Halaman

Selasa, 15 Jun 2021

Kenyataan Media MB Pahang

 

Titah-Saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenaan pemuliharaan Tasik Chini 

KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR PAHANG 

Menjunjung Kasih dan Menjunjung Titah atas Titah-Saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenaan pemuliharaan Tasik Chini

1. Kerajaan Negeri menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah-saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai pelbagai perkara berkenaan pemuliharaan Tasik Chini.

2. Titah-saranan ini melambangkan keprihatinan tinggi KDYMM Tuanku mengenai hal-ehwal negeri termasuklah berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, apatah pula melibatkan Tasik Chini.

3. Titah-saranan ini juga jelas menunjukkan kebijaksanaan KDYMM Tuanku dalam urusan pengendalian isu, dan isu mengenai alam sekitar khususnya Tasik Chini sememangnya dekat di hati KDYMM Tuanku.

4. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan bertindak segera atas titah-saranan ini terutamanya tentang peluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini daripada 4,600 hektar sepertimana Kerajaan Negeri luluskan untuk pewartaan pada 13 Mac 2019, kepada antara 6,000 dan 7,000 hektar.

5. Jabatan-jabatan berkenaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri, telah pun diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

6. Peluasan ini wajar yang dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjagai dan memelihara/memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.

7. Peluasan ini juga wajar yang dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya.

8. Sepertimana semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

9. Ia (TCRB) berlandaskan tiga (3) teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies/hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

10. Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga (3) zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang bebeza. Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititah-sarankan, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.

11. Apabila TCRB dapat dijayakan dengan lebih berkesan, sekaligus dapat turut menyempurnakan titah-saranan KDYMM Tuanku agar pengiktiarafan bertaraf dunia oleh UNESCO itu, dapat terus dipertahankan.

12. Kerajaan Negeri akan turut segera berusaha melaksanakan kerja-kerja penanaman semula sepertimana kerja-kerja penanaman semula hutan yang setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM250,000 untuknya. Lagi RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya lagi.

13. Selain itu, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR), dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguaktkuasaan negeri dan persekutuan.

14. Semoga dengan usaha-usaha ini yang akan dilaksanakan sesegara mungkin sebagai menjunjung titah-saranan KDYMM Tuanku, dan dengan komitmen tinggi semua pihak, Tasik Chini akan dapat dipulihara dalam tempoh masa sewajarnya, In Sya Allah.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang

15 Jun 2021


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan