Halaman

Selasa, 2 Januari 2018

Meniti Jambatan yang menjadi tular


Laporan Sinar Harian

KUALA LIPIS - Hari pertama persekolahan jauh berbeza buat seorang murid pra sekolah Sekolah Batu Yon, Bukit Betong di sini apabila terpaksa menyeberang jambatan gantung yang telah rosak.

Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu oleh bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41,  terpaksa menggunakan jambatan rosak itu di Kampung Pamah Aur, Bukit Kota pagi tadi ekoran jalan darat di kampung tersebut dinaiki air serta tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Video Lutfil Hadi menyeberang jambatan rosak yang merentangi Sungai Tanum sambil dibantu bapanya tular di laman sosial Facebook  pagi tadi dan telah ditonton oleh lebih 780, 000 penonton hingga jam 1.15 tengah hari hari ini.

Ibu Lutfil Hadi, Siti Zaharah Othman, 33, berkata, anak ke empatnya begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun  tahu bahaya untuk menyeberang jambatan berkenaan.

Menurutnya, walaupun ada laluan alternatif lain untuk ke sekolah namun ia mengambil masa 45 minit perjalanan dengan melalui jalan Aur Gading - Padang Tengku.
Peta mengikut 'google map'

"Jambatan gantung ni telah rosak sejak setahun yang lalu akibat banjir namun hingga kini masih belum dibaik pulih.

"Penduduk kampung guna laluan ini sebab lebih dekat dan boleh jimatkan masa ,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Siti Zaharah berkata, adalah diharapkan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera membaik pulih jambatan itu bagi memudahkan penduduk selain memberi keselesaan kepada pelajar sekolah untuk berulang alik.

Rakaman video berdurasi dua minit itu  dibuat oleh Siti Zaharah telah  mengundang rasa takut dan simpati netizen yang menyaksikan situasi cemas Lutfil Hadi memegang tangan Abdul Jalil serta besi penghadang jambatan tersebut untuk menyeberang Sungai Tanum dengan arus air sungai deras.

Rata-rata netizen juga meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera dengan membina jambatan  baharu.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri merangkap Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan tersebut akan bermula pada 8 Januari ini.

Menurutnya, sejumlah RM462,000 telah diperuntukkan untuk membaik pulih jambatan berkenaan dan dijangka siap 18 Mac.

"Timbul sikit salah faham apabila tular kisah murid dan bapa berkenaan menggunakan jambatan rosak untuk ke sekolah sedangkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota ada menyediakan perkhidmatan bot untuk menyeberang.

"Saya harap mereka yang berkenaan  mendapatkan maklumat sahih tentang status jambatan terbabit dan kita sedaya upaya menyediakan kemudahan asas terbaik untuk rakyat,"katanya.

Jambatan rosak mengikut peta topo 1993

Laporan #LIPIS  FB

KISAH SEBUAH JAMBATAN

Memandangkan ADMIN dihubungi begitu kerap oleh followers page ini. Maka ADMIN telah melaksanakan sedikit penyelidikan berhubung satu isu yang telah diviralkan oleh pengguna fb seluruh negara, berhubung kisah seorang anak kecil dan bapanya yang telah bersabung nyawa melintasi sebuah jambatan gantung yg rosak untuk ke sekolah di Kampung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis pagi tadi.

Mungkin ada fakta yang tertinggal dalam jawapan yang diperoleh ADMIN, ADMIN terbuka untuk sebarang pembetulan sekiranya perlu.

Jambatan Gantung Pamah Aur menghubungkan kampung ini dan kampung Beriang dalam pentadbiran JKKK Bukit Kota. Kerosakan selepas banjir Disember 2014 telah diperbaiki pada tahun 2015. Ianya sekali lagi rosak selepas banjir pada Januari 2017. YB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku ADUN Jelai telah memohon sejumlah besar peruntukkan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membaiki kerosakan-kerosakan akibat banjir dalam DUN Jelai termasuk jambatan gantung terbabit pada 1 Jun 2017 (lihat surat permohonan sbg lampiran 1). Harus diingat tempoh beberapa bulan diperlukan bagi agensi teknikal seperti JKR dan Pejabat Daerah Lipis mengenalpasti jenis kerosakan, kaedah pembaikan dan kos pelaksanaan dapat ditentukan supaya permohonan dapat dibuat serentak (meliputi kerosakan di kampung-kampung lain) dan peruntukkan yang mencukupi dapat disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang.

