Tiada siapa
menduga, anak kecil yang sering mengunjungi gereja 20 tahun lalu akan menjadi
seorang pendakwah Islam yang terkenal hari ini. Dibesarkan dalam lingkungan
keluarga beragama Kristian, namun hidayah Allah tiada siapa mampu menghalang.
Itulah anugerah termahal daripada Allah SWT kepada kita
semua, sehingga memungkinkan kita untuk dapat memesrai sosok lelaki yang ramah
bernama Mohd. Farid Ravi Abdullah, 39, yang lebih popular dengan nama Ustaz
Farid Ravi.
"Dahulu, saya dikenali sebagai Jasiah a/l Ravi. Saya
dan keluarga adalah penganut Kristian. Saban minggu kami akan mengunjungi
gereja. Namun, hakikatnya hati saya sedari awal sudah terpikat kepada Islam.
"Bahkan sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, saya
telah betah mengikuti kelas Pendidikan Islam bersama kawan-kawan yang beragama
Islam.
"Antara punca saya minat kepada kelas Agama Islam
ialah kerana ustazah yang mengajarnya bijak menyampaikan.
"Selain itu, sejak kecil saya begitu minat mendengar
bacaan al-Quran, khususnya apabila adanya Majlis Tilawah al-Quran yang diadakan
di negara kita saban tahun.
"Ibu memarahi saya kerana saya minat mendengar
bacaan al-Quran," jelas beliau. Namun alhamdulillah, ibunya juga sudah
memeluk Islam sebelum dipanggil mengadap ilahi.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berteduh.
Bagi Farid Ravi, beliau amat terhutang budi dengan keluarga angkatnya iaitu
keluarga Hashim Talib (ketika itu seorang anggota polis yang berpangkat sarjan)
dan Saunah Arifin dari Kg. Tanjung Sg. Choh, Rawang Selangor.
"Mereka telah mendorong saya untuk menuju ke arah
yang benar. Dorongan dan motivasi yang diberikan oleh keluarga angkat saya ini
tidak akan dapat saya lupakan sehingga ke akhir hayat. "Mereka juga telah
memberikan layanan yang terbaik kepada saya. Saya dianggap seolah-olah anak
mereka sendiri," ceritanya menghimbau kembali detik-detik awal saat mula
mengenali Islam.
Faktor kawan juga banyak membantu. Bahkan Farid Ravi
mengakui, berkat bimbingan rakan, pada usia 11 tahun beliau sudah mampu membaca
surah al-Fatihah dan menjawab azan.
Sehinggalah ketika usianya 18 tahun, hatinya sudah tidak
mampu ditahan-tahan lagi dan akhirnya di hadapan ustaz Kadir Chong beliau
melafazkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam
Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan