Halaman

Isnin, 2 Disember 2019

Senarai hitam mereka jual Tanah

Mereka yang menjual atau menukar status tanah dari kediaman kepada komersial terhadap tanah pemberian kerajaan negeri Pahang bakal disenarai hitam daripada membuat permohonan baru tanah.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata proses menyenarai hitam itu sudah pun dimulakan, kerana mereka tidak mahu ada pihak yang diberikan tanah berbuat demikian bagi mendapatkan keuntungan mudah.

cerita dari lipis milik tanah
Wan Rosdy
Katanya tindakan menjual tanah itu juga secara tidak langsung merencatkan hasrat kerajaan negeri yang mahu melihat lebih ramai rakyat berpeluang memiliki tanah.

"Ada orang terpaksa menunggu sehingga 30 tahun untuk mendapatkan surat hak milik, sedang untuk menjualnya hanya mengambil masa sekitar seminggu sahaja.

"Jika mereka ada alasan yang kukuh untuk menjualnya, seperti ada masalah atau mempunyai tanah di kawasan lain, kita sedia mempertimbangkannya namun yang mencari keuntungan, tindakan tegas perlu diambil," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Suratan Hak Milik di Kampung Sri Mahkota di sini hari ini, yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Abd Rahim Muda.

Pada majlis itu, 71 daripada 153 pemohon menerima suratan hak milik tanah masing-masing manakala bakinya akan menerima suratan itu selepas menyelesaikan tunggakan premium tanah mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai tempoh kelulusan yang terlalu lama iaitu 34 tahun bagi mendapatkan surat hak milik di kampung itu, Wan Rosdy berkata ia ekoran pelbagai proses saringan yang perlu dilakukan mengikut prosedur sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif memudahkan proses itu menerusi polisi baharu yang diharapkan dapat membantu lebih ramai pemohon mendapat geran secara berperingkat.

"Kita tahu kampung ini dibuka sekitar 1960-an dan difahamkan penduduk ada mengemukakan permohonan mendapatkan geran sekitar 1985. Tapi semasa itu prosesnya rumit dan ada pelbagai dokumen perlu dikemukakan serta perlu menjalani temuduga," katanya.

-- BERNAMA

Komen MB dalam FB beliau

Tanah merupakan harta warisan yang paling berharga. Pemilikan tanah menjamin nasib rakyat serta generasi seterusnya agar tidak merempat di tanah kelahiran sendiri.

Oleh sebab itu, pihak Kerajaan Negeri Pahang memandang serius isu penjualan dan penukaran status tanah pemberian kerajaan negeri.

Kerajaan negeri berusaha membantu rakyat memiliki tanah bagi meringankan beban kehidupan. Tetapi, terdapat segelintir individu yang menyalah guna bantuan kerajaan negeri dengan menjual dan menukar status tanah kediaman kepada komersial demi mengaut keuntungan.

Oleh tu, kerajaan negeri akan mengambil tindakan dengan mengenalpasti dan menyenarai hitam nama mereka yang terlibat dengan aktiviti tersebut. Usaha menyenarai hitam sudah mula dilakukan.

Kerajaan negeri juga sedang berusaha memudahkan proses kelulusan surat hak milik tanah, yang mengambil masa amat panjang. Kerajaan negeri akan memudahkan proses tersebut menerusi polisi baharu yang diharapkan dapat membantu lebih ramai pemohon mendapat geran secara berperingkat.

DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan