Halaman

Ahad, 22 November 2020

Salah Faham berkenaan hak pusaka anak tiri.


Rumah Peneroka Felda

SALAH FAHAM BERKENAAN HAK PUSAKA DAN HAK ANAK TIRI PENEROKA FELDA
 
Saya ada menerima pesanan mesej meminta saya mengulas berkenaan perkara ini. Ramai generasi kedua dan ketiga Felda tersalah faham berkenaan hak pusaka berkaitan anak tiri peneroka felda hasil perkahwinan peneroka dengan ibu tunggal yang mempunyai anak dari perkahwinannya terdahulu.

S: Adakah anak tiri ini berhak mewarisi harta Felda?
J: Anak tiri ini berhak mewarisi harta felda tetapi terhad kepada bahagian faraid ibunya sahaja setelah ibunya meninggal dunia.

S: Saya tak faham tuan. Boleh jelaskan lagi?
J: Anak tiri ini adalah anak dari hasil perkahwinan ibu dan bapanya yang bukan peneroka felda kemudian ibunya berkahwin dengan peneroka felda. Anak ini tiada sebarang hak untuk mewarisi harta felda. Sekiranya ibunya mendapat faraid setelah kematian peneroka felda, anak itu tetap tidak mewarisi harta felda. Beliau hanya boleh mewarisi setelah ibunya meninggal dunia tetapi terhad hanya untuk faraid bahagian ibunya sahaja. Contohnya ibunya menerima faraid sebagai isteri sebanyak 1/8, maka anak tiri ini tadi hanya berhak mewarisi bahagian faraid dari 1/8 sahaja. bukan keseluruhan harta.

S: Saya ada abang tiri. Abang tiri ini adalah anak dari hasil perkahwinan terdahulu emak saya. Kemudian, setelah ayahnya meninggal dunia, emak saya telah berkahwin dengan ayah saya peneroka Felda dan lahirlah saya. Kami sama-sama dibesarkan di Felda. Persoalan saya sekarang, adakah abang saya tadi berhak mewarisi harta felda milik ayah?
J: Tidak, beliau tidak boleh mewarisi harta ayah tuan. Beliau hanya boleh mewarisi harta tersebut setelah kematian emak tuan. Itu pun terhad kepada bahagian 1/8 bahagian emak sahaja.


S: Masalah saya tuan, abang saya ini duduk di rumah pusaka peninggalan ayah bersama emak saya sekarang di tanah rancangan dan banyak duitnya telah dibelanjakan untuk membaiki rumah pusaka itu sebab beliau sangka rumah itu rumah emak. Adakah boleh dia tuntut rumah itu nanti?
J: Jika nama emak ada di dalam geran felda sebagai salah seorang pemilik bersama dengan arwah ayah. Berkemungkinan benar dakwaan beliau bahawa rumah itu juga milik bersama emak tuan. Tetapi jika tiada nama emak, maka dari segi undang-undang, rumah itu adalah milik arwah ayah dan setelah kematian ayah, rumah itu menjadi faraid kepada emak dan tuan sebagai anak kandung ayah.

S: Jadi boleh ke beliau menuntut?
J: Untuk menuntut pemilikan rumah adalah tidak boleh, tetapi abang ini tadi boleh menuntut kos pembaikian rumah dari tuan dan emak seolah-olah seperti beliau mendahulukan wangnya kepada waris ayah iaitu emak dan tuan. Sebaiknya usahakan untuk membayar semula wangnya itu.

S: Emak saya pernah berpesan dengan saya sekiranya beliau meninggal, emak mahu semua harta arwah ayah dibahagikan sama rata dengan abang lain ayah saya ini...adakah betul wasiat/ pesanan emak saya itu?
J: Sekiranya pada waktu emak berpesan itu, emak adalah pemilik berdaftar harta felda setelah kematian ayah, pesanan itu dianggap satu wasiat yang tidak bertulis. Sebaiknya buat secara bertulis dan sahkan terus di Mahkamah Tinggi Syariah. Sebaliknya, sekiranya emak pada waktu berpesan itu hanya menerima 1/8 dari harta ayah sebagai isteri, wasiat itu tidak terpakai kerana harta felda bukan milik mutlak emak. Ia adalah milik tuan juga sebagai anak lelaki ayah.

S: Emak saya sekarang merajuk dengan saya kerana saya tidak bersetuju dengan permintaannya untuk saya berkongsi harta felda ayah saya dengan abang tiri saya. Adakah saya salah tuan?
J: Ini adalah soal hak dan ihsan. Emak meminta tuan untuk tuan berkongsi harta ayah tuan dengan anak dari perkahwinannya terdahulu, iaitu abang tiri. Dari segi hukum, itu adalah hak tuan dan terpulang pada tuan samada untuk menuruti permintaan emak itu atau tidak. Itu hak mutlak tuan. Tiada siapa boleh paksa tuan untuk berkongsi sekiranya tuan tidak mahu berkongsi. tetapi jika berkongsi itu dapat menambahkan rasa kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara tuan dan abang, apa salahnya berkongsi..

ZAHARI AFFENDI & RAKAN RAKAN
PENASIHAT & SOLICITOR
Mengkhususkan diri dalam Penyelesaian Pertikaian & Litigasi,
Komersial, Korporat & Harta Intelek

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan