LIPIS – Black Thorn yang dianggap sebagai buah durian paling dicari rakyat Malaysia kini mempunyai pencabar baharu dan turut mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai.
Dikenali sebagai Puteri Merapoh, durian keluaran Lipis itu diakui keenakannya dalam kalangan peminat raja buah di negara ini sehingga ada yang membuat tempahan sejak dua tahun lalu.
Menariknya, hanya terdapat sebatang pokok Puteri Merapoh yang kini mengeluarkan hasil sehingga buahnya menjadi rebutan.
Pekebun durian Lut Yusuf, 41, berkata, disebabkan permintaan yang amat tinggi, mereka hanya mengehadkan jualan maksimum dua biji untuk seorang.
“Pada masa ini hanya ada satu pokok induk berusia 40 tahun yang berbuah kira-kira 150 biji. Sekarang ini siapa yang hendak makan kena tempah terlebih dahulu dan ada senarai tempahan telah dibuat sejak dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Rusa Merapoh di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pada masa ini buah durian berkenaan dijual pada harga RM35 sekilogram, sesuai dengan kualiti dan rasanya.
Katanya, dengan warna kulit hijau dan berat purata lebih sekilogram sebiji, Puteri Merapoh sememangnya kelihatan menarik dengan isi berwarna oren.
“Rasa buah ini ada manis, pahit dan aroma yang sangat wangi membuatkan Puteri Merapoh menjadi rebutan orang ramai khususnya penggemar durian dari seluruh negara.
“Sebenarnya isinya yang berwarna oren cukup menarik dengan kedut, tekstur yang agak lembut seperti sedang memakan aiskrim,” katanya.
Katanya, pada masa ini usaha membiakkan baka durian ini giat dilakukan dan dia telah membuat cantuman serta telah menanam kira-kira 20 pokok durian di kebunnya.
Seorang peraih dan penggemar durian, Ahmad Mustapha, 45, pula berkata, keenakan rasa durian Puteri Merapoh sememangnya terbaik dan mampu memberi kepuasan kepada penggemar raja buah.
“Bagi saya kalau makan Black Thorn kemudian makan Puteri Merapoh, hilang rasa Black Thorn kerana Puteri Merapoh mempunyai rasa yang amat sedap dan sempurna rasanya iaitu manis, pahit, lemak dan aroma yang wangi,” katanya.
Kena cari bibitnya ni untuk tanam
BalasPadam