Halaman

Selasa, 5 Oktober 2021

Suami isteri maut dibunuh anak kandung.

 


LIPIS: Seorang lelaki tergamak membunuh ibu dan bapanya dengan menetak mangsa bertubi-tubi serta mengelar leher mangsa menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang di Benta dekat sini malam semalam.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu ialah Mohammad Maasai, 68, dan isterinya Zailan Zainudin,64.

Difahamkan mangsa tinggal bersama suspek Ahmad Hafizudin Mohammad,31, yang merupakan anak bongsu mereka yang tidak bekerja.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati semasa kejadian kedua-dua mangsa sedang berbual dengan suspek di dalam rumah mereka sebelum ibu suspek masuk ke dalam bilik.

“Suspek terus berborak dengan bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan sebelum suspek mendakwa nampak mata ayahnya hitam seakan hendak menyerangnya menyebabkan suspek mengambil parang dari dalam bilik dan menetak ayahnya.

“Ibu suspek kemudian cuba membantu suaminya tetapi mangsa menyerang ibunya dengan menetak dan menikam di leher dan kepala menyebabkan ibunya melarikan diri keluar dari rumah sebelum rebah berhampiran pagar rumah,”katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, susulan itu suspek keluar dari rumah mencari ibunya sebelum ditemui dan ditahan oleh orang kampung dalam keadaan berbogel dan berlumuran darah.

Katanya, penduduk kampung yang bergegas ke rumah suspek mendapati bapa mangsa dalam keadaan terbaring tidak bernyawa di atas lantai rumah manakala ibu mangsa terbaring tidak bernyawa di atas rumput di luar rumah.

Dalam pada itu, Azli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, suspek yang ditahan oleh orang awam telah diserahkan kepada pihak polis dan polis turut menemukan sebilah golok dipercayai digunakan suspek.

Kredit : BH 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan