Halaman

Ahad, 2 Februari 2020

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

PPSMI TELAH GAGAL MENGAPA MAHU DIKEMBALIKAN

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan pada tahun 2012 di kedua-dua sekolah rendah dan menengah. Tetapi Bahasa Inggeris terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti dan pra universiti (matrikulasi dan tingkatan 6). Pemansuhan itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah mendapat kecaman dari pelbagai pihak iaitu parti-parti politik, ibu bapa, cendekiawan, gerakan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan. Selain itu kajian bebas antarabangsa turut membuktikan tahap pencapaian negara merosot dengan teruknya di kalangan 59 negara.

cerita dari lipis pelajaran
Berita Harian, 4 Jun 2008

Pada tahun 2007, hasil kajian kajian mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in Internationnal Mathematics and Science Study.

Hasil kajian bertaraf antarabangsa tersebut menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan teruk. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit. Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu.

Berdasarkan pelbagai pertimbangan, pemansuhan itu diputuskan oleh kabinet Malaysia. Sebelum itu Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendapatkan pandangan daripada penggerak dasar tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga menemui pihak UNESCO di Paris untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

Saya sebagai bekas pelajar yang belajar subjek matematik dan sains termasuk Fizik, Kimia, Biologi membantah jika kerajaan berhasrat ingin mengembalikan semula dasar PPSMI di sekolah rendah dan menengah. Namun bagi saya ianya tidak menjadi masalah jika Bahasa Inggeris digunakan di peringkat menara gading.

Selain itu saya sendiri pernah mengajar subjek sains iaitu Kimia, Fizik dan Matematik diperingkat sekolah, matrikulasi dan Diploma, di mana saya dapati sukar untuk pelajar memahami konsep-konsep dan fakta-fakta yang dipelajari jika ianya diajar bukan dengan bahasa ibunda mereka.




Bantahan saya ini adalah berdasarkan kepada kajian dan dapatan yang pernah dilakukan oleh badan-badan bebas yang menjalankan kajian telah pelaksanaan PPSMI suatu ketika dahulu. Apakah kita ingin kembali kepada dasar PPSMI yang pernah digunakan pakai suatu ketika dahulu sedangkan kita melihat ianya gagal.

Kajian terhadap 10,000 sekolah di seluruh negara terutama di luar bandar di mana bahasa Inggeris pada mereka sebagai bahasa kedua dan sebagai bahasa asing dan mereka sukar untuk menerima penggunaan bahasa ini sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains dan matematik.

Tahap pendidikan Malaysia menjunam ke ranking ke-20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking ke-21 berbanding 20 dalam Sains. Ini jelas membuktikan kegagalan PPSMI. Kita cuba meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar malangnya mereka pula terkorban kerana gagal atau lemah dalam subjek matematik dan sains yang diajar dalam Bahasa Inggeris.

Dari kajian yang dibuat dahulu, hanya 8 % guru yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sekolah berhadapan masalah kekurangan guru yang fasih bahasa Inggeris untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran itu. Fakta ini memang tidak dapat disangkal kerana guru-guru itu sendiri belajar sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia ketika mereka di bangku sekolah. Malah di peringkat universiti pun ada subjek sains yang diajar dalam Bahasa Malaysia.

Hanya 58 % masa yang diperuntukkan untuk PPSMI telah digunakan oleh guru dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selebihnya guru tetap / terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Guru masih berbahasa Melayu kerana murid sukar memahami dan tidak lagi berminat. Guru sendiri tidak fasih memberi penerangan dalam bahasa Inggeris. Komputer dan LCD hanya menyusahkan dan sebenarnya tidak memudahkan pengajaran dan pembelajaran (P&P).Guru sains dan matematik cukup bimbang prestasi pelajar akan lebih merudum kerana gagal memahami apa yang diajarkan dalam bahasa Inggeris.

Sejarah membuktikan bahawa dengan menggunakan bahasa Malaysia, mereka mampu menjadi doktor dan ahli profesional yang lain. Banyak doktor mendapat pendidikan dalam bahasa Malaysia sehingga ke peringkat universiti terutama bagi pelajar UKM.

Kajian UNESCO (1958) dengan jelas menunjukkan bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda adalah lebih berkesan, dan penguasaan bahasa kedua boleh didapati sekiranya sekolah bermula dengan bahasa ibunda sebagai perantaraan pengajaran, berikutnya memperkenalkan bahasa kedua sebagai pengantar kepada subjek khusus iaitu Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Jika kita balik kepada konsep dan falsafah asal PPSMI iaitu mahu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris maka perkara asas yang sepatutnya dilakukan ialah berusaha meningkatkan pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris itu sendiri bukannya mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan fakta dan dapatan di atas saya sekali lagi tidak bersetuju dan membantah pelaksanaan semula PPSMI jika ianya mahu dikembalikan semula oleh kerajaan persekutuan.

FB Mohd Sofi Abdul Wahab

1 ulasan:

  1. As stated by Stanford Medical, It's indeed the ONLY reason women in this country live 10 years longer and weigh on average 42 lbs less than we do.

    (By the way, it is not about genetics or some hard exercise and really, EVERYTHING to do with "how" they eat.)

    P.S, I said "HOW", and not "what"...

    TAP on this link to see if this brief quiz can help you decipher your real weight loss possibilities

    BalasPadam

Ulasan