Halaman

Khamis, 14 September 2017

Asrama Tahfiz Terbakar

Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat Kuala lumpur. Asrama lelaki terbakar pada Jam 0600 hrs tadi. mohon seluruh rakyat Malaysia doakan dipermudahkan segala urusan pihak Polis, Bomba,APM dan Pihak hospital untuk urusan Keluarkan Mangsa Kebakaran tersebut.

Seramai 24 mangsa meninggal dunia termasuk warden dan pelajar serta beberapa orang cedera. (Maklumat Awal) Semoga keluarga mangsa tabah hadapi Ujian besar daripada Allah SWT. Al fatihah.



Kes Selesai 
Hanya 48 jam untuk polis membongkar misteri kebakaran besar yang mengorbankan 21 pelajar dan dua ustaz pagi Khamis lalu.
Memang kes khianat dan berpunca daripada ejek mengejak di antara sekumpulan remaja yang merupakan penduduk Kampung Datuk Keramat dengan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media khas awal malam Sabtu mengesahkan kes sudah dianggap selesai dengan tangkapan tujuh suspek berumur antara 11 dan 18 tahun dari pukul 6 petang 15 Jumaat sehingga 2.30 pagi Sabtu.
Semua mereka disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 kanun yang sama itu khianat dengan api.
“Enam daripada mereka positif dadah, satu daripadanya tidak positif. Tujuh daripada mereka sudah direman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Dua daripada mereka ada rekod lampau iaitu mencuri dan rusuhan. Motif kejadian adalah berpunca dari ejekan antara kedua-dua pihak,"ujarnya.
Beliau sebelum itu memberitahu, sepatutnya sidang media hanya akan diadakan pada pagi Ahad, tetapi mesej yang tular di media sosial menyebabkan dirinya membuat keputusan untuk disegerakan.
“Tolong hentikan mesej yang viral kerana akan ganggu proses perbicaraan mahkamah. Saya minta maaf kerana terpaksa mengumpulkan anda (media) dalam masa yang cepat. Saya tidak mahu spekulasi berkembang,"katanya.
Amar mengesahkan remaja terbabit memang mempunyai motif untuk membakar pusat tahfiz berkenaan.
“Mereka yang membawa tong gas. Motif memang untuk bakar pusat tahfiz itu. Mereka hanya berniat untuk bakar bangunan itu. Polis sudah selesai kes dengan tangkapan semua suspek,"jelasnya.
Dua tong gas tersebut dibawa dari tingkat bawah ke tingkat atas oleh suspek.
“Dua tong gas digunakan secara keseluruhan dalam kejadian ini,"katanya.
Sebelum itu, beliau memberitahu polis turut mendapatkan imej rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengecam suspek.
Menurutnya, sejenis bahan pembakar digunakan untuk mempercepatkan proses kebakaran.
"Tidak wajar untuk saya menceritakan secara detail proses pembakaran itu dilakukan,"jelasnya.
Polis turut merampas pakaian suspek untuk ujian makmal dan motosikal yang dipercayai digunakan oleh suspek.
Sementara itu, semua mangsa yang terselamat dalam tragedi kebakaran tersebut ditempatkan di dalam kem Kementerian Pertahanan sebelum dipindahkan ke sebuah premis rahsia di sekitar Keramat semalam.
Difahamkan, premis itu dikawal ketat pihak polis dan tentera, manakala hanya waris terdekat dibenar memasuki kawasan terbabit.
Katanya, mereka ditempatkan di kem berkenaan sehingga semalam bagi memastikan keselamatan terjamin selain tidak didekati pihak tertentu.
Selepas itu, katanya, mereka dipindahkan ke premis rahsia bagi tujuan perlindungan dan bilangan sebenar mangsa terselamat turut dirahsiakan.
Beliau yang enggan dikenali, bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi dinyatakan.-16/9/207

KEBAKARAN SEKOLAH TAHFIZ : BEBERAPA PENGAJARAN

Menurut Polis KL, kebakaran ma'ahad tahfiz di Dato' Keramat SAH hasil tindakan khianat 7 orang remaja berusia 12-17 tahun yang kebanyakannya POSITIF DADAH, akibat marah kerana ditegur (cuma statement Polis guna istilah 'ejek mengejek') oleh pelajar tahfiz berkenaan, mereka MEMBAKAR maahad terbabit tanpa dapat dipastikan sama ada hanya untuk membakar bangunan sahaja atau membunuh penghuninya sekaligus. 

Innalillahi wa inna ilaihi rajioun..amat dukacita..pun begitu beberapa pengajaran yang wajib diambil:-

1. Besarnya tanggungjawab ibubapa untuk sedaya upaya mengetahui aktiviti anak-anak & membuat tindakan pantas, walau memang sukar. Khususnya jika ia melibatkan apa jua jenis DADAH dan arak. Kemabukan dan khayal dari keduanya itu memang boleh menambah besar potensi pengambilnya untuk hilang kewarasan dalam tindakan lalu bertindak di luar dugaan.

2. Sebagaimana ditegaskan oleh pihak bomba, besarnya keperluan semua sekolah BUKAN HANYA TAHFIZ tetapi semua jenis sekolah yang berhimpunannya ramai pelajar (khususnya yang ramai pelajar berusia 15 tahun ke bawah) untuk mempastikan CIRI KESELAMATAN seperti 'fire exit' yang mencukupi serta mendapat kelulusan berwajib seperti bomba etc. Ini juga sebenarnya temasuk rumah yang kita diami sendiri juga. 

Justeru, pendaftaran rasmi serta permit dengan pihak berwajib adalah logik dan wajar. Sebaiknya ibubapa mempastikan dahulu ciri keselamatan minima ini wujud sebelum menghantar anak masing-masing ke sekolah terbabit.

3. Besarnya harapan agar orang awam PANTAS menghubungi bomba dan ambulan sejurus mendapati sebarang insiden kebakaran premis dan kediaman, dan juga besar harapan kami agar ambulan dan bomba dapat terus berusaha menambah cemerlang lagi TARGET untuk sampai ke lokasi kebakaran lebih cepat. Kalau boleh 10 minit ke bawah selepas dihubungi, sebagaimana di United Kingdom, seingat saya sasaran mereka adalah 8 minit.

4. Besarnya harapan kita juga agar gambar sadis tubuh mangsa yang terbakar TIDAK disebarluas di media sosial, demikian juga video yang kedengaran jeritan mangsa. Ia bukan hanya memedihkan keluarga mangsa malah orang ramai yang turut boleh menjadi trauma dan terganggu emosi secara psikologinya.

5. Perlunya rakyat yang prihatin untuk berhati-hati sebelum memberi DERMA kepada tahfiz terbabit kerana difahamkan wujudnya penipu yang cuba mengambil kesempatan atas simpati orang ramai.

Tahniah diucapkan kepada pihak polis atas tindakan dan siasatan awal yang pantas. Sama-samalah mendoakan rahmat Allah swt ke ats semua mangsa dan juga diberikan kekuatan jiwa kepada semua ahli keluarga mangsa terkorban, cedera dan yang terlibat.

Dr.Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
16 Sept 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan