Halaman

Rabu, 7 Oktober 2020

Arwah Emak dan Harta FELDA

 

ARWAH EMAK DAN HARTA FELDA - SALAH FAHAM MASYARAKAT FELDA

S: Emak saya telah meninggal dunia 15 tahun yang lepas. Kemudian ayah saya berkahwin lain. Adakah mak muda saya berhak ke atas harta felda itu sekiranya ayah saya meninggal nanti?

J: Kita kena tengok nama siapa dalam geran dulu. Kalau dalam geran ada nama emak, 1/2 bahagian...maknanya apabila emak meninggal,  1/2 bahagian itu kena difaraidhkan kepada semua waris emak seperti anak2 dan suami.

Mak muda tidak akan dapat bahagian ini. Mak muda hanya dapat 1/2 bahagian dari faraidh ayah sahaja sekiranya ayah meninggal dunia.

S: Macamana kalau dalam geran nama ayah sahaja yang ada, mak muda ada hak tak?

J: Sebagai isteri yang sah, jika berlaku kematian pemilik geran iaitu suami, semua isteri si mati yang ditinggalkan si mati akan mendapat bahagian mereka sebagai isteri dan berkongsi hak dengan semua anak2 si mati. 

S: Arwah ayah baru meninggal. Mak muda sekarang kata rumah felda tu harta dia. Betul ke tu tuan?

J: Tak betul....bila ayah meninggal, semua harta ayah perlu difaraidhkan termasuk rumah. Mak muda hanya dapat bahagian kecil sahaja dari faraidh itu iaitu 1/8 (jika ada anak dgn arwah ayah) dan 1/4 (jika tiada anak dengan arwah ayah) . Selebihnya adalah milik waris lain seperti anak2 arwah ayah.

S: Tapi masalah saya sekarang, mak muda duduk di rumah felda tu dengan anak2 dia dan kata itu harta dia. Betul ke tu tuan?

J: Bila berlaku perkara sebegini, kita kena jaga emosi kita. Kita kena pandai bezakan yang mana hak dan yang mana emosi. Sebagai anak, kita kena tgk keadaan ini sebaik mungkin. Ikutkan hak, emak muda memang tiada hak duduk di rumah itu kerana ia berkongsi dengan waris2 yg lain. Tetapi sebagai anak...Adakah kita sanggup melihat isteri kepada arwah ayah kita dan adik beradik kita sendiri (lain emak) hidup merempat sedangkan rumah itu juga tempat mereka membesar?

Kena diperhalusi sebaik mungkin perkara ini. Bayangkan kita menjadi anak kepada bini muda itu dan diperlakukan oleh anak bini tua... Adakah kita akan gembira?

S: Habis macamana nak buat perkara ini tuan? Mak muda memang takde tempat tinggal yang lain... Kami pula tak mahu kenangan kami dengan arwah mak hilang bila mak muda duduk di rumah itu nanti. 

J: Ada beberapa pilihan yang mungkin boleh membantu disebabkan mak muda tiada tempat tinggal lain:

Pertama, boleh disewakan rumah pusaka itu kepada mak muda dengan bayaran seminima mungkin dan duit faraidh bahagian beliau boleh digunakan untuk membayar sewa kepada semua waris.

Kedua, adik beradik puan bantu mak muda cari penempatan baru di tempat lain dan berkongsi bantu bayarkan sewa rumah beliau itu setiap bulan....bantu jaga kebajikan beliau dan adik beradik lain mak tu sehingga mereka boleh berdikari. Jangan dibiarkan mereka hidup terkontang-kanting setelah kematian ayah puan kerana jika ayah puan masih hidup, pasti beliau akan menjaga sehabis baik kebajikan isteri dan anak2 nya dengan menggunakan duit hasil felda tu.

S: Takkan kami nak support diorang sampai besar? Kami pun ada masalah sendiri...

J: Faham... Tapi itulah guna harta faraidh... Ia bukan untuk diri kita semata2.... Ia datang dengan tanggungjawab... Ia bukan duit bonus selepas ayah meninggal... Sebaliknya duit itu digunakan untuk kita membantu saudara sedarah sedaging kita untuk terus hidup sama seperti mana kalau ayah masih hidup lagi. Lagipun kalau arwah ayah masih hidup, puan dan adik beradik puan tetap tak akan dapat hasil felda itu.

S: Mak muda saya ni ada rumah di kampung dia sendiri, dia sengaja tak nak balik kampung dia, sengaja nak duduk juga di tanah Felda ini.

J: Seperti yang saya cakap tadi, kita kena pisahkan antara emosi kita dan hak orang. Utamakan hak dahulu. Apabila hak telah diberikan kepada yang berhak.... Barulah kita fikirkan emosi. Mungkin beliau juga ada kenangan hidup bersama suami (arwah ayah puan) di rumah itu. Kita tak boleh tolak dia ketepi begitu sahaja setelah kematian ayah. Kita kena berlaku adil dengan dia.

S: Mak muda saya ni dah banyak menyusahkan saya adik beradik selepas kematian ayah seperti menuntut haknya di pejabat felda dan macam2 lagi. Kami adik beradik memang bengkek aje dengan dia ni. Kami dah buat habis baik dah untuk dia.... Tapi dia ni asyik tak faham aje apa yg kami dah buat untuk dia dan anak2....

J: Punca konflik dan masalah adalah perspektif yang berbeza. Jadi sebaiknya, duduk semeja berbincang adik beradik dengan mak muda ni dari hati ke hati. Mungkin ada ketakutan dalam diri dia yang kita tak tahu menyebabkan dia bertindak sebegitu. Mungkin dia risau nasib anak2 kecil dia setelah kematian suami (arwah ayah). Berbincanglah dengan kasih sayang... Insya allah akan jumpa penyelesaiannya.

S: Perlu ke kami ambik tahu hal kebajikan adik beradik lain mak kami ni selepas ayah meninggal?

J: Perlu. Tak boleh biarkan mereka hidup dengan mak mereka sahaja. Adik beradik lelaki puan adalah wali kepada anak2 perempuan ayah lain mak ni. Jangan biarkan mereka begitu sahaja. Sebaiknya gunakan duit hasil faraidh felda tu untuk bantu anak2 ayah lain mak ini. Duit itu datang dengan tanggungjawab. Bukan untuk dijoli untuk kepentingan peribadi.

S: Soalan
J: Jawapan

Kredit:
Zahari Affendi Abdul Kadir
Tetuan Zahari Affendi & Partners

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan