Halaman

Jumaat, 13 September 2013

Kesesakan lalu lintas di bandar Kuala Lipis

Lampu isyarat punca kesesakan bandar Kuala Lipis
 Sejak akhir-akhir ini wujud kesesakan lalu lintas di bandar ini khususnya laluan ke bandar lama dan Bandar Baharu Seberang Sungai Jelai.

Seorang penduduk, Mohd Azuan Abdul Ghani, 27, berkata, kesesakan itu juga termasuk laluan ke Bandar Baharu Seberang Jelai yang saban waktu dikunjungi ramai penduduk berkunjung , berurusan di pejabat kerajaan serta pelawat, selain menjadi laluan alternatif kenderaan ke Felda Kechau dan Merapoh.

Menurutnya, senario kesesakan itu bukan sahaja berlaku pada waktu puncak, tetapi waktu lain memandangkan cuma  laluan itu sahaja untukmmasuk ke bandar lama Kuala Lipis dan termasuk Bandar Baharu Seberang Jelai.

“Kesesakan itu kerap bermula berdekatan bulatan jalan untuk masuk ke bandar ini sehingga ke pusat bandar dan keadaan semakin kritikal sejak akhir ini ketika waktu puncak dan kegiatan tertentu yang membabitkan lokasi di Dewan Residen, Dataran Residen dan pusat bandar.

“Kesesakan juga berpunca apabila kedudukan dua buah persimpangan lampu trafik berdekatan, iaitu di persimpangan jalan ke Bandar Baharu Seberang Jelai dan bandar lama di sini,” katanya di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Norazizah Abdul Manan, 30, berkata, lampu trafik berdekatan juga wujud di persimpangan masuk ke Hospital Lipis, pusat berbelanja, masjid, stesen keretapi dan hotel di sini.

“Lokasi di sinilah antara punca kesesakan lalu lintas dan terkadang-kadang kenderaan terpaksa berbaris (bumper to bumper) sehingga di hadapan balai polis dan bulatan masuk ke Bandar Baharu Seberang Jelai.

“Kelancaran sistem perhubungan di bandar lama juga kerap terganggu apabila laluan begitu sempit dan keadaan lebih rumit apabila saban waktu kenderaan perdagangan menurunkan barang dan mereka yang tidak bertanggungjawab meletak kenderaan di laluan sehala untuk urusan di bank dan premis berdekatan,” katanya.

Norazizah berkata, adalah diharapkan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dapat mencari alternatif terbaik untuk menaik taraf laluan baharu termasuk melebarkan jalan masuk dan keluar dari bandar ini agar dapat mengurangkan kesesakan itu.

“Jika tidak ada usaha menaik taraf  laluan di pusat bandar Kuala Lipis, berkemungkinan kesesakan jalan semakin parah pada masa akan datang dan impak ini membantutkan pembangunan sektor perniagaan dan pelancongan di sini,” katanya. SINAR HARIAN



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan