Halaman

Selasa, 18 Ogos 2020

Sejarah nama Pulau Berhala

 

Di Pahang terdapat dua buah pulau dipanggil Pulau Berhala. Sebuah di darat dan sebuah  lagi di Laut.

Pulau Berhala di tanah darat letaknya  Sungai Jelai di Kuala Sungai Telang, mukim Telang daerah Lipis. Pulau Berhala yang sebuah lagi itu di Laut China Selatan.

Pada hari ini tidak ramai yang tahu Pulau Berhala di Hulu Pahang. Ini kerana pada masa kini tidak ramai lagi yang menggunakan ‘motobot’ jauh sekali mengalah perahu mudik Sungai Jelai.

Mengikut cerita orang tua dahulu kala ramai orang tinggal di sebuah pulau di Kuala Sungai Telang. Mereka menanam tebu di sana.  Orang yang tinggal dipulau itu ada memelihara seekor kerbau balau jantan  dan orang yang tinggal di buntut pulau itu memiliki seekor kerbau jantan hitam.

Musim tebu kedua-dua ekor kerbau itu digunakan orang untuk mengilang tebu.  Ia digunakan bergilir-gilir. Kerbau hitam digunakan pagi dan kerbau balau petang.

Kononnya pada suatu pagi kerbau hitam terlepas kandang.  Sebab itu terpaksalah mereka menggunakan kerbau balau. Pada mulanya kerbau balau menjalankan tugasnya dengan baik, akan tetapi apabila hampir waktu bulat bayang ia jadi terlalu lemah.  Sungguhpun demikian ia tidak dihentikan kerana masih ada sedikit tebu yang belum dikilang. Oleh kerana terlalu letih kerbau balau pun melenguh.  Ia melenguh dengan sekuat-kuatnya.  Maka dengan tiba-tiba turunlah hujan panas diikuti dengan rebut petir.  Masa itu kebau balau lari.  Ia menarik kilang tebu ke kepala pulau dan terus ke Sungai Jelai. Masa itu juga kerbau hitam dilihat orang terjun ke Sungai Jelai.  Kedua-dua ekor kerbau itu ghaib.

Dari semejak itu bila turun hujan panas selalu sangat dilihat orang kerbau balau timbul di sebelah kepala pulau dan berhanyut hilir ke buntut pulau. Masa itu kerbau hitam akan timbul di buntut pulau.  Kedua-dua ekor kerbau itu naik ke buntut pulau lalu berlaga.  Kadang-kadang mereka berlaga di dalam sungai akan tetapi selepas bah besar 1926 perkara ini sudah tidak berlaku lagi mungkin disebabkan air tepi pulau ini telah menjadi tohor.  

Oleh kerana kerbau-kerbau itu telah jadi berhala maka pulau itu telah dipanggil  Pulau Berhala. 


Pulau Berhala.




Asal Usul Nama Tempat Bersejarah
Dato' Hj. Zakaria bin Hitam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan