Halaman

Isnin, 18 November 2019

Cerita Dari Temerloh

TEMERLOH DAN ORANGNYA MEMANG SUNGGUH KLASIK

1. Kata seorang teman FB, sejak 200 tahun dahulu golongan kiri yang menentang cara pentadbiran raja atau sultan telah wujud di Temerloh, Pahang. Kemudiannya menentang penjajah. Seterusnya menentang kerajaan lama dan baru. Entah sumber mana yang dipetiknya tidaklah diketahui,. Para pengkaji sejarah mesti marah sumber tanpa citation ini. Ahli akademik yang lain pun akan mengamok jika melihat fakta sebegini. 
Pahlawan Semantan

2. Memang Temerloh sejak dahulu terkenal dengan golongan kirinya. Kiri ini label yang diberi pemerintah supaya kelihatan jahat, agresif, menongkah arus, degil, tunjuk handal, konon pandai dan sentiasa membangkang apa sahaja yang dibuat kerajaan. Itukah demokrasi?

3. Sementelah dicop kiri yang dianggap 'kotor', maka hanya segelintir sahaja yang menyokong. Itulah yang diperlukan oleh pihak pentadbiran supaya mereka senang memerintah mengikut acuan feudal berusia ratusan tahun.

4. Dek kerana orang Temerloh yang bijaksana selalunya cenderung berada di kiri, maka mereka semuanya tidak ke mana. Jika cuba naik akan dipotong sehingga ke akar umbi oleh golongan kanan atau tengah. Bacalah sejarah Temerloh dan akan ditemui senarai panjang nama bijak pandai yang 'kiri' akhirnya hilang ditelan zaman atau masuk ke dalam tanah. Ada yang masuk hutan akibat kecenderungan ideologi yang berbeza.

5. Tidakkah kita merasa rugi akan kehilangan otak segar unik sejak dulu kini dan selamanya. Klasik sungguh. Orang Temerloh memang klasik.

6. Orang yang berkuasa memang tidak suka kepada golongan yang lebih bijak dari mereka kerana kedudukan mereka boleh tergugat jika dibiarkan mereka bersuara. Jalannya ialah pancung, pangkas atau pancas di peringkat awal dan jangan diberi oksigen untuk bingkas. Akhirnya bakat cerdik pandai, yang kaya idea, yang berbakat memimpin dan mentadbir mulai pupus macam dinosaur. Kisah Hang Nadim dengan batang pisang dan ikan todak kekal relevan.

Tak Sah kalau tak makan masakan ni kalau ke Temerloh
7. Bila bakat dan baka tempatan yang baik makin kurang dan pudar, orang luar Temerloh mula menguasai Temerloh. Bandar bertukar tangan lalu kita menumpang bandar orang. Aset strategik diambil alih. Pemimpin politik yang mewakili Temerloh diimport dari luar berpenggal-penggal. Pegawai kerajaan peringkat tinggi majoritinya bukan orang Temerloh. Bila ini terjadi, denyut nadi orang Temerloh mula hilang sentuhannya. Yang ada cuma sentuhan kecundang.

8. Itu menjadi punca orang Temerloh sukar mendapat peluang di daerah sendiri. Contoh klasiknya adalah memohon tanah ditendang keluar berkali-kali. Lebih klasik lagi adalah pembangunan Temerloh kurang laju kerana tiada sentuhan tempatan. Orang tempatan lebih memahami suara rakyat tempatan. Ini bukan semangat kenegerian atau kedaerahan. Ini hal jati diri.












9. Apabila dikatakan daerah Temerloh semakin mengecil, ada yang kata biarlah begitu kerana kita masih di dalam Pahang dan Malaysia. Bukannya minta merdeka macam Catalonia di Sepanyol. Ada yang kata itulah pembangunan. Ada yang kata Kuala Krau terlalu jauh untuk berurusan di pejabat di bandar Temerloh, maka kita perlukan daerah baru.

10. Perkara 9 di atas, ianya boleh diatasi. Ada caranya. Pembangunan kita terima, kita bukan bodoh menolak pembangunan tapi jangan kecilkan daerah. Umpamanya Chenor dikeluarkan dari daerah Temerloh 35 tahun yang dahulu. Sejauh mana ia telah maju. Bera kita kena bagi masa untuk tunggu dan lihat.

11. Kuala Krau umpamanya boleh dibuka cawangan pejabat kerajaan dan swasta yang penting termasuk bank-bank. Sekarang zaman online. Segalanya di hujung jari. Pergerakan fizikal boleh dikurangkan. Masalah logistik boleh diatasi.

12. Membenarkan daerah Temerloh menjadi semakin kecil sebenarnya adalah menghilangkan jati diri kita sendiri. Klasik sungguh melihat surat beranak saya lahir di Chenor Temerloh Pahang tetapi bolehkah diubah surat beranak (nama barunya sijil kelahiran) itu kepada Chenor Maran Pahang. Fikirlah sendiri.

Rumah Rakit di Termerloh pada masa dahulu
13. Klasik sungguh majoriti orang Temerloh tidak diambil pendapat dan suara mereka ketika hendak berbuat sesuatu yang penting di daerah mereka. Klasik sungguh kita-kita dipinggirkan pentadbir. Langsung tidak diberi muka untuk berhujah. Klasik sungguh orang Temerloh terbiar dan menyokong apa sahaja yang dibuat pentadbir. Takkanlah suara rakyat hanya didengari lima tahun sekali. Keklasikkan itu bukan setakat hanya tentang hal mengecilkan daerah, ia meliputi banyak hal yang akan dikupas lagi di suatu masa kelak. Ini baru satu contoh.

14. Tetapi itulah kita. Kiri, klasik, lemah lembut, budi tinggi, atau apa?

kredit : Isma Nazom bin Abdul Hamid


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan