Halaman

Sabtu, 13 Februari 2021

Kaitan Tok Linggi dengan Kesultanan Johor/Riau/Pahang

Sultan Johor ke-10- Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud / 1685-1699)
(Mangkat Di Julang)


Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama.

Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut " Marhum Padang Saujana ". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai ‘Marhum Mangkat Di Julang’ atau ‘Marhum Kota Tinggi’.



Sultan Johor ke-11- Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil / 1699-1720)

Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan Abdul Jalil IV, baginda menukar pusat pemerintahan ke Panchor pada tahun 1700. Pada tahun 1702, Istana di Bukit Tukul terbakar.

Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam di Panchor.

Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar ‘Kota Lama’. Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor.

Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang di Pertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abd Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah.



Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan. Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan disebut ‘Marhum Mangkat di Kuala Pahang’


Sultan Johor ke-12-Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah(Raja Kecil)


Nama asalnya ialah Raja Kecil dan juga memakai gelaran Yang Dipertuan Johor dan seterusnya sebagai Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, Sultan Johor ke-12 pada 1718-1722. Raja Kecil merupakan orang Minangkabau, yang ingin merebut kuasa sultan dari Sultan Abdul Jalil IV dan 'mengaku' waris Sultan Mahmud Shah II yang sah.

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu, ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor.

Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Walaupun begitu, beliau masih membenarkan Sultan Abdul Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah dan diberi jawatan Bendahara. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan.

Pada tahun 1719, cubaan merampas semula kuasa oleh Sultan Abdul Jalil IV dan anaknya Raja Sulaiman dan Tun Abas, yang berkubu di Seluyut gagal. Sultan Abdul Jalil IV lari ke Kuala Pahang.
Raja Kecil telah berpindah ke Riau dan mentadbir Johor dari Riau.

Sultan Abdul Jalil IV berpindah dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan pada tahun 1720 balik semula ke Kuala Pahang. Raja Kecil telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV. Raja Sulaiman dan Tun Abas dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman dan Tun Abas tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil dan berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara dan berjaya mengalahkan Raja Kecil halau balik ke Siak.



Sultan Johor ke-13-Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah

Nama asalnya ialah Raja Sulaiman dan seterusnya bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ditabalkan sebagai Sultan Johor-Riau ke13 oleh Bugis 5 Saudara. Kesultanan Johor diperintah semula oleh keturunan Bendahara. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah kemudiannya dilantik Daeng Merewah (Kelana Jaya Putera) sebagai Yamtuan Muda Johor Pertama.



Di bawah naungan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, kuasa membuat keputusan bukan lagi dari menteri dan jemaah. Hubungan dengan Belanda terjalin melalui Perjanjian 1754. Kemudiannya, Perjanjian 1756 memberi hak monopoli perdagangan timah di Linggi, Kelang dan Kuala Selangor tanpa keizinan raja memerintah. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat di Riau pada Ogos 1760 disebut "Marhum Batangan".

Sultan Johor ke-14-Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah

Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah dilantik sebagai Sultan Johor ke-14 pada 1760-1761, menggantikan ayahandanya yang mangkat, tetapi Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah yang ketika itu menetap di Kuala Selangor sedang gering. Lima bulan selepas kemangkatan ayahandanya, tiba-tiba Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah pula mangkat, dipercayai diracun. Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah disemayamkan di Riau, berhampiran makam ayahandanya.



Sultan Ahmad Riayat Shah, Sultan Johor ke-15

Sultan Ahmad Riayat Shah, Sultan Johor ke-15, dilantik pada 1761 bagi menggantikan ayahandanya. Ketika itu beliau baru berusia sembilan tahun. Kuasa pemerintahannya dipegang oleh Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja. Sultan Ahmad Riayat Shah bersemayam di Kampung Bulang, Riau. Pada tahun 1761, pegawai Belanda telah datang dari Melaka menuntut wang ganti rugi perang sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Sultan Sulaiman dahulu.

‘Tuhfat al-Nafis’ ada menceritakan peristiwa ini secara terperinci dimana Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu tidak berupaya untuk membayar hutang tersebut dan menyerahkan kepada Yamtuan Muda Daeng Kemboja untuk membuat keputusan. Pihak Belanda menuntut jika hutang tersebut gagal dibayar, pihak Belanda akan mengambil dua putera Raja di Baroh sebagai tebusan.

Maka gemparlah seluruh Riau kerana takut akan kehilangan dua orang putera dari keturunan Sultan itu. Berkatalah Bendahara Tun Hasan (di dalam Tuhfat al-Nafis) 

“Allah, Allah, Janganlah abang kenangkan saya semua ini, melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu itu daripada waris amanah pertaruhan marhum kepada abang serta saya semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang selama-lamanya dengan muafakat serta tulus ikhlas, relalah saya semua kepada abang adik beradik, anak beranak”.

Daeng Kemboja akhirnya berjaya membayar hutang tersebut yang kemudiannya berjumlah tujuh laksa, tujuh ribu tujuh ratus tujuh puluh ringgit, hasil daripada penjualan candu. Di riwayatkan bahawa selepas beberapa hari perkara pembayaran hutang tersebut selesai Paduka Sri Sultan Ahmad dikatakan telah jatuh gering dan mangkat di Kampung Bulang Riau  dalam usia yang muda dipercayai diracun dan disebut ‘Marhum Tengah’.

Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup selepas disingkirkan sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri. 

Menurut cerita-cerita lisan waris di Kampung Relong Pahang yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang dan sebenarnya Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara Tun Hasan di dalam gulungan tikar mengkuang dari Kampung Bulang. 

Diaspora Bugis Makassar di Tanah Melayu





Sultan Mahmud Riayat Syah

Bahawa Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam mungkin sedar bahawa kekanda baginda yang dikatakan telah mangkat itu sebenarnya masih hidup. Berbagai persoalan mungkin timbul dibenak baginda, ada baik dan ada risikonya. Tindakkan baginda tidak melantik atau menamakan pengganti baginda mungkin disebabkan baginda mahu menyerahkan kembali takhta kesultanan kepada kekanda baginda atau waris-waris yang lebih layak dari keturunan raja yang sebenar?
 
Bahawa Dato’ Linggi yakni Paduka Seri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah dan keluarga baginda tentu terdedah kepada sasaran pembunuh upahan samada daripada waris keturunan Paduka Sri Sultan Mahmud ataupun Pembesar-pembesar Melayu dan Bugis yang tamakkan harta, pengaruh dan kuasa]. Sekitar tahun 1802

Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid ada menghantar wakil bagi menjemput Dato’ Linggi ke Istana Pekan. Tujuannya untuk berjumpa Dato’ Linggi kerana dalam masa tersebut beliau sedang gering. Adakah Bendahara berasa tersangat rindu kepada Dato’ Linggi, zuriat Sultan Johor-Riau yang dizalimi yang selama ini dilindungi secara diam-diam? Intan gemala yang disingkirkan oleh Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu yang ingin memastikan kekuasaan Negeri ditangan meraka? Atau mungkin Bendahara mahu menatap wajah intan gemala yang sekian lama tidak dilihatnya untuk kali terakhir? Mungkin juga Bendahara ingin menceritakan kebenaran, memohon ampun dan maaf, merafak sembah kepada Sultan yang sebenar (‘the True King’)?.

Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1802 tanpa diketahui samada hasrat beliau tercapai atau tidak. Walau apapun, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah mengharungi saat-saat yang mencabar didalam penghidupannya, daripada putera raja, menjadi Sultan seketika, disingkir dari takhta kemudian menjadi rakyat biasa, hidup di tempat yang terpencil dan hanya ingin dikenali dengan nama Dato’ Ahmad (Dato’Linggi).

 Mengapa Salasilah Tok Linggi  dakwa mereka dari salasilah Kesultanan Johor/Riau/Pahang




Ini adanya salasilah Tok Linggi yang dijaga turun temurun menunjukan baginda merupakan seorang berketurunan Raja/Bangsawan kerana Melayu/Bugis sangat menjaga salasilah keturunan mereka.

Ir Hj Mazelan Hj Samad penulis blog Raja Ahmad Al Linggi telah membandingkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sebelum dan selepas Dato' Ahmad @ Dato' Linggi membuka Kampong Relong iaitu pada 1795 dengan peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Kesultanan Johor-Riau dan Bendahara Paduka Raja di Pahang.

Terdapat kesinambungan dari aspek tarikh dan tahun peristiwa tersebut berlaku dengan kehadiran Dato' Linggi di Kampung Relong dan juga dari pengkisahan cerita-cerita lisan yang diperturunkan oleh generasi-generasi terdahulu. Terdapat persamaan nama 'Ahmad' diantara Dato' Ahmad (yang lebih dikenali sebagai Dato' Linggi) dengan Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri'ayat Shah. Perkataan 'makamnya' bawah kundang seperti yang tercatat di dalam Salasilah Dato' Linggi juga membawa maksud baginda adalah dari keturunan raja iaitu Kesultanan Johor-Riau sebagaimana cerita-cerita lisan generasi terdahulu.

Penulis juga telah membuat beberapa hipotesis dengan alasan-alasan yang bersandarkan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa tersebut. Hasil daripada hipotisis tersebut penulis membuat kesimpulan bahawa : Dato' Ahmad yang dikenali Dato' Linggi adalah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri'ayat Shah ibni al marhum Paduka Sri Sultan 'Abdul Jalil V Mu'adzam Shah, Sultan Negeri Johor-Riau dan jajahan takluknya yang ditabalkan dalam tahun 1761.

Makam Tol Linggi 


Di sinilah juga baginda mangkat dan dimakamkan dibawah pokok kundang di Kuala Relong Lipis Pahang sekitar tahun 1812-1815

Begitulah cerita ringkas yang menjadi bukti Tok Linggi di Kampung Relong adalah Raja Ahmad yang pernah ditabal sebagai Raja Johor Lingga 1761.

Dewan Tok Linggi Relong


Rujukan:

Tuhfat Al-Nafis karangan Ali Haji bin Raja Haji Ahmad
Christopher Buyers - ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’
Salasilah Tok  Linggi 1795
Koleksi cerita-cerita lisan penduduk Kampung Relong.
RajaAhmad.blogspot.com
Salasilah Kesultanan Johor-Riau



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan