Melihat kepada kehangatan politik negara, saya pasti
pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah semakin hampir. Setiap kali menjelang PRU,
pasti semboyan membantu golongan miskin akan dibunyikan oleh politikus.
keluhan Pelajar
Secara asasnya, aksi-aksi membantu orang miskin akan
menjadi kegemaran politikus - menghantar bantuan ke rumah usang, memeluk
seorang nenek atau duduk di tangga rumah yang sering tewas di tangan cuaca.
Aksi-aksi seperti ini pasti akan menimbulkan rasa simpati
bagi mereka yang melihatnya, dan menambah populariti politikus yang memilih
aksi-aksi populis seperti ini.
Kita tidak menolak mentah-mentah aksi meraih simpati ini,
tapi sebagai politikus mereka boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan
untuk membantu golongan miskin, terutamanya dengan membentuk dasar negara.
Saya gemar 'mencuri' beberapa idea daripada Dr Muhammed
Abdul Khalid - yang menulis buku Antara Dua Darjat - tentang isu kemiskinan dan
ketidaksamaan di Malaysia.
Kita harus mengakui pendidikan merupakan instrumen
terbaik untuk mengeluarkan sesebuah keluarga daripada kemiskinan.
Namun, jika memandang sistem pendidikan secara adil, kita
akan dapati ia pada hari ini kurang mesra terhadap orang miskin. Biar saya
datangkan beberapa persoalan.
Tak adil, menindas
Pertama, soal meritokrasi yang ada pada sistem pendidikan
kita. Cuba kita tanya diri sendiri: Apa yang diharapkan oleh sistem pendidikan
daripada pelajar hari ini?
Saya berpandangan, kita semua bersetuju sistem pendidikan
negara ini inginkan murid mendapat seberapa mungkin gred A. Kita mahu semua
pelajar begitu tanpa melihat latar belakang mereka.
Muhammed dalam sebuah wawancara bersama Astro Awani
menceritakan pengalaman beliau melihat ada pelajar di sebuah negeri “tidak
makan malam dan bersarapan” kerana kekangan kewangan keluarga.
Kemudian kita mahu pelajar-pelajar yang kurang bernasib
baik ini berlumba dengan pelajar-pelajar yang memiliki kehidupan yang lebih
baik, sekolah di sekolah yang punya prestasi tinggi, dan kemungkinan besar
menghadiri kelas tambahan berbayar di luar sekolah?
Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan menindas golongan
terbabit. Bagaimana mungkin mereka mahu keluar daripada kemiskinan melalui
pendidikan jika sistem yang ada tidak bersifat “equal-footing” semasa memulakan
perlumbaan?
Melalui forum di RTM pula, Muhammed turut mengkritik
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerima golongan pelajar berada.
Sepatutnya MRSM fokus dalam membantu golongan pelajar yang miskin dengan
memberikan suasana pembelajaran yang kondusif.
Bagi saya, kritikan ini perlu dipandang serius oleh
pemerintah.
Boleh tutup mata
Golongan miskin juga memiliki cabaran yang besar untuk
menikmati sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Cabaran tidak bermaksud
pelajar-pelajar miskin tidak berpeluang masuk ke universiti.
Pada hari ini kita memiliki ramai mahasiswa yang datang
daripada keluarga miskin.
Saya percaya hampir semua mahasiswa yang memijak
institusi pengajian tinggi adalah untuk mengubah nasib keluarga. Isu mahasiswa
yang datang daripada keluarga miskin perlu dipandang dengan lebih serius dan
dibincangkan kerana mereka memiliki tiga cabaran yang besar - sebelum, semasa
dan selepas memasuki universiti.
Sebelum memasuki universiti kelompok mahasiswa yang
datang daripada keluarga berpendapatan rendah perlu mencari wang untuk
persediaan.
Pada masa inilah selalunya keluarga yang “miskin” akan
mula meminjam wang daripada saudara-mara atau menggadai segala aset yang ada.
Saya pasti akan ada hujah, negara kita memiliki banyak
biasiswa yang akan membantu golongan miskin. Namun seperti yang saya katakan
pada awal tulisan ini, kebanyakan tawaran seperti ini mewajibkan pelajar untuk
mendapat keputusan yang cemerlang.
Bagaiamana dengan pelajar yang memiliki keputusan
sederhana atau rendah? Adakah kita boleh menutup mata sahaja terhadap mereka?
Dermasiswa atau zakat pula bersifat “cabutan bertuah”
dengan jumlah pelajar yang akan dibantu adalah mengikut peruntukan semasa.
Seksa tahan lapar
Ketika berada di alam universiti pula, pelajar ini perlu
membayar yuran secara sama rata. Ini bermakna tidak kiralah purata pendapatan
keluarga mahasiswa tersebut RM10,000 atau RM1,000 sistem pendidikan tinggi kita
mewajibkan mereka membayar yuran yang sama.
Mereka terpaksa bergantung dengan pinjaman (Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional - PTPTN) atau pinjaman lain untuk meneruskan
kelangsungan di kampus.
Bagi seseorang yang pernah bergelar mahasiswa pasti
mereka akan menyedari kesukaran untuk hidup di kampus, lebih-lebih bagi mahasiswa
miskin.
Sebab itulah kita pernah dikejutkan dengan berita
“mahasiswa koyak usus” akibat menahan lapar pada tahun lepas.
Selepas menamatkan pengajian kebanyakan mahasiswa yang
datang daripada keluarga yang miskin ini akan mempunyai “hutang” di leher.
Dahulu pernah tular berita mengatakan graduan tidak wajib
membayar hutang sehingga mereka bergaji RM3,000 tetapi sehingga kini saya tidak
mengetahui kebenaran berita ini.
Apabila mahasiswa miskin ini keluar dari universiti,
objektif utama mereka adalah untuk “membina” kehidupan dengan mengumpul wang.
Jika kita tambat leher mereka dengan hutang-hutang ini
sebelum mencapai kadar gaji yang sepatutnya, bagaimana mungkin mereka dapat
keluar daripada kemiskinan?
Lebih-lebih dengan isu kesukaran mendapatkan pekerjaan
yang seperti hari ini.
Cadangan kepada pemerintah
Kerajaan pernah mengambil langkah afirmatif dengan
memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) akibat rusuhan kaum 1969, dan pada
tahun 1990-an kita melihat DEB berjaya mengurangkan kemiskinan, melibatkan
lebih banyak Melayu-bumiputera dalam sektor koperat dan mencipta peluang
pekerjaan.
Itu adalah cabaran lewat 1960-an. Pada hari ini kita
memiliki cabaran yang berbeza, dan pemerintah harus masuk campur sebelum “bom
jangka” ini meletup.
Pada sistem pendidikan, saya fikir wajar pemerintah
mengkaji semula dasar meritokrasi kita kepada golongan miskin (bottom 40
peratus) dengan memberikan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin untuk
menikmati bantuan baru atau sedia ada, seperti bantuan kewagan, makanan
tambahan atau sekolah berasrama penuh seperti MRSM.
Selain mengambil keputusan peperiksaan sebagai penanda
aras, latar belakang sesebuah keluarga pelajar juga harus ditimbang.
Kemudian, untuk sistem pendidikan tinggi pula; wajar jika
yuran universiti (bermula dengan universiti awam) lebih longgar mengikut latar
belakang pendapatan keluarga.
Ini bermakna jika seseorang mahasiswa itu miskin, dia
harus membayar kurang berbanding mereka yang datang daripada keluarga yang
berkemampuan.
Menjelang PRU ke-14 ini, saya berharap politikus lebih
banyak memikirkan polisi dan dasar yang akan membantu keseluruhan golongan
miskin yang ada di negara ini berbanding memilih beberapa buah rumah usang
untuk dijadikan modal untuk berswafoto semata-mata.
RAHMAN IMUDA seorang aktivis mahasiswa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan