Halaman

Ahad, 15 Januari 2023

Jalan raya sebelum Perang Dunia Kedua

Dibina pada 1939


Setelah 65 tahun negara mencapai kemerdekaan, jalan lama Maran-Jerantut-Benta Lipis sejauh kira-kira 180 kilometer yang dibina pada 1939 iaitu sebelum Perang Dunia Kedua tahun 1941 hingga 1945 masih tetap digunakan.

Ini dibuktikan apabila sebuah jambatan di Sungai Kepung, berdekatan Felda Sungai Tekam, Jerantut dekat sini yang turut dibina pada 1939 masih digunakan oleh penduduk yang melalui jalan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jalan itu merupakan ‘lebuh raya’ terawal yang dibina penjajah British dari Pekan melalui Maran-Jerantut-Lipis-Batang Kali ke Kuala Lumpur bagi tujuan pentadbiran dan mengangkut hasil Pahang ke Pelabuhan Port Swettenham (Pelabuhan Klang).

Ironinya, jalan yang sama pernah dilalui Sultan Pahang keempat, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar pada 16 Ogos 1945 dari Pekan ke Kuala Lipis yang ketika itu pusat pentadbiran negeri untuk mengadakan pertemuan dengan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang.

Almarhum Sultan Sir Abu Bakar bersama rombongan melalui jalan itu yang dikenali pekan Tong Kiat atau kini Sungai Jerik. Jalan tersebut tetap dalam keadaan asal walaupun ada cadangan untuk melebarkan laluan tersebut kira-kira 30 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Anggerik Jengka Satu, Abdullah Ani, 65, berkata, rujukan buku ‘Peristiwa Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Di Ladang Ng Tong Kiat Pada Tahun 1945’ oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang membuktikan jalan terbabit mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Menurutnya, jalan tersebut sempit dan bengkang-bengkok yang berbahaya kepada kenderaan khususnya pada waktu malam, tetapi terpaksa juga digunakan oleh pengguna kampung tradisional dan Felda kerana tiada pilihan untuk urusan harian.

“Laluan jalan ini ternyata penting kepada pengguna dari Maran atau Kuantan sebagai jalan pintas ke Jerantut dan Lipis. Terdapat juga destinasi pelancongan Lubuk Yu, Lubuk Ujid dan Kuil Sri Marathandavar yang menjadi tumpuan penganut Hindu,” katanya di sini semalam.

Terdapat tiga fasa projek menaik taraf jalan dengan meluruskan jalan yang bengkang-bengkok di laluan berkenaan iaitu dari Simpang Maran-Kampung Batu 55, Simpang Jengka 8-Jerantut dan dari Bandar Jerantut ke Kampung Lata Kasah.

Seorang pengguna, Nor Minah Abd. Rahman, 53, dari Felda Ulu Jempol berkata, projek menaik taraf jalan itu tidak menyeluruh kerana banyak lagi kawasan dalam keadaan asal seperti dari Batu 55 Jalan Maran ke perkampungan Asli Sungai Bangkong, jalan ke Benta dan lain- lain.

“Projek terkini sedang dilaksanakan kerajaan iaitu menaik taraf jalan laluan berkenaan dari Simpang Felda Jengka 8 ke Kampung Sungai Bangkung,” katanya.

Seorang penduduk Felda Sungai Tekam, Mohamad Roziman, 54, berkata, jika diimbau sejarah lampau, Jalan Maran-Jerantut-Benta ini dibina sekitar 1918 bagi menghubungkan Kuala Lipis yang ketika itu menjadi ibu negeri ini dengan bandar diraja Pekan.

“Jalan ini dibina sebelum merdeka dan sehingga ke hari ini ia masih digunakan penduduk kampung tempatan kerana terpaksa menggunakan jalan ini terutama penduduk sekitar menjual hasil pertanian,” katanya.

Penduduk Kampung Budu, Lipis Rosmini Razif, 53, berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas menaik taraf jalan ini yang membabitkan banyak kampung tradisional antaranya Kampung Damak, Som, Batu Balai, Sempadan dan Kampung Tanjung Besar.

“Mereka pertama kali akan merasai situasi seperti melalui jalan ke Bukit Fraser yang bengkang-bengkok. Seolah-olah negara masih di bawah penjajah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu adil menaik taraf keseluruhan laluan ini yang membabitkan beberapa daerah seperti Maran, Jerantut, Lipis, dan Bentong tanpa pilih kasih. – UTUSAN

Kredit Utusan Malaysia

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan