Bagaimana Selesaikan Masalah Tanah Pusaka Yang Nama
Waris Makin Banyak
Oleh : Salkukhairi Abd
Sukor
Kisah berbalah dan berebut
harta peninggalan orang tua bukan lagi sekadar subjek yang diangkat di dalam
drama atau filem Melayu sahaja, bahkan kini menjadi realiti dan pasti ada
pembaca kami pernah mendengar atau terlibat sendiri dalam masalah ini.
Namun sememangnya diakui,
urusan pembahagian harta pusaka terutamanya tanah bukanlah suatu perkara yang
mudah. Pelbagai proses perlu dilalui, dan bertambah susah apabila geran tanah
pusaka itu mempunyai banyak nama. Tanah dah la kecil, perlu pula berkongsi.
Kalau ada hajat nak bangunkan tanah tu pun rasa tak berbaloi selain ada
persetujuan yang perlu dicapai secara bersama dengan penama-penama lain.
Kalau dibawa berbincang
pun, pasti ada perbalahan yang berlaku. Nanti mula lah, bermasam muka antara
satu sama lain walaupun bergelar adik-beradik sendiri. Jadi, nak biarkan begitu
saja ke tanah tu? Apa yang anda boleh buat jika tersepit dalam hal-hal macam
ni?
Saudara Salkukhairi Abd
Sukor ada penyelesaiannya. Beliau yang merupakan seorang Peguam dan pakar dalam
bidang hartanah berkongsi beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh
anda. Jom baca perkongsian tersebut di bawah. Semoga bermanfaat.
BAGAIMANA HENDAK SELESAIKAN MASALAH TANAH PUSAKA YANG
BANYAK NAMA DAN BAHAGIAN MAKIN MENGECIL?
1. Isu bahagian tanah pusaka geran kongsi yang
semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia adalah isu yang banyak
dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.
2. Apabila penama asal
meninggal dunia, bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka.
3. Kesannya, di dalam
geran tanah tersebut semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki
bahagian yang semakin kecil saiznya.
4. Keadaan ini akan
menyukarkan proses untuk mengurusniagakan dan membangunkan tanah tersebut.
Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk
dibuat pecah bahagian.
5. Ini kerana untuk
melakukan sesuatu urusniaga atau membangunkan tanah tersebut, persetujuan
daripada setiap penama adalah diperlukan.
6. Proses untuk
mendapatkan persetujuan tersebut akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama
yang tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya.
7. Akhirnya tanah tersebut
terbiar begitu sahaja. Masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.
Bagaimana cara untuk mengatasi
masalah ini?
Di sini saya gariskan
beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan:
I. Lantik seorang wakil
kuasa (Power of Attorney – PA).
Lantik seorang wakil kuasa
(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan
dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah
tersebut.
Melalui cara ini semua
penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada
wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.
Pun begitu kuasa PA ini
perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak
terlalu luas sehingga menyebabkan beliau salah guna kuasa termasuklah
memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.
II. Semua penama jual
bahagian masing-masing.
Semua penama jual bahagian
masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan dan banyak
wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut.
Harga jualan sewajarnya
mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.
Sekiranya PA telah
ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan
tandatangan SNP dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan
daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum
proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.
Sewajarnya proses jual
beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai
peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan
pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian
masing-masing.
III. Tubuhkan koperasi
atau syarikat anak beranak.
Tubuhkan koperasi atau
syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau
koperasi tersebut.
Melalui cara ini setiap
waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah
tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat
menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Setiap setahun sekali,
hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahgaikan
kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.
IV. Majukan tanah tersebut
sebagai projek perumahan
Boleh juga majukan tanah
tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik
beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh JV dengan pemaju yang dipercayai.
Jika majukan sendiri,
boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran
individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah
tersebut untuk dijual.
Hasil jualan sama ada akan
dibahagi-bahgaikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan
sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap
tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah rumah tersebut.
8. Walau apapun, ini
hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ianya mudah diperkatakan tetapi tidak mudah
untuk dilaksanakan.
9. Perancangan yang teliti
dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di
kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut di atas amatlah
diperlukan.
10. Sifat ego dan tamak
haruslah dibuang jauh jauh. Jangan fikir untuk untang jangka masa pendek
sahaja.
11. Yang penting, melalui
cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih
besar dan berbaloi berbanding masing-masing berbalah soal berebut hak
masing-masing terhadap bahagian masing-masing yang sekangkang kera tersebut.
Tepuk dada, tanya iman.
Nak buat atau tak. Wallahuaklam.
Terima kasih,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah
Malaysia (HartaGuam)
Sumber : Salkukhairi Abd
Sukor
Pembelian Tanah Pusaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan