empat meter. Daunnya ovat, bujur atau lanseolat berukuran 4 – 20 sentimeter (sm) panjang dan 2 – 10 sm lebar.
Infloresennya panikel dengan bunga yang berwarna kehijauan. Buahnya drup, elipsoid, 1 – 1.5 sm panjang dan 0.5 – 1 sm lebar, berwarna kuning limau dan kemerahan apabila masak.
Pucuk cemperai mengandungi khasiat makanan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan pucuk cemperai mengandungi: air 72.0 g, protein 7.0 g, lemak 0.4 g, karbohidrat 14.0 g, serat 4.7 g, kalsium 120 miligram (mg), fosforus 72 mg, ferum 1.9 mg, natrium 8 mg, kalium 557 mg, karotena 2260 ug, Vitamin A 377 ug, vitamin B 1 0.1 mg, vitamin B 2 0.42 mg, niasi 0.7 mg, vitamin C 63.8 mg.
Pokok cemperai jarang ditanam dan kebanyakan tumbuh liar di hutan. Di kampung pokok ini ditanam di sekitar rumah untuk keperluan dapur.
Pokok ini mudah dibiakkan dengan menyemai bijinya atau dengan keratan batang. Biji daripada buah yang cukup masak disemai dalam kotak semaian yang diisi dengan pasir yang bersih.
Anak pokok yang baik percambahannya dipindahkan ke dalam karung plastik yang diisi dengan tanah hutan dan kemudian diletakkan di bawah pokok atau di tempat redup. Apabila anak pokok ini mencapai ketinggian satu meter atau lebih, barulah ditanam ke tanah.
Pokok ini boleh juga dibiakkan dengan keratan batang. Batang atau ranting berukuran 1 – 1.5 meter di tanam terus ke tanah. Batangnya juga boleh dibuat turus pagar untuk terus hidup.
Pokok ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi tetapi memerlukan tanah agak subur dan mendapat sedikit lindungan cahaya matahari. - Berita Harian
FAKTA: Cemperai
Setiap 100 g pucuk cemperai mengandungi
·  air 72.0 g,
·  protein 7.0 g,
·  lemak 0.4 g,
·  karbohidrat 14.0 g,
·  serat 4.7 g,
·  kalsium 120 mg,
·  fosforus 72 mg,
·  ferum 1.9 mg,
·  natrium 8 mg,
·  kalium 557 mg,
·  karotena 2260 ug,
·  Vitamin A 377 ug,
·  vitamin B 1 0.1 mg,
·  vitamin B 2 0.42 mg,
·  niasi 0.7 mg,
·  vitamin C 63.8 mg

KOMEN

Pucuk cemperai ini kebiasaannya di buat  masak lemak putih atau masak air kebiasaannya dicampur dengan ubi keledek....... fuhhhhhhhh terasa manis bila menghirup kuahnya. pelengkap hidangan, sambal belacan, ikan masing goreng dan ulam petai atau jering. Memasak sayur air ini senang, hiriskan bawang, campakkan ikan bilis rebus sehingga semuanya empuk/masak, tambah garam secukupnya.

Kalau sesiapa yang belum mengenali ulam ini ianya  banyak dijual di pekan sehari di daerah   sekitar Kuala Lipis harganya sangat murah dan berpatutan.