Melalui peruntukkan daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara, Pejabat Kewangan Negeri telah memaklumkan bahawa projek ini telah mendapat kelulusan melalui satu surat bertarikh 20 Oktober 2017. (Lihat Lampiran Kenyataan FB Friends PDRM).

Proses Tender oleh JKR Daerah Lipis telah dilaksanakan dan surat tawaran kepada kontraktor yang berjaya telah dikeluarkan pada 21 Disember 2017. Dalam surat tawaran tersebut telah dinyatakan bahawa kerja-kerja harus dimulakan pada 8 Januari 2018 dan tempoh pembinaan adalah selama 10 minggu. (Lihat Lampiran 3 Surat Pejabat Jurutera Daerah).


Kronologi di atas diharapkan dapat menepis tuduhan bahawa pihak berkuasa khususnya wakil rakyat dan agensi kerajaan tidak mengambil berat tentang masalah penduduk di situ.

Selain daripada itu Kampung Pamah Aur juga dihubungkan ke Bandar Kuala Lipis melalui jalan sediaada melalui Kampung Seberang Jelai. Kemungkinan Puan Zaharah dan suami tidak dapat menghantar anak ke sekolah melalui jalan darat adalah kerana terdapat kawasan yg tenggelam akibat kenaikan paras air sungai Tanum malam tadi. Buktinya adalah sehari sebelum itu Puan Zaharah telah menghantar anak-anaknya ke sekolah berasrama menggunakan kenderaan milik mereka.

Walau bagaimanapun kami dimaklumkan JKKK Bukit Kota turut menyediakan kemudahan bot bagi mereka yang memerlukan selain terdapat juga penduduk kampung yang memiliki bot persendirian. hubungan persaudaraan di kampung ini seharusnya membolehkan mereka bantu-membantu antara satu sama lain.

Menjawab pula kecaman dan tuduhan terhadap pihak YB Dato' Haji Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis, untuk makluman pembaca sekalian lokasi kampung terbabit bukan dalam Parlimen Lipis namun dalam Parlimen Cameron Highlands. Jadi kepada sebahagian daripada kita yang suka membuat tuduhan melulu seperti komen dalam posting Sukan Star (lihat lampiran 4) diharapkan dapat berhenti daripada terus memfitnah dan menyambung fitnah.

Buat Puan Zaharah dan Suami, walau apa pun niat Puan dan Tuan, usahlah mempertaruhkan nyawa anak kecil seperti itu. sedikit kesilapan boleh membawa kekesalan selamanya. dapat jambatan pulau pinang pun dah tiada gunanya lagi. tak perlulah ke sekolah hanya untuk sehari dua jika benar-benar keadaan tidak mengizinkan.

ADMIN berharap jawapan yang diterima dan dikongsi bersama dalam posting ini dapat memberi penjelasan sebaiknya. Tugas Page LIPIS adalah untuk menyalur cerita dan berita yang benar tentang daerah Lipis, bukan untuk mengadu domba dan meraih populariti semata-mata

Terima Kasih & Salam Hormat

Dari Blogspot Pahang Post

VIRAL VIDEO ANAK LALU JAMBATAN ROSAK - CARI GLAMOUR BAHAYAKAN NYAWA
CARI GLAMOUR BAHAYAKAN NYAWA ANAK - BIJAKKAH IBU BAPA TERSEBUT?

Tular satu video yang menunjukkan seorang bapa sedang menuntun anaknya melalui sebatang jambatan yang rosak. Dalam klip tersebut jelas menunjukkan hanya seorang bapa dan anaknya melalui jambatan tersebut dengan air sungai deras di bawah jambatan itu.

Difahamkan surat tawaran membaiki jambatan sudah dikeluarkan dan kerja akan dimulakan pada 8 Januari 2018.

Dalam klip tersebut, perakam tidak menjelaskan mengapa beliau dan suami mengambil risiko membahayakan nyawa anaknya. Adakah beliau memang mahu mencari viraliti hanya untuk memburukkan kerajaan sedangkan hakikat jalan alternatif sudah disediakan kerajaan  dan difahamkan jalan tersebut kini ditenggelami air berikutan cuaca buruk.

Cara beliau dan suami yang membahayakan nyawa demi viraliti dan glamour ini sebenarnya mengundang persepsi buruk terhadap kerajaan dan pembangkang memang mahu menjadikan ia sebagai isu kelemahan kerajaan Pahang.


Jadi fikirkan dengan akal sebelum menempelak kerajaan.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan perjumpaan dengan Abdul Jalil Sulaiman, bapa yang membawa anaknya menyeberangi sebuah jambatan uzur di Lipis, Pahang yang kini viral di Facebook. -foto Astro AWANI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan