Halaman

Selasa, 15 Jun 2021

Salah Faham Masyarakat FELDA tentang Pusaka Kecil



SALAH FAHAM MASYARAKAT FELDA TENTANG BICARA PUSAKA KECIL SIRI XIII

Seringkali saya mendapat pertanyaan dan panggilan telefon dari waris-waris Felda berkenaan ketidakfahaman mereka semasa proses Bicara Kuasa dilakukan.

Ramai yang hadir ke Pejabat Tanah tetapi tidak mengetahui apa yang mereka perlu lakukan dan memilih untuk senyap dan hanya mengangguk setuju sahaja semasa proses Bicara sedangkan dalam hati mereka tidak setuju atau tidak faham kesannya. Jadi di sini saya turunkan sedikit maklumat untuk panduan ringkas waris-waris semua.

S: Apa itu Bicara Pusaka Kecil?

J: Bicara Pusaka Kecil adalah biasanya dilakukan di pejabat pesaka @ kebiasaannya dilakukan Pejabat Tanah di mana harta si mati (peneroka Felda) termasuk harta tidak alih nilaiannya tidak melebihi RM 2 JUTA dan si mati tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959.

S: Apa tujuan perbicaraan pesaka kecil ini?

J: Tujuan perbicaraan ini adalah untuk Pihak Berkuasa menentukan siapakah yang layak untuk mentadbir harta si mati, berapa banyak hutang si mati yang perlu dibayar, berapa banyak harta alih dan tidak alih milik si mati, samada si mati ada membuat wasiat atau amanat, dan menentukan bahagian harta si mati untuk dibahagikan sesama waris.

S: Apa yang sepatutnya berlaku kalau saya menghadiri perbicaraan pesaka kecil ini?

J: Jika anda dipanggil menghadiri perbicaraan ini sebagai salah seorang waris, anda kena BERCAKAP….bukan SENYAP. Anda perlu bantu Pegawai yang mengendalikan perbicaraan dengan memberikan maklumat yang diperlukan. Jika anda senyap sebab malu, takut, segan, atu apa-apa alasan yang lain lagi, anda sebenarnya sedang membiarkan hak anda terlepas ke pihak orang lain. Bantu Pegawai dengan memberikan maklumat yang tepat dan bukannya hanya menggangguk setuju padahal anda tidak faham pun apa yang berlaku.

S: Apa tugas pegawai yang mendengar bicara ini?

J: Tugasnya adalah untuk menentukan siapa dilantik sebagai Pentadbir, bilangan waris-waris dan bagaimana harta itu akan dibahagikan.

S: Macamana harta itu akan dibahagikan?

J: Ada 3 cara. Bagi orang islam, samada mengikut faraid atau mengikut persetujuan waris-waris manakala bagi orang bukan islam, akan mengikut cara yang ditetapkan seperti  di Akta Pembahagian 1958.

S: Saya tak bersetuju dengan abang saya yang memohon dilantik menjadi pentadbir, jadi saya nak boikot bicara tu dengan sengaja tak datang. Betul ke cara saya tu?

J: Salah. Jika tuan tidak bersetuju, maka tuan perlu datang untuk menyatakan tidak persetujuan itu. Jika tuan tidak datang, pegawai yang diberi kuasa boleh membuat keputusan seolah-olah tuan bersetuju. Ini akan merugikan tuan sendiri dan di kemudian hari tuan tidak boleh mendakwa berlaku ketidakadilan. Tak boleh dakwa tuan teraniaya kalau tuan tidak datang.

S: Saya datang pada hari bicara itu tapi saya tak bersetuju dengan keputusan yang diberikan. Apa yang saya boleh buat?

J: Puan boleh kemukakan rayuan dalam tempoh masa 14 hari dari Tarikh Perintah diberikan.

Kredit : Zahari Affendi Bin Abdul Kadir


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